(foto: SUARAM)

6 JULAI 2021 – KUALA LUMPUR: 4 orang aktivis sosial telah dipanggil untuk disoal siasat oleh polis berkenaan dengan sebuah filem animasi yang mengisahkan pencabulan hak asasi manusia dalam tahanan polis. Keempat-empat orang aktivis tersebut telah hadir di Ibupejabat Polis Bukit Aman pada hari ini untuk diambil rakaman percakapan.

4 orang aktivis yang disoal siasat polis ini ialah Dr. Kua Kia Soong (Pengarah SUARAM), Sevan Doraisamy (Pengarah Eksekutif SUARAM), Mohammad Alshatri (Koordinator Projek di SUARAM) dan Sharon Wah (Pengasas Bersama MISI: Solidariti). Siasatan tersebut berkaitan dengan filem animasi yang bertajuk “Chilli Powder and Thinner” yang diarahkan oleh Mohammad Alshatri dan diterbitkan oleh Freedom Film Network (FFN). Turut hadir bersolidariti pada hari ini ialah A. Sivarajan, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Sebelum ini, pada 2 Julai 2021, pihak polis telah menyoal siasat Anna Har (Pengasas Bersama Freedom Film Network dan penganjur pesta filem hak asasi manusia tahunan yang terulung di Malaysia) dan Amin Landak (kartunis yang melukis kartun untuk filem animasi “Chilli Powder and Thinner”). Pada hari yang sama juga, pihak polis membuat serbuan di pejabat FFN yang terletak di Petaling Jaya dan rumah kediaman Amin Landak di Wangsa Maju.

Filem animasi “Chilli Powder and Thinner” ialah sebuah filem pendek berdurasi 3 minit 45 saat yang mengisahkan keganasan polis yang dialami oleh beberapa orang anak muda semasa dalam tahanan polis sehingga menyebabkan kematian salah seorang daripadanya.

SUARAM mengecam tindakan siasatan polis ini kerana ia merupakan intimidasi dan gangguan terhadap pembela hak asasi manusia, termasuk artis dan penglipur lara.

S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), juga mengecam tindakan menyiasat aktivis-aktivis hanya kerana sebuah video animasi yang mengetengahkan dakwaan mengenai keganasan polis. “Satu-satunya siasatan polis yang patut dilakukan adalah terhadap polis yang terlibat dalam kejadian keganasan polis,” begitu katanya Arutchelvan. “Ironinya adalah sandiwara ini berlaku ketika kita sedang melawan pandemik yang membawa maut, dalam keadaan kadar bunuh diri 3 orang sehari, dalam keadaan hospital kita sedang tertekan dengan kes-kes COVID-19 yang begitu banyak, sementara rakyat sedang menyerah diri mereka untuk meminta bantuan dengan mengibarkan bendera putih.”

Arutchelvan menyifatkan siasatan polis terhadap aktivis ini merupakan tugasan yang paling tidak penting pada ketika kita sedang berdepan dengan krisis yang mendalam. “Tiba waktunya untuk anggota polis mengibarkan bendera putih apabila mereka diarahkan untuk melakukan aktiviti-aktiviti sebegini yang langsung tidak penting dan hanya akan membazirkan sumber-sumber mereka,” kata Arutchelvan.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 2 Julai 2021 oleh Centre for Independent Journalism (CIJ) and Freedom Film Network (FFN) dengan sokongan daripada 67 buah organisasi masyarakat sivil, adalah dinyatakan, “Siasatan tindak balas terhadap pembela hak asasi manusia, artis dan wartawan yang membangkitkan perhatian mengenai pencabulan hak asasi manusia, menunjukkan keperluan terdesak untuk melindungi kebebasan bersuara dan memastikan pegawai-pegawai polis di Malaysia dipertanggungjawabkan terhadap sebarang kejadian salah laku. Polis harus terbuka kepada penyemakan orang awam dan tuntutan untuk ketelusan, sementara harus sentiasa menegakkan kepatuhan kepada kedaulatan undang-undang. Memulakan siasatan hanya dengan alasan bahawa sesuatu kejadian tertentu yang menggambarkan polis secara negatif, adalah tidak wajar dan merupakan pencabulan yang serius terhadap jaminan kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan kita.” Masyarakat sivil juga menyeru untuk menggugurkan semua siasatan terhadap aktivis-aktivis yang mendedahkan isu keganasan polis dan menuntut penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera demi menegakkan kebertanggungjawaban dan keprofesionalan polis.

==========

Tontoni “Chilli Powder and Thinner” di sini:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *