oleh Sharan Raj

Tindakan Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz, membenarkan pengeluaran KWSP sejak tahun lepas menunjukkan betapa “tidak cerdiknya” (incompetent) dalam menangani isu ekonomi rakyat kerana tindakan beliau akan menyebabkan pengangguran orang muda pada masa depan.

Sebelum COVID-19, gaji majoriti rakyat Malaysia terlalu rendah menyebabkan caruman KWSP tidak mencukupi bagi ramai pekerja untuk bersara.

Malah, kos rumah dan sara hidup yang terlalu tinggi menyebabkan berjuta-juta pekerja tidak mampu membuat simpanan persaraan tambahan, termasuk golongan profesional seperti jurutera, doktor, pensyarah dan arkitek.

Pengeluaran KWSP berkali-kali sebelum bersara akan menghabiskan simpanan persaraan yang sedia ada untuk berjuta-juta rakyat Malaysia dalam sekelip mata.

Rentetan itu, berjuta-juta rakyat tidak mampu bersara untuk mengeluarkan diri mereka daripada tenaga buruh negara apabila mencapai usia persaraan dan terpaksa bekerja sampai mati.

Sementara itu, anak muda yang mencapai usia bekerja terpaksa bersaing dengan orang tua untuk pekerjaan di semua sektor.

Malah, gaji untuk 99% rakyat akan mula menurun kerana jumlah tenaga buruh melebihi tawaran pekerjaan.

Golongan majikan dan kapitalis akan menggunakan peluang tersebut untuk merendahkan gaji seluruh kelas pekerja, sehingga menyebabkan jurang kaya miskin menjadi lebih teruk.

Zafrul sewajarnya melaksanakan “Pendapatan Asas Bersasar”, iaitu sejenis pembayaran wang secara terus daripada kerajaan kepada rakyat yang memerlukan untuk memastikan kehidupan asas terjamin sehingga ekonomi pulih.

Kerajaan sewajarnya mengenakan “cukai kecemasan” sebanyak 10% terhadap 50 orang terkaya di Malaysia yang akan menjana hampir RM37 bilion untuk melaksanakan skim Pendapatan Asas Bersasar.

Pada tahun 2020, ekonomi negara telah merosot sebanyak 5.6% tetapi kekayaan 50 orang terkaya di negara telah meningkat sebanyak 14% kepada RM374 bilion (US$90billion).

Ketidakmampuan Zafrul memahami impak jangka masa panjang terhadap ekonomi rakyat menunjukkan betapa tidak cerdiknya golongan teknokrat daripada pihak korporat dalam mengendalikan pentadbiran negara.

==========

Sharaj Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Setiausaha PSM Melaka.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *