Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Sharan Raj

Masyarakat kita sedang dihimpit oleh krisis berkembar, iaitu krisis kesihatan dan krisis ekonomi. Ahli politik elit berhaluan kanan telah memulakan krisis ketiga, iaitu krisis politik. Pergaduhan politik ini bukannya berkhidmat untuk rakyat tetapi untuk mengumpul harta melalui kronisme dan patronisme bagi diri sendiri. Parti politik berasaskan kaum dan elitis sedang merompak kekayaan rakyat melalui kronisme dan patronisme.

Selepas PRU-14, banyak pemimpin dan ahli politik daripada Barisan Nasional telah lompat ke dalam Pakatan Harapan untuk jawatan dan projek. Mahathir telah menggunakan sistem patronisme untuk memancing Ahli Parlimen daripada UMNO supaya masuk ke BERSATU. Kini, banyak Ahli Parlimen, ADUN dan ahli politik daripada Pakatan Harapan sedang melompat ke Perikatan Nasional untuk patronisme dan kronisme.

Tengku Zafrul enggan menghapuskan sistem kontrak untuk pekerja hospital seperti doktor, pembersih hospital dan pegawai farmasi atas alasan kos yang tinggi. Namun, bekas Menteri Besar Perak yang dipecat, Ahmad Faizal Azumu daripada BERSATU, dilantik sebagai penasihat taraf Menteri dengan gaji dan imbuhan bernilai beratus ribu ringgit untuk setahun. Parti perkauman memberikan beratus-ribu jawatan bersifat patronisme seperti pengarah GLC, Ahli Majlis Bandaraya dan ketua kampung.

Beratus-ratus entiti khas (SPV) dan agensi baru ditubuhkan untuk mewujudkan jawatan lembaga pengarah demi politik patronisme. Jawatan tersebut diberikan gaji, pencen dan imbuhan bernilai berpuluh-puluh bilion ringgit setahun. Manakala, gaji pekerja kerajaan tidak dikaji untuk 20 tahun. Beban kos patronisme dan kronisme telah mengurangkan dana untuk menaik taraf hospital, menghapuskan PTPTN dan meningkat gaji pekerja awam.

Rakyat akan terus kecewa dengan Perdana Menteri baru kerana golongan elit tidak akan menghapuskan sistem yang menguntungkan mereka. Sebarang kritikan dan ancaman kepada “curi makan” mereka akan dilawan dengan 3R –  kaum (race), agama (religion) and raja (royalty). Elemen 3R perlu dihapuskan juga daripada sfera politik kita. Keseluruhan sistem patronisme dan kronisme perlu dihapuskan dengan melaksanakan demokrasi di setiap peringkat.

Jawatan seperti Ketua Kampung dan Ahli Majlis perlu dipilih melalui pilihanraya. Jawatan  kepimpinan GLC dan agensi kerajaan perlu diserahkan kepada wakil daripada kesatuan sekerja masing-masing. Sistem pilihanraya persekutuan dan negeri perlu diubah daripada First Past the Post kepada Perwakilan Berkadar (Proportional Representation) yang lebih dapat mencerminkan keadaan sosio-ekonomi kita. Bukan sahaja Muhyiddin Yassin tetapi seluruh sistem patronisme dan kronisme perlu dihapuskan.

==========

Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Setiausaha PSM Melaka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *