Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

Organisasi-organisasi masyarakat sivil di Malaysia menyeru pada Kerajaan Malaysia untuk menyokong penggantungan sementara penguatkuasaan hak harta intelek sebagai respon segera terhadap pandemik COVID-19 pada masa kini. Penepian terhadap Perjanjian Mengenai Aspek Hak Harta Intelek Berkaitan Perdagangan (TRIPS) Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) akan membebaskan teknologi-teknologi perubatan dan membenarkan lebih banyak pengeluar, termasuk pengeluar-pengeluar di negara-negara sedang membangun, untuk mempercepatkan dan meningkatkan pengeluaran vaksin, ubat-ubatan, diagnostik, ventilator dan produk perubatan lain yang diperlukan untuk menangani COVID-19.

“Kami mengalu-alukan pengumuman oleh Kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang dipimpin oleh Biden pada 5 Mei lalu bahawa AS tidak akan lagi menghalang cadangan penepian yang mula-mulanya dikemukakan oleh Afrika Selatan dan India kepada WTO pada bulan Oktober 2020 dan sekarang disokong oleh lebih daripada 100 buah negara sedang membangun,” begitu katanya kenyataan bersama yang ditandatangani oleh 31 buah organisasi masyarakat sivil pada 7 Mei 2021. “Satu kempen global yang menyaksikan tsunami seruan daripada warga biasa sehingga ke Pemenang Hadiah Nobel, bekas Ketua Negara dan malah Paus Francis telah menggesa AS, Kesatuan Eropah, Jepun, Kanada dan negara-negara kaya yang lain untuk jangan menghalang cadangan penepian itu.”

Organisasi-organisasi yang menandatangani kenyataan bersama tersebut termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Health Equity Initiatives (HEI), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI), Majlis AIDS Malaysia, Sahabat Alam Malaysia, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan sebagainya.

Dari bulan Oktober 2020 hingga bulan April 2021, perbincangan di WTO menemui jalan buntu kerana negara-negara yang menghalang cadangan penepian hak harta intelek dan industri farmaseutikal di sebaliknya hanya mengutamakan keuntungan dan kepentingan diri tanpa mempedulikan nyawa rakyat di seluruh dunia. Kesannya adalah pengeluaran vaksin dimonopoli oleh beberapa buah syarikat gergasi yang memegang paten dan rahsia perdagangan terhadap pengetahuan teknologi. Negara-negara yang kaya pula mengumpul vaksin dalam jumlah yang banyak, sehingga mereka memiliki lebih banyak daripada apa yang diperlukan mereka, sementara banyak negara miskin tidak mampu memvaksinasi barisan hadapan kesihatan mereka. Ini telah mencetuskan kemarahan di seluruh dunia.

Masyarakat sivil di Malaysia menggesa Kerajaan Malaysia untuk menyertai negara-negara sedang membangun yang lain yang sudah mengeluarkan seruan untuk menggantungkan penguatkuasaan hak harta intelek di bawah TRIPS sejak bulan November 2020. “Sementara Kerajaan telah mendapatkan vaksin untuk Malaysia, penyampaian yang sebenar adalah bergantung sepenuhnya pada sebilangan kecil pembekal sahaja, dan tiadanya jaminan bahawa kita akan mendapat semua yang kita perlukan,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh masyarakat sivil Malaysia. “Lihat pada India di mana syarikat pengeluar terbesar untuk vaksin AstraZeneca tidak dapat mengeksport lagi kerana apa yang dikeluarkan oleh mereka tidak mencukupi untuk India sendiri. Penepian yang harus diterima oleh negara-negara anggota WTO bukannya hanya berkaitan dengan vaksin. Ia juga harus meliputi ubat-ubatan untuk merawat COVID-19, diagnostik, injap ventilator, dan pelbagai produk perubatan yang diperlukan yang mempunyai paten, rahsia perdagangan dan pelindungan hak harta intelek yang lain. Sokongan AS terhadap penepian paten dan hak harta interlek yang lain untuk vaksin merupakan langkah pertama, tetapi ia masih tidak mencukupi.”

Dengan gelombang jangkitan yang baharu dan varian virus yang lebih berbahaya, kadar jangkitan COVID-19 semakin meningkat di negara kita. Malaysia sedang berada dalam kecenderungan jangkitan wabak yang membimbangkan dengan Kementerian Kesihatan sudah memberi amaran bahawa unit jagaan rapi di negara kita sedang mencecah kapasiti penggunaan penuh dengan cepat. Setiap negara termasuk Malaysia harus bersedia untuk menghadapi hakikat bahawa pandemik ini akan berlanjutan lagi untuk beberapa tahun akan datang.

Sesetengah ubat-ubatan sedia ada yang sedang berada dalam peringkat ujian klinikal dengan potensi untuk rawatan COVID-19 mempunyai kekangan paten di Malaysia. Sektor industri farmaseutikal tempatan kita boleh menjadi sebahagian daripada kesiapsiagaan kesihatan dan keselamatan negara kita, tetapi mereka memerlukan kebebasan untuk beroperasi, di mana penepian penguatkuasaan TRIPS oleh WTO boleh membantu dalam mempercepatkan usaha ini. Oleh yang demikian, masyarakat sivil Malaysia menyeru pada Kerajaan Malaysia supaya jangan menangguh lagi dalam menyokong penepian hak harta intelek untuk vaksin, dan juga ubat-ubatan, diagnostik dan semua produk perubatan yang diperlukan untuk melawan COVID-19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *