oleh R. Mohanarani

Kami di Parti Sosialis Malaysia (PSM) kecewa dan terkejut mendengar bahawa Kerajaan telah mengurangkan bayaran kepada kontraktor pembersihan sekolah berasaskan alasan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang hanya membenarkan 60% pekerja di tempat kerja pada satu-satu masa. 

Adakah Menteri Pendidikan sedar bahawa tindakan Kerajaan ini akan mengurangkan gaji pekerja pembersihan sebanyak 40% ke RM660 – RM720 sebulan? Dan bahawa ia akan menjejaskan sejumlah 50,000 orang pekerja pembersihan di seluruh Malaysia, d kawasan bandar dan luar bandar? 

Kami sedar akan keengganan Kerajaan melihat pekerja kontrak sebagai pekerjanya walaupun menjadi “pengupah” (paymaster) mereka.  Kami biasa dengan posisi kerajaan bahawa sebarang masalah kerja yang dihadapi pekerja kontrak adalah tanggungjawab kontraktor, dan aduan harus dibuat di Jabatan Tenaga Kerja. Tetapi kerajaan tidak boleh lari dari tanggungjawabnya terhadap hak dan kebajikan pekerja kontrak di premisnya.

Kami faham pandemik COVID-19 telah menyebabkan tekanan kewangan yang besar kepada kerajaan yang terpaksa belanja berbilion-bilion ringgit bagi menyokong ekonomi dengan membantu perniagaan dan keluarga B40 yang terjejas.

Namun, tindakan memotong gaji bercanggah dengan niat nyata kerajaan untuk mengelakkan kemiskinan tegar dan kelaparan semasa krisis COVID-19. Ini kerana sesungguhnya, pengurangan gaji bagi lapisan pekerja ini yang kebanyakan mereka sudah pun berada dalam lingkungan B20 akan memiskinkan mereka lagi.

Sebilangan besar golongan ini terdiri daripada ibu tunggal, ataupun merupakan punca pendapatan tunggal yang sedang bersusah payah dengan gaji minimum RM1,100 – RM1,200 untuk menampung kos hidup yang semakin meningkat. Mungkin Menteri Pendidikan ada cadangan bagaimana golongan pekerja ini dapat menguruskan belanja mereka dengan separuh gaji? Seperti yang disedari Menteri Pendidikan, golongan miskin menghabiskan semua pendapatan mereka untuk keperluan harian – makanan, perumahan dan utiliti, pengangkutan dan kesihatan. Jadi, kalau pendapatan dipotong 40%, keperluan asas mereka tidak dapat diperolehi.

Sebabnya, pekerja pembersihan sekolah kerajaan ini tidak ada simpanan wang yang boleh membantu mereka apabila berlaku pengurangan pendapatan. Mereka adalah antara pekerja yang amat tertindas akibat sistem kontrak yang disalahguna oleh kerajaan kononnya untuk menjimatkan kos. Sistem kontrak sepatutnya digunakan untuk kerja-kerja sementara, bukan untuk kerja-kerja yang tetap seperti pembersihan sekolah. Akibat pelaksanaan sistem ini, seorang pekerja akan sentiasa menerima gaji permulaan sahaja tidak kira 2 atau 20 tahun perkhidmatannya; caruman kepada PERKESO dan KWSP akan sentiasa dikira berasaskan gaji minimum, maka pada umur persaraan simpanannya hanya sedikit sahaja dalam akaun KWSP.

Kami tidak faham. Kerajaan mengamalkan SOP hanya 60% pekerja dibenarkan di tempat kerja. Adakah kerajaan potong gaji untuk kakitangannya? Untuk syarikat swasta, kerajaan sediakan skim bantuan upah. Semua ini adalah langkah-langkah yang baik untuk rakyat. Jadi, mengapakah menganaktirikan pekerja pembersihan sekolah?

Menurut undang-undang kerja negara kita, majikan tidak boleh potong gaji pekerja. Tetapi kerajaan sendiri melanggar Akta Kerja!

PSM menyeru pada Kerajaan Malaysia supaya membatalkan dengan serta-merta keputusan untuk mengurangkan gaji pekerja kontrak di sekolah-sekolah kerajaan.

==========

R. Mohanarani ialah Ahli Jkuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

2 thoughts on “50,000 pekerja pembersihan sekolah bakal terjejas dengan pengurangan gaji

  1. Kami selaku pekerja kebersihan Tidak setuju Dan membantah. Gaji kami di potong 40% unt bulan jun.

  2. saya tidak bersetuju gaji dipotong 40% .lni memandamgkan keadaan sekarang yg memerlukan banyak kos untuk sara hidup.Pembelajaran anak-anak pdpr memerlukan wang untuk print bahan rujukan belajar dan banyak lagi.Pembelian data untuk pembelajaran secara alam maya memerlukan wang yang banyak serta penyediaan kemudahan untuk pembelajaran .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *