Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

IPOH, PERAK – 23 JULAI 2021: Petani-petani di Kuala Bikam, Sungkai, Perak, telah menang dalam kes saman yang dibawa oleh syarikat Pengurusan Pasir Perak Sdn Bhd terhadap mereka apabila Mahkamah Tinggi Ipoh menolak tuntutan syarikat tersebut untuk mengusir petani dalam satu keputusan yang diperintahkan pada hari ini.

Petani-petani di Kuala Bikam mula mendapat gangguan pada bulan Oktober 2018 daripada syarikat Pengurusan Pasir Perak Sdn Bhd yang mendakwa bahawa ia sudah mendapat kelulusan untuk mengambil pasir dari tanah seluas 190 ekar yang diusahakan oleh petani-petani di situ. Pengurusan Pasir Perak Sdn Bhd ialah anak syarikat kepada Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.), dengan fungsinya bertujuan untuk menguruskan aktiviti pengekstrakan pasir di negeri Perak. Syarikat tersebut cuba mengusir keluar petani-petani Kuala Bikam tanpa menawarkan apa-apa alternatif yang berpatutan.

Petani-petani Kuala Bikam telah mengusahakan aktiviti pertanian selama lebih 30 tahun, dengan tananam yang kebanyakannya sayur-sayuran dan buah-buahan yang dijadikan makanan, seperti terung, cili, sengkuang, ubi kayu, ubi keledek, pisang, mangga dan sebagainya, sementara juga adanya yang mengusahakan penternakan ikan air tawar dan sedikit tanaman kelapa sawit.

Petani-petani Kuala Bikam membuat aduan di Mahkamah Majistret Tapah di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah pada bulan November 2018 untuk menghalang tindakan syarikat Pengurusan Pasir Perak Sdn Bhd yang mengganggu mereka. Pada bulan April 2019, petani-petani ini mendapat perintah mahkamah di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah untuk membolehkan mereka kekal berada di atas tanah tersebut sehingga tanah berkenaan dilupuskan melalui tindakan sivil.

Pada bulan September 2019, syarikat Pengurusan Pasir Perak Sdn Bhd mengambil tindakan writ saman terhadap 30 orang petani Kuala Bikam untuk perintah milikan kosong dan injunksi untuk menghalang petani-petani daripada mengakses tanah tersebut.

Setelah kes berjalan untuk hampir 2 tahun, Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan pada hari ini (23 Julai 2021) bahawa tuntutan syarikat Pengurusan Pasir Perak Sdn Bhd itu tidak berasas dan menolaknya dengan kos. Dalam keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh, salah satu isu penting yang disentuh ialah pihak syarikat Pengurusan Pasir Perak yang memulakan tindakan saman terhadap petani-petani Kuala Bikam itu tidak mempunyai locus standi untuk mengambil tindakan ini kerana syarikat tersebut bukannya pemilik tanah yang sah dan ia tidak mempunyai lesen pemindahan bahan mineral yang sah untuk tanah seluas 190 ekar seperti yang didakwanya. Tanah seluas 190 ekar tersebut masih tanah milik Kerajaan Negeri Perak.

Keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada hari ini memberi kelegaan kepada petani-petani Kuala Bikam yang sudah lama mengusahakan aktiviti pertanian pengeluaran makanan di situ kerana dapat menghalang satu ancaman pengusiran paksa.

Petani-petani Kuala Bikam diwakili oleh peguam Bawani KS yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *