Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.
==========
oleh Nik Aziz Afiq
Pemuda Sosialis PSM mengikuti dengan serius perkembangan tindakan kerajaan berkenaan golongan migran, khususnya ketika pandemik melanda negara. Kenyataan terkini Menteri Dalam Negeri meminta migran “serah diri” dilihat keterlaluan sekaligus menunjukkan kerajaan cetek fikiran dalam menangani isu ini.
Seruan untuk “serah diri” akan menimbulkan reaksi yang bertentangan. Ia akan menimbulkan ketakutan di kalangan migran yang takut dengan tindakan imigresen sekaligus menyukarkan program vaksinasi mahupun saringan wabak COVID-19 dilakukan.
Kerajaan perlu sedar migran di negara ini dilayan sebagai hamba oleh majikan. Ketika Menteri menyindir mereka tinggal di semak samun, hakikatnya begitulah kejamnya majikan yang memerah tenaga mereka tetapi tidak memperuntukkan insfrastruktur sewajarnya bagi mereka melangsungkan kehidupan. Sebagai hamba, mereka tidak boleh buat keputusan sendiri, tangan kaki mereka terikat pada apa yang majikan arahkan.
Nada ugutan kerajaan hanya akan buatkan majikan mereka bersikap defensif lalu menyekat mereka daripada bekerjasama, mengugut menahan pendapatan dan tidak mustahil melarikan mereka ke kawasan lain bagi mengelakkan tindakan kerajaan sekaligus merebakkan lagi jangkitan wabak jika sudah ada penyakit COVID-19 ini dalam kalangan mereka.
Apa pun berlaku, majikan tidak mahu rugi. Migran yang menjadi hamba mereka adalah aset tenaga kerja, majikan lebih rela migran mati daripada diserahkan kepada imigresen.
Kerana itu kami melihat kempen kerajaan akan menemui kegagalan. Akibatnya kerajaan akan menjalankan kempen lebih agresif dan drastik dengan memburu mereka dan menyebarkan propaganda kejam seperti yang berlaku baru-baru ini.
Kami mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mengambil langkah proaktif. Yang bermasalah di sini adalah majikan mereka, maka tekanan perlu diberikan kepada majikan bukan migran. Kempen yang dijalankan hendaklah lebih berperikemanusiaan. Hargailah sumbangan migran kepada pembangunan negara, kita terhutang budi pada aset tenaga kerja mereka.
Sekiranya mereka berikan kerjasama, usahakan supaya proses dokumentasi dapat dijalankan dengan lancar dan segera tanpa perlu membawa mereka ke pusat tahanan. Kita menyaksikan bagaimana tahun lalu kluster demi kluster dalam pusat tahanan muncul apabila kerajaan menyumbatkan mereka bersesak-sesak dalam pusat tahanan sekaligus membuatkan jangkitan tidak terkawal.
Jalinkan kerjasama dengan kedutaan-kedutaan negara terbabit, minta bantuan kedutaan untuk sampaikan informasi dan hilangkan ketakutan mereka.
Akhir sekali, kami merayu untuk tidak menghukum mereka. Mereka menempuh pelbagai derita, dilayan sebagai hamba, diberikan upah rendah, bekerja lebih masa dari sepatutnya, diberikan tempat tinggal setaraf kandang haiwan, bahkan bagi yang ada dokumen pula, dokumen mereka disimpan (dicuri!) majikan agar mereka hidup dalam keterikatan sepenuhnya. Berikanlah peluang mereka dapatkan dokumen dan bekerja secara sah di negara ini.
==========
Nik Aziz Afiq ialah Ketua Pemuda Sosialis PSM.