oleh Soh Sook Hwa

Isinya tebal dan berwarna keemasan, aroma yang kuat dan rasanya lemak manis dan pahit. Itulah penulisan kebanyakan pengulas makanan apabila menggambarkan durian Musang King, dan sememangnya juga tidak akan lupa menyebut betapa mahal harganya. Kalau ingin layan selera, kita tidak boleh elak daripada penampilannya yang berduri. Ia semacam mencari kebenaran, tanpa berfikir secara mendalam, kita tidak akan dapat satu gambaran yang menyeluruh, malah mungkin membuat penilaian mengikut persepsi yang sedia ada.

Penulisan ini bukan ulasan makanan, tetapi catatan cerita yang pernah saya dengar.

Saya diberitahu bahawa penduduk Sungai Ruan yang berusia empat puluh tahun ke bawah tidak akan dapat mengecam gambar yang dipaparkan di atas ini. Rumah papan itu pada satu ketika dahulu ialah kilang beras, pemiliknya Chung Tham Fatt menyewakan lesen mesin beras kepada pengusaha untuk menampung kos pentadbiran SJK(C) Sungai Ruan. Sewa bulan yang berjumlah RM335 itu diserahkan kepada sekolah sejak tahun 1957 selama 20 tahun. Rumah papan itu kemudian telah diambil alih oleh kerajaan tempatan dan disewakan kepada penjaja. Rumah itu telah dirobohkan pada sekitar tahun 1992.

Mengapa wujudnya sebuah kilang beras di Raub yang dikelilingi kawasan pergunungan? Ini amat mengejutkan saya kerana saya hanya tahu bahawa orang asli menanam padi bukit untuk kegunaan sendiri, tidak pernah saya dengar ada petani Cina yang menanam padi bukit. Pada zaman kegemilangan pengeluaran padi bukit pada tahun 1970-an, wujudnya dua buah kilang beras di kampung kecil ini.

Namun, agak payah juga penanaman padi bukit, penanamannya perlu meneroka tanah baru setiap kali dan tidak boleh ditanam di tempat asalnya. Maka dalam dua hingga tiga pulah tahun, petani beralih kepada koko, getah, sawit dan apa-apa sahaja tanaman yang popular pada ketika itu. Kemudian mereka mula menanam durian.

Sebenarnya, ramai petani mempunyai pengalaman yang sama. Jika harga sesuatu tanaman tinggi, mereka berpusu-pusu menanamnya. Pokok mengambil bertahun-tahun untuk berbuah, orang yang lebih awal menanamnya dapat merasai keuntungan yang lumayan, orang yang lambat mungkin tidak dapat balik modal kerana pasaran telah penuh dengan tanaman yang sama. Ini juga sebabnya harga borong durian berjenama D24 pada satu ketika tidak sampai RM1. Ketika itu, petani beralih ke tanaman lain yang popular untuk mencari jalan keluar.

Ini semua sudah menjadi sejarah. Musang King menjadi durian yang dicari-cari orang di pasaran antarabangsa, nilainya meningkat secara mendadak. Petani durian seolah-olah mendapat ayam yang bertelur emas, pendapatan mereka juga lumayan sejak itu. Akan tetapi, ayam bertelur emas ini bukannya jatuh dari langit, tetapi merupakan hasil kerja keras petani untuk berdekad-dekad lamanya, dari menanam, merawat, mengubahsuai teknik sehingga mencari saluran eksport.

Baru-baru ini, tindakan Jabatan Perhutanan dan Kerajaan Negeri Pahang menebang habis kebun durian di Raub, sekali lagi mengundang perhatian masyarakat terhadap petani durian di Raub. Sama ada tindakan tersebut melanggar perintah mahkamah yang dikeluarkan pada tahun yang lalu, Kerajaan Negeri dan petani-petani adanya pendirian yang masing-masing.

Banyak pertubuhan alam sekitar memuji tindakan tegas yang diambil oleh Kerajaan Negeri Pahang, tetapi lupa akan kerajaan yang sama telah memberikan hak pajakan tanah seluas 5,357 ekar (keluasan 3000 buah padang bola sepak) kepada Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd yang kononnya berazam untuk “membantu”  pemutihan petani tidak berlesen. Pada tahun 2018, hampir 3,000 ekar (keluasan 1,700 buah padang bola sepak) tanah kawasan tadahan air Hulu Sempam yang berhampiran Bukit Fraser pula dibuka oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan untuk tujuan menanam Musang King.

Meneroka hutan simpanan dara di kawasan tadahan air, pada masa yang sama menebang durian yang sedang membuahkan hasil; sekiranya ini bukan sandiwara politik yang saling bercanggahan, apa lagi? Pencerobohan hutan patut disekat oleh penguatkuasa, namun penguatkuasaan yang selektif ini menimbulkan kesangsian. Pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil tidak harus mengikut rentak pemerintah tanpa mempersoakan ketelusan mereka.

Ada juga pihak yang menyoal reaksi petani terhadap penguatkuasa. Bayangkan mereka telah dihalang oleh polis sejak awal pagi walaupun berunding lama dengan pihak berkuasa, lepas itu mendaki bukit melalui kebun lain, baru mendapati bahawa semua pokok durian yang ditanam bertahun-tahun lamanya ditebang begitu sahaja. Petani padahalnya tidak dapat mencegah ini daripada berlaku tetapi hanya boleh melepaskan emosi dan perasaan mereka.

Penguatkuasa bertindak secara melulu dan penguatkuasaan secara terpilih boleh dibaca sebagai provokasi yang disengajakan. Tidak adakah penyelesaian yang lebih baik? Tanpa notis, tanpa perundingan, sanggup bertindak kerana ada kuasa di dalam tangan, ini bukan tindakan pemerintah yang tegas dalam penguatkuasaan sebaliknya pemerintah yang bertindak sewenang-wenang.

Ada juga pihak yang menyamakan petani durian dengan kapitalis yang mengaut keuntungan, penguatkuasaan tersebut ialah tindakan yang adil kerana menyekat sumber alam diperas untuk keuntungan individu, malah membanteras korupsi yang telah berleluasa bertahun-tahun lamanya.

Sekiranya petani durian itu semuanya ialah kapitalis, operasi penebangan pokok hari itu tidak akan berlaku. Kita perlu faham, bilangan petani adalah ramai dan latar belakang mereka juga berbagai-bagai. Ada petani besar yang mengusahakan tanah yang seluas 20 atau 30 ekar, ada juga petani kecil yang mengusahakan tanah seluas 4 hingga 8 ekar sahaja. Dalam kalangan mereka, ada petani asal yang mengusahakan tanah itu berdekad-dekad lamanya, terdapat juga mereka yang baru masuk ke tapak hanya beberapa tahun kebelakangan ini. Tanah di situ ada yang diteroka sejak tahun 1960-an, terdapat juga hutan yang baru dibersihkan. Kita tidak patut pukul rata.

Betul, petani boleh juga mereka-reka cerita, namun, persekitaran dan pokok-pokok tidak akan berbohong dan menipu. Sebagai pemerintah, kerajaan mempunyai sumber yang mencukupi untuk mengenal pasti isu-isu sebegini. Akan tetapi, pemerintah gagal bertindak sedemikian tetapi bersekongkol dengan pihak lain yang cuba menawarkan pemutihan dengan perjanjian yang tidak masuk akal, malah memberikan pajakan tanah kawasan tadahan air kepada korporat besar untuk kegunaan mengaut keuntungan. Bukankah ini mendedahkan siapa sebenarnya kapitalis yang disokong oleh politikus?

Persoalan tanah pertanian halal atau haram berasal daripada kepincangan dasar pembangunan tanah negara kita. Ia bukan sahaja berlaku di tanah penanaman durian, tetapi petani-petani sayur juga menghadapi masalah yang sama. Kanun Tanah Negara kita diwarisi daripada British untuk menjaga kepentingan pemerintah kolonial. Pemerintah negeri mempunyai kuasa mutlak untuk memberikan tanah kepada sesiapa pun, tetapi tiada peruntukan yang melindungi petani atau peneroka asal yang berusaha atau sudah menduduki tanah tersebut bergenerasi lamanya. Tanpa pemantauan dan ketelusan, korporat besar atau pemaju yang ada kabel mendakwa bahawa mereka boleh membawa pembangunan, tambahan pula berpakat dengan anak syarikat kerajaan negeri untuk mendapatkan hak pengurusan dan pembangunan.

Maka, kebun sayur petani Perak yang diusahakan tiga denerasi berturut-turut dianggap haram, hasil usaha petani durian di Pahang diambil oleh korporat besar yang disokong oleh pemerintah. Petani juga pernah membuat permohonan tanah di pejabat tanah selama ini, ahli politik menaburkan janji setiap lima tahun untuk memberikan hak pemilikan, tetapi hanya segelintir sahaja diluluskan permohonan mereka.

Sayur dan durian yang kita beli di pasar tidak dilabel haram atau halal, tetapi tanah yang mengeluarkan tanaman ini semakin bernilai setelah dibangunkan oleh peneroka asal, sekarang sudah menjadi habuan yang dikejar oleh pihak-pihak tertentu.

Tanah dan hutan di Malaysia perlu dilindungi dan diuruskan dengan undang-undang yang lengkap dan cekap, namun perselisihan tanah tidak boleh diselesaikan tanpa meninjau konteks sejarah dan mata pencarian petani. Masalah ini rumit dan berduri. Jika pemerintah bertindak keras seperti hari itu, rakyat sewajarnya berwas-was kerana ada udang di sebalik batunya.

==========

Soh Sook Hwa ialah Bendahari Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *