4 JULAI 2021: Pekerja-pekerja pembersihan sekolah boleh berasa lega sedikit selepas Kementerian Pendidikan Malaysia menarik balik keputusannya yang mengurangkan pembayaran gaji sebanyak 40% kepada kontraktor Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK). Kementerian Pendidikan mengumumkan keputusan ini dalam satu kenyataan media yang disebarkan pada hari ini.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, pembayaran kepada kontraktor akan dibuat sepenuhnya sebagaimana yang dinyatakan dalam kontrak asal. Oleh yang demikian, sepatutnya tidak wujud lagi masalah syarikat kontraktor memotong gaji pekerja sekolah.
Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan yang menarik balik pelaksanaan langkah yang menjejaskan kehidupan pekerja ini. “Berikutan keputusan ini, kami berharap tidak timbul lagi isu kontraktor terpaksa memotong gaji pekerja KBK di sekolah,” kata Danial Hakeem, Penyelaras JPKK, dalam satu kenyataan sebagai respon kepada pengumuman terbaru Kementerian Pendidikan. JPKK telah mengetengahkan isu pemotongan gaji ini dalam satu sidang media yang diadakan pada 2 Julai 2021.
“Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada wakil-wakil pekerja KBK yang berani bersuara membantah arahan asal Kementerian Pendidikan. Kami berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin kepada isu ini dan yang telah mendesak Kementerian Pendidikan sehingga membawa perubahan ini,” kata Danial Hakeem. “Kuasa rakyat sekali lagi terbukti adalah pendorong utama kemenangan pekerja pembersihan dalam usaha menuntut semula hak gaji minimum mereka.”