Gelombang protes rakyat yang hebat melanda Peru berikutan pemecatan Martín Vizcarra sebagai Presiden negara itu pada 9 November 2020 yang dianggap sebagai “kudeta parlimen” oleh ramai orang. Manuel Merino yang mengambilalih kuasa sebagai Presiden dan membentuk kerajaan berhaluan pelampau kanan dengan sokongan daripada laksamana-laksamasa Tentera Laut Peru, hanya bertahan selama 5 hari!

Walaupun Martín Vizcarra bukannya seorang pemimpin yang progresif dan mewakili kepentingan kelas pekerja, tetapi pemecatannya oleh elit politik yang menguasai parlimen Peru telah mencetuskan penentangan hebat daripada ribuan rakyat yang turun ke jalanan untuk menyuarakan penolakan rakyat terhadap seluruh sistem politik negara Peru yang penuh dengan kepincangan.

Martín Vizcarra bertanding sebagai calon Naib Presiden Pertama dalam pilihanraya umum Peru pada tahun 2016, berganding dengan Pedro Pablo Kuczynski yang bertanding sebagai calon Presiden untuk “Warga Peru untuk Perubahan” (Peruanos Por el Kambio, PPK), sebuah parti politik berhaluan kanan tengah kacukan liberal dan konservatif. Calon PPK menang dengan perbezaan undi yang tipis (50.12% undi melawan 49.88% undi dalam pengundian pusingan kedua) menewaskan calon daripada parti Fujimoris populis kanan “Angkatan Popular” (Fuerza Popular, FP), Keiko Fujimori, anak kepada bekas Presiden Alberto Fujimori yang memerintah negara Peru pada tahun 1990-2000. Vizcarra menggantikan Kuczynski sebagai Presiden Peru pada bulan Mac 2018 selepas Kuczynski meletak jawatan kerana dituduh terlibat dalam rasuah. Vizcarra kekal bebas tidak menyertai mana-mana parti politik semasa memegang jawatan Presiden, menggerakkan usaha melawan rasuah dalam sistem perundangan dan kehakiman, serta berjanji bahawa tidak akan bertanding untuk jawatan Presiden apabila penggalnya tamat pada tahun 2021.

Apabila Vizcarra menggerakkan referendum perlembagaan pada tahun 2018, yang memperkenalkan undang-undang yang mengawalselia pendanaan parti politik dan menyekat pemilihan semula ahli parlimen, dia mendapat tentangan hebat daripada Kongres yang dikuasai oleh parti pembangkang Fujimoris. Dengan “Angkatan Popular” yang menguasai 73 daripada 130 kerusi (iaitu majoriti) dalam Kongres terus menghalang usaha Vizcarra untuk melakukan pembaharuan, Viscarra membubarkan Kongres pada bulan September 2019 dan mengadakan pilihanraya awal untuk Kongres pada bulan Januari 2020. Pilihanraya pada bulan Januari 2020 walaupun menyaksikan kekalahan teruk “Angkatan Popular”, tetapi Kongres masih dikuasai oleh parti-parti pembangkang berhaluan kanan yang berasa bimbang terhadap usaha anti-rasuah Vizcarra dalam mengawalselia pendanaan kempen politik, mewujudkan ketelusan politik dan menyekat penglibatan orang yang disabit kesalahan jenayah dalam urusan kerajaan. Vizcarra juga mencadangkan untuk melakukan referendum semasa pilihanraya umum tahun 2021 untuk membatalkan kekebalan ahli parlimen, sesuatu yang amat tidak disenangi oleh ahli-ahli parlimen. Di bawah pimpinan Manuel Merino yang memegang jawatan Presiden Kongres Peru sejak bulan Mac 2020, ahli-ahli parlimen memulakan proses memecat Vizcarra dengan pertuduhan rasuah.

Pada 9 November 2020, sejumlah 105 orang ahli parlimen dalam Kongres Peru mengundi untuk memecat Vizcarra (melebihi 87 undi iaitu majoriti dua pertiga yang diperlukan). Pemecatan berasaskan pertuduhan rasuah ini telah memintas proses perbicaraan yang sepatutnya dan dilakukan oleh golongan ahli politik yang bermusuhan dengan orang yang dituduh. Yang ironinya, lebih separuh daripada ahli parlimen yang mengundi untuk memecat Vizcarra, yang dituduh rasuah, sendiri terlibat dalam pelbagai skandal rasuah. Manuel Merino mengambilalih kuasa sebagai Presiden Peru pada 10 November 2020.

Protes jalanan tercetus di bandar Lima sejurus selepas keputusan undi pemecatan Vizcarra diumumkan. Selain Lima yang merupakan ibu negara Peru, aksi protes turut tercetus di bandar-bandar di seluruh negara, termasuk Arequipa, Chiclayo, Chimbote, Cuzco, Huaraz, Iquitos, Lima, Tacna, Trujillo dan Tumbes. Polis Peru menggunakan kekerasan seperti penembakan gas pemedih mata untuk mematahkan protes jalanan, tetapi gagal menghalang rakyat Peru daripada berdemonstrasi selepas 9 November 2020. Ini merupakan gelombang protes rakyat yang terbesar di Peru dalam dua dekad kebelakangan ini, dan disertai oleh kebanyakannya anak-anak muda yang berorganisasi di peringkat akar umbi menggunakan media sosial.

Pada 14 November 2020, selepas dua orang demonstran mati dibunuh oleh pihak berkuasa, majoriti Menteri yang dilantik ke dalam kerajaan pimpinan Merino meletak jawatan. Sehari kemudian, di bawah tekanan hebat, Merino turut meletak jawatan. Merino yang berkuasa melalui “kudeta parlimen” hanya menjadi Presiden Peru untuk selama 5 hari sahaja!

Puluhan ribu rakyat Peru turun ke jalanan dengan slogan “¡Que se vayan todos!” (Semua harus pergi!), mencerminkan sentimen rakyat bukannya sekadar mempertahankan Vizcarra tetapi melawan elit politik borjuis yang penuh korup yang memecat Vizcarra. Rakyat marah pada ahli-ahli parlimen yang begitu ghairah untuk melindungi kepentingan diri mereka sendiri daripada pembaharuan anti-rasuah sedangkan rakyat jelata sedang dibelenggu dengan krisis yang mendalam. Negara Amerika Selatan yang mempunyai jumlah penduduk yang hampir sama dengan Malaysia ini, merupakan salah sebuah negara yang paling teruk dilanda pandemik COVID-19 di peringkat dunia, dengan jumlah kes jangkitan terkumpul mencecah 934,899 dan sebanyak 35,177 kematian setakat 15 November 2020. Pemecatan Vizcarra sebagai Presiden hanya mewujudkan krisis yang lebih mendalam daripada krisis serius yang sedia ada.

Kebangkitan rakyat Peru yang terbaru ini merupakan manifestasi rakyat menolak sistem politik yang melindungi hak keistimewaan golongan elit politik dan kepentingan pemodal besar. Perletakan jawatan Merino sebagai Presiden merupakan satu kemenangan pertama perjuangan kebangkitan rakyat Peru yang hebat ini. Perjuangan ini pasti akan diteruskan sehingga semua elit politik yang korup dan sistem yang penuh kepincangan disingkirkan.

(foto: Sebastian Castaneda / Reuters)

2 thoughts on “Peru: Rakyat bangkit jatuhkan rejim kudeta 5-hari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *