Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Sharan Raj

Pengumuman Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah bahawa tiada pemotongan bekalan elektrik di rumah yang memiliki tunggakan melebihi 6 bulan dialu-alukan, tetapi kerajaan perlu lebih proaktif membantu keluarga yang telah kehilangan pendapatan melebihi 6 bulan.

Terdapat berjuta-juta isi rumah yang bekerja dalam sektor tidak formal telah kehilangan pendapatan harian mereka sejak awal tahun 2020. Pekerja tidak formal tidak memiliki sebarang simpanan mahupun layak untuk simpanan KWSP atau bantuan PERKESO.

Barangkali berjuta-juta rakyat Malaysia tidak akan dapat membayar tunggakan bil elektrik walaupun selepas 6 bulan. Oleh yang demikian, kerajaan diseru mewujudkan sebuah mekanisme untuk melupuskan beban tunggakan bil elektrik yang tinggi untuk golongan tersebut.

Pada tahun 2020, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengaut keuntungan sebanyak RM3.6 bilion yang wajar digunakan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan teruk kerana krisis ekonomi dan krisis pandemik COVID-19.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) merupakan harta umum rakyat yang sedang diuruskan sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Sewajarnya, harta umum seperti keuntungan TNB disalurkan untuk membantu negara dan rakyat ketika krisis yang paling teruk semenjak penubuhan Persekutuan Malaysia.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli supaya menggunakan keuntungan TNB untuk membantu keluarga yang hilang pendapatan melebihi setahun dengan melupuskan tunggakan elektrik terkumpul.

==========

Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Setiausaha PSM Melaka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *