25 JULAI 2021: Malaysia sakit, rakyat bangkit! Lebih 600 orang berhimpun secara maya pada hari ini untuk mengemukakan tuntutan #TINDAK15 bagi pelaksanaan segera supaya menyelamatkan nyawa rakyat dan membebaskan masyarakat Malaysia daripada kemelut krisis COVID-19 yang sedang melanda pada masa kini.
Perhimpunan atas talian yang dianjurkan oleh Gabungan Pelan Bertindak Rakyat (TINDAK!) ini mengemukakan 15 tuntutan yang amat diperlukan untuk mengatasi krisis kesihatan dan krisis ekonomi dalam negara kita pada ketika jumlah kes COVID-19 terkumpul sudah mencecah 1 juta. Gabungan TINDAK! ditubuhkan baru-baru ini oleh anggota-anggota masyarakat sivil sebagai respon kepada keadaan COVID-19 yang semakin buruk di Malaysia, terutama di Lembah Klang. Gabungan TINDAK! berhasrat untuk menggerakkan sokongan besar-besaran untuk rangkaian Pelan Tindakan Kecemasan, terutama dalam sektor kesihatan dan ekonomi. Pelan Tindakan Kecemasan yang dicadangkan oleh gabungan TINDAK! telah disediakan oleh kumpulan pakar dalam bidang-bidang berkenaan untuk mengemukakan rangka dasar yang perlu dilaksanakan segera demi menangani krisis yang sedang dihadapi negara kita pada masa kini.
Tuntutan-tuntutan #TINDAK15 ialah:
- Membina unit jagaan rapi (ICU) baharu berdekatan hospital kerajaan dalam 2-4 minggu dengan kerjasama sektor swasta.
- Menyediakan rancangan untuk memindahkan petugas kesihatan dari negeri ke negeri dengan selamat.
- Mobilisasi pengamal perubatan am (GP) untuk memantau pesakit COVID-19 di rumah melalui video. Pesakit peringkat 3-5 mesti dihantar ke hospital dengan segera.
- Menyahpusatkan pengedaran vaksin secara adil untuk semua dan melibatkan GP, hospital swasta, dan semua unit kesihatan kerajaan.
- Melaksanakan sistem PKP berdasarkan sistem “lampu isyarat” dengan kategori dan SOP jelas, yang dikuatkuasa dengan sama rata untuk semua.
- Menerbitkan secara telus semua data dan statistik COVID-19 terus dari sumber, termasuk senarai syarikat yang dibenarkan beroperasi, tanpa sebarang sekatan atau tapisan.
- Melaksanakan Pelan Ventilasi Kebangsaan untuk mengurangkan transmisi COVID-19 melalui udara.
- Melindungi petugas barisan hadapan yang menjadi “peniup wisel” (“whistleblower”) dan memberi jaminan kerja untuk semua petugas kesihatan.
- Bantuan Tunai Langsung RM2,000 untuk semua isi rumah B70. Bantuan RM200 tambahan untuk setiap ahli bawah umur 18 tahun, kurang upaya, atau yang uzur.
- Membolehkan moratorium pinjaman menyeluruh, automatik, dan tanpa syarat bagi semua kelas pinjaman untuk sekurang-kurangnya 6 bulan, tanpa faedah kompaun.
- Luaskan tempoh kelayakan dan liputan Program Subsidi Upah dan Skim Insurans Pekerjaan, dan sediakan perlindungan untuk pekerja sektor tidak formal.
- Bantuan untuk PKS dalam bentuk pinjaman faedah 0%, dan geran langsung RM2 bilion untuk PKS dan perusahaan mikro.
- Moratorium sewa untuk semua bangunan kediaman dan komersial milik kerajaan.
- Membiayai langkah-langkah di atas dengan mengutamakan perbelanjaan Kesihatan, Bantuan Ekonomi dan Pendidikan, meningkatkan nisbah hutang jika perlu dan mengusahakan reformasi cukai yang menyeluruh.
- Menubuhkan majlis tindakan demi melaksanakan Pelan Tindakan Kecemasan (Kesihatan, Ekonomi, Pendidikan) dengan perwakilan masyarakat madani sekurang-kurangnya 40%.
“Hari ini, TINDAK! sudah mengumumkan tuntutan #TINDAK15 kami yang menyatakan dengan cukup jelas langkah-langkah apa yang perlu dilaksanakan segera tanpa berlengah. Tuntutan-tuntutan ini adalah hasil daripada rundingan kami dengan beberapa pakar, ” begitu katanya Muhammad Faisal Abdul Aziz, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang juga merupakan ahli jawatankuasa gabungan TINDAK!. “Sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia bersatu dan bangkit untuk menyelamatkan Malaysia!”
Dr. Badlishah Sham Baharin, Timbalan Presiden IKRAM Malaysia yang juga merupakan ahli jawatankuasa gabungan TINDAK!, berkata, “Kami menyenaraikan 15 tuntutan ini sebenarnya adalah suara daripada rakyat untuk rakyat, sesuai dengan apa yang kita katakan kita jaga kita, rakyat jaga rakyat. Kami berharap pihak bertanggungjawab dapat melaksanakannya, kerana kita merasakan bahawasanya usaha yang telah dilaksanakan selama ini, walaupun adanya usaha yang boleh kita hargai, tetapi pada keseluruhannya tidak mencukupi dan tidak berkesan untuk menangani pandemik COVID-19 dengan baik. Oleh itu, kami sebagai masyarakat madani berasa diri kami terpanggil untuk bersama-sama menawarkan solusi kepada permasalahan yang ada ini.
“Kita fokuskan solusi ini kepada dua aspek dulu, iaitu ekonomi dan kesihatan, kerana ini merupakan perkara yang paling penting sekarang ini yang sedang dihadapi oleh negara kita. Kami merasakan tuntutan ini jika dilaksanakan, ini dapat memulihkan negara kita daripada krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang sedang kita hadapi. Saya berharap seluruh rakyat Malaysia dapat menyokong tuntutan ini kerana ini datang daripada rakyat juga. Kami juga berharap bahawasanya tuntutan ini juga diambil serius oleh pihak berwajib,” ulas Dr. Badlishah Sham.
S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM yang turut bersolidariti dengan usaha TINDAK!, berkata, “Ini adalah inisiatif rakyat yang menjangkaui kaum dan menjangkaui agama. Ini adalah satu inisiatif akar umbi melibatkan pelbagai kumpulan. Kita bersatu untuk membawa tuntutan #TINDAK15!”