Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Sharan Raj

Di Malaysia, beribu-ribu orang telah meninggal dunia kerana kekurangan bekalan gas oksigen di hospital awam. Sementara itu, sektor pembinaan terus menggunakan gas oksigen tulen untuk aktiviti kimpalan dan pemotongan. Penggunaan gas oksigen dalam sektor pembinaan tidak wajar ketika rakyat sedang mati kerana kekurangan bekalan gas oksigen.

Pembinaan hartanah mewah, lebuh raya dan pusat beli-belah boleh ditunda kerana nyawa manusia lebih bernilai daripada keuntungan syarikat pembinaan. Kerajaan Persekutuan perlu menutup semua sektor pembinaan sehingga akhir tahun untuk mengelakkan kekurangan bekalan gas oksigen di hospital.

Modus operandi bekalan gas oksigen untuk sektor kesihatan adalah hampir sama dengan bekalan gas masak rumah. Tangki gas oksigen akan dipungut untuk diisi semula sebelum dihantar ke hospital. Pengeluaran tinggi gas oksigen tulen oleh industri tidak berguna tanpa tangki gas oksigen yang mencukupi.

Bahagian dalaman tangki oksigen gred pembinaan perlu dibersihkan daripada kotoran untuk dijadikan tangki oksigen gred kesihatan. Proses ini dapat dilakukan dalam masa beberapa jam dengan peralatan yang tepat.

Namun demikian, bekalan gas oksigen tulen kepada perkhidmatan kecemasan seperti Bomba, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (MMEA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tidak harus diganggu. Perkhidmatan kecemasan menggunakan gas oksigen tulen untuk pemotongan besi untuk menyelamatkan manusia yang terjerat dalam kenderaan ketika kemalangan.

==========

Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Setiausaha PSM Melaka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *