oleh Karthi Lenin

Kita sedang berada dalam situasi seperti zaman peperangan. Keruntuhan sistem pentadbiran terutamanya sistem kesihatan dilihat sebagai faktor meningkatnya kes COVID-19 dan Kerajaan Muhyiddin antara punca utama kegagalan ini. Testimoni demi testimoni daripada pihak pengurusan hospital besar di sekitar Lembah Klang menunjukkan bahawa kita sedang menuju ke arah keruntuhan sistem kesihatan kita. Mungkin, kepincangan yang sedia wujud lebih terserlah pada masa kritikal seperti ini, walaupun secara peribadinya saya amat puas hati dengan perkhidmatan kesihatan awam kita selama ini. Secara kasarnya, kita masih mendapat perkhidmatan kesihatan percuma walaupun usaha konsisten daripada pihak pro-neoliberal untuk mencari keuntungan melalui penswastaan perkhidmatan ini.

Malangnya, kita kini bagaikan berada dalam situasi zaman perang. Ramai rakyat mati. Meninggal dunia. Emosi dalam kalangan rakyat adalah pada tahap yang membimbangkan. Sehingga 13 Ogos 2021, kita mencatatkan 11,968 kes kematian, iaitu 0.88% daripada jumlah keseluruhan lebih 1.363 juta kes terumpul. Saban hari, ada video menular di Whatsapp yang menunjukkan kematian, ambulans, pesakit, statistik dan sebagainya.  Video pesakit bergelimpangan di hospital-hospital kerajaan memberi satu ketakutan yang natural dan ramai sudah ada persepsi bahawa ini adalah kegagalan Kerajaan Malaysia.

Bayangkan situasi keluarga yang kehilangan mereka yang dicintai. Mereka yang sihat selama ini, sudah tiada lagi kerana COVID-19 dan beban kematian ini diletakkan kepada keputusan polisi-polisi yang dibawa oleh ahli politik. Ramai yang sudah mula tanya, mengapa kilang tidak ditutup walaupun kluster kilang membawa begitu banyak jangkitan. Mengapa hospital swasta tidak dikerahkan untuk mengambil pesakit COVID-19 tetapi diberi peluang untuk menjual vaksin?

Satu statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa jumlah katil hospital Malaysia per 1000 populasi rakyat hanyalah 1.88 pada tahun 2019. WHO mengesyorkan 3 katil/1000 orang. Kita pernah mempunyai 2.48 katil/1000 populasi pada tahun 1987. Di manakah kesilapannya?  Jumlah hospital awam di Malaysia ialah 154 buah, tetapi kita mempunyai 250 buah hospital swasta. Pada ketika lebih 70% rakyat Malaysia pergi ke hospital kerajaan, 2/3 doktor pakar kita berada di hospital swasta. Lebih menyedihkan adalah, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Dr Kuljit Singh, berkata bahawa kos rawatan pesakit COVID-19 terutamanya jika di ICU akan mencecah lebih RM200,000 untuk 15 hari. Satu kos yang tidak mampu ditanggung oleh rakyat biasa B40 dan M40. Jadi, siapa yang mereka rawat? Orang kaya sahaja? Siapa yang perlu bertanggungjawab terhadap kepincangan sebegini?

Pada ketika ini jugalah, kita sedang berada dalam krisis politik yang tidak habis-habisan. Kerajaan ini sudah hilang kelayakan sokongan majoriti dan ucapan gementar Perdana Menteri semalam sedikit sebanyak membuktikan situasi ini. Hampir semua parti politik pembangkang membantah dan mengesa PM berundur, manakala ada beberapa pihak yang kata kita perlu duduk dan bincang.

Jawapan untuk persoalan-persoalan berikut memberi gambaran untuk persoalan utama, iaitu: Perlukah Muhyiddin berundur atau semua parti duduk bincang?

Persoalannya di sini ialah:

1. Bolehkah kerajaan sekarang ini dipercayai untuk melaksanakan reformasi-reformasi yang diumumkan semalam? Reformasi yang ditawarkan oleh Muhyiddin seperti Akta Anti-Lompat Parti tidak akan membantu Parti Bersatu kerana kekuatannya sendiri hanya dibina oleh Ahli-ahli Parlimen katak. Mereka hanya menang 13 kerusi pada tahun 2018 tetapi kini mempunyai 31 orang Ahli Parlimen. Seramai 24 orang Ahli Parlimen lompat masuk dan 6 orang lagi Ahli Parlimen yang lompat keluar. Ini menunjukkan 77% Ahli Bersatu ialah katak.

2. Adakah bijak untuk kita “membunuh” musuh yang sedang luka atau memberi masa untuk dia sembuh dan mula berperang semula? Ini bukan perang dalam cerita dongeng Mahabharata. Adakah melalui ini, kita sedang menyelamatkan musuh kleptokrat – kluster mahkamah? Mungkinkah masa yang diberi juga boleh digunakan oleh musuh-musuh untuk rekalibrasi dan menyerang kita balik?

3. Adakah sistem kesihatan kita akan runtuh sekiranya Muhyiddin jatuh? Kepincangan pentadbiran sedia ada adalah antara punca utama sistem ini sendiri sedang jatuh. Kita sedang merasai kesan pandemik secara lebih besar kerana kelemahan yang wujud dalam sistem kesihatan kita yang bukan dimulakan oleh Kerajaan Muhyiddin sekarang tetapi diburukkan dengan pentadbirannya yang gagal. Perubahan pentadbiran mungkin memberi impak kerana alternatif yang sedia ada sebenarnya tidak banyak berbeza dari segi ideologi tetapi mungkin lebih jujur.

4. Adakah kerajaan ini pro-korporat atau pro-rakyat? Masyarakat kaya T20 di Malaysia tetap meraih kekayaan pada masa pandemik sedangkan rakyat biasa tetap merana. Kilang dihalang untuk ditutup. Hospital swasta pula tidak dikerahkan untuk dibuka kepada pesakit COVID-19 tetapi dibenarkan untuk menjual vaksin. Mengapa Muhyiddin tidak memberitahu bahawa dia akan bina lebih banyak hospital awam atau mengerahkan hospital swasta untuk mengambil pesakit COVID-19 dengan kos kerajaan?

Ternyata sekali, polemik pengumuman Muhyiddin adalah semata-mata untuk menyelamatkan bahteranya yang sedang tenggelam. Kita tidak perlu memberi talian hayat kepada pentadbiran ini dengan harapan mereka akan membawa reformasi yang dicadangkan. Mereka tidak pernah jujur dan besar kemungkinan tidak akan jujur pada masa akan datang.

Sebagai alternatif kepada situasi politik kini, kita harus mengambil usaha mendedahkan kepincangan sistem yang sedia ada dan bagaimana ia harus dibaiki untuk mengelakkan kemudaratan yang sama pada masa akan datang. Kita harus mendedahkan kepincangan dan kelemahan yang sistemik ini. Kita juga harus mencabar sesiapa yang ingin menggantikan atau meneruskan pentadbiran ini untuk menumpukan usaha kepada reformasi penambahbaikan sistem kesihatan dan sebagainya yang sedang runtuh sekarang. Dan pada masa yang sama, membina perubahan yang dituntut melalui pergerakan akar umbi sepertimana yang kita buat sekarang.

Dan, perlukah Muhyiddin berundur atau kita duduk bincang? Sudahlah itu… Undur je lah!

==========

Karthi Lenin atau Karthiges Rajamanickam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s