(Berikut ialah kenyataan bersama daripada 43 buah organisasi yang dikeluarkan pada 30 April 2021.)

Kami, Organisasi Sivil dan Politik yang menandatangani kenyataan mengenai Kartel Polis dan Kebebasan ini ingin menegaskan dan mengutarakan beberapa perkara penting berhubung dengan Institusi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) seperti berikut:

  1. Kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador, semasa wawancara Sinar Harian pada 18 Mac 2021 amat membimbangkan kerana beliau menegaskan satu kartel polis yang bersekongkol dengan penjenayah berada dalam nadi pasukan polis dan ia perlu dibersihkan. Ini adalah kali pertama dalam sejarah moden Polis Malaysia yang berusia 214 tahun, seorang Ketua Polis Negara tampil secara terbuka dan berani untuk membuat dakwaan ini.
  2. Dalam satu lagi kenyataan, KPN turut membuat satu lagi pendedahan mengenai kebocoran maklumat semasa Ops Pelican 3.0 yang menyebabkan ketua sindiket penggubahan wang haram terbesar di negara, Datuk Seri Nicky Liow terlepas dan masih bebas. Selain itu, IGP menegaskan seramai 34 orang majoritinya anggota polis termasuk Pegawai Polis Kanan turut terlibat. Ini adalah satu angka yang signifikan dan ketara.
  3. Pada 10 April 2021, Ketua Polis Negara pula mendedahkan bahawa pertukaran jawatan pegawai-pegawai kanan polis yang diarahkan olehnya telah ditangguhkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Mengikut arahan asal KPN, pertukaran Pegawai kanan ini akan melibatkan seramai 71 orang pegawai kanan polis termasuk Ketua Polis Negeri yang akan berkuatkuasa 12 April 2021, namun ini telah ditangguhkan oleh YB Menteri KDN semasa KPN bercuti. Kenyataan KPN dengan jelas dan nyata mengatakan bahawa arahannya tidak diikuti dan dalam bahasa lain ia seolah-olah telah disabotaj, dimanipulasi dan dikompromi. Beliau berkata bahawa sebagai Ketua Polis Negara, undang-undang dengan jelas menyatakan beliau adalah Command and Control, kawal selia PDRM.
  4. Pada 12 April 2021, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin menafikan beliau campur tangan sebagai Menteri Dalam Negeri tetapi pada masa yang sama menjelaskan bahawa penangguhan pertukaran pegawai kanan polis dibuat berdasarkan suara majoriti dalam mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dimana beliau juga adalah Pengerusinya. Maka secara tidak langsung, beliau tidak menafikan terlibat dalam pertukaran jawatan tersebut. Selain itu kenyataan ini juga memberikan persepsi bahawa majoriti orang dalam SPP tidak merestui penukaran jawatan pegawai kanan. Adakah ini bermaksud tindakan IGP untuk membersihkan PDRM sebelum beliau bersara, tidak dapat dilaksanakan atau adakah ia akan terbantut? Adakah ini juga bermaksud majoriti dalam pasukan polis yang hendak ditukar mempunyai sokongan dari pihak lain seperti SPP?
  5. Pada 15 April 2021, Ketua Polis Negara pula telah menuduh bahawa Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) melindungi pegawai tertentu yang disiasat manakala Datuk Ayob Khan, Ketua Polis Johor mengatakan tidak akan menyerahkan nama-nama anggota PDRM kepada JIPS untuk disiasat. Apabila Ketua Polis Negara dan seorang Ketua Polis Negeri atau CPO bersependapat begini mengenai JIPS, maka ini bererti JIPS tidak lagi dapat melakukan tanggungjawabnya dengan berkesan. Malah ini secara jelas pempersoalkan integriti sesetengah pegawai atasan di JIPS dan ini bukan sahaja merisaukan tetapi memberikan gambaran jelas bahawa JIPs tidak dapat berfungsi secara bebas atau dikawal oleh kumpulan kartel yang sedang disasarkan oleh IGP.

Berdasarkan kenyataan-kenyataan ini, kita boleh simpulkan bahawa:

i. Jelas wujudnya usaha-usaha untuk mengagalkan tugas Ketua Polis Negara di mana, ia memaksa KPN sendiri mengumumkan mengenai wujudnya satu kartel yang bersekongkol dengan penjenayah dan berusaha untuk membersihkan kumpulan ini.

ii. Wujud campur tangan secara langsung untuk mengagalkan tindakan dan prerogatif KPN di mana arahan beliau untuk menukar anggota-anggotanya, telah digagalkan oleh satu Suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri.

iii. Wujud dakwaan langsung bahawa Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) tidak boleh menjalankan tanggunjawab secara adil, bebas dan berkecuali.

Kami juga mengambil maklum bahawa kontrak KPN akan tamat pada 1 Mei 2021. Walaupun dalam dua tahun di bawah kepimpinan KPN ini, Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis atau IPCMC gagal ditubuhkan kerajaan, namun usaha KPN yang mendedahkan Kartel dalam PDRM dianggap sebagai tindakan yang berani dalam usahanya untuk membersihkan PDRM. Jadi, dengan ini kami organisasi-organisasi yang menandatangani kenyataan ini menyeru:

1.Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador harus diberikan mandat dan kepercayaan untuk melaksanakan tanggungjawabnya untuk membersihkan PDRM daripada penjenayah dalaman tanpa gangguan dan campurtangan pihak lain termasuk Menteri Dalam Negeri. Beliau juga harus diberikan masa yang cukup untuk melakukan mandat ini secara menyeluruh.

2. Penubuhan segera Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan kriteria-kriteria dan semangat asalnya pada tahun 2005 harus dibentang dan dilaksanakan. IPCMC adalah vaksin terbaik untuk mengubati masalah korupsi, salahguna kuasa dan jenayah dalam PDRM. Ia juga akan menyelamatkan PDRM dan membela anggota-anggota PDRM yang menjalankan tugas mereka dengan ikhlas dan berintergriti. Ia juga akan mengembalikan keyakinan rakyat kepada Institusi Polis yang tercemar dengan pelbagai tuduhan salahguna kuasa, rasuah, pilihkasih dan terkini kartel polis. Semua nama-nama yang dikaitkan dengan kartel ini tidak harus dicalonkan untuk menggantikan ketua polis negara dan juga mana-mana jawatan dalam PDRM.

3. Semua pihak yang datang dan tampil untuk memberikan kenyataan (whistleblower) terhadap polis yang korup dan melakukan jenayah harus mendapatkan perlindungan kerana mereka terdedah kepada risiko penjenayah termasuk mereka yang beruniform.

4. Adakah kesinambungan usaha KPN dalam pembersihakan PDRM akan diteruskan jika kontrak beliau ditamatkan? Adakah pengganti-penggantinya akan menyambung kerja yang ditinggalkan KPN atau adakah kemungkinan kita akan melihat nama-nama yang dikatakan bersekongkol dengan penjenayah itu akan kembali bertugas dan mengambil jawatan tertinggi dalam PDRM? Jika usaha pembersihan kartel daripada PDRM tidak diteruskan, maka ia akan memudaratkan PDRM dan membantutkan segala usaha pembersihan yang dimulakan sebelum ini.

5. Proses pemilihan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara termasuk Pegawai kanan harus dilaksanakan dan ditambahbaikkan supaya pemilihan adalah melalui proses yang lebih transparen, berintegriti dan amanah. Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang sedia ada harus diperbaiki untuk mencerminkan sebuah PDRM yang profesional dan adil kepada anggota- anggota Polis yang telus dan baik.

PDRM ialah sebuah agensi milik rakyat Malaysia dan merupakan institusi penting yang menjaga kepentingan rakyat sejagat, bukan sahaja dari segi keselamatan dan ketenteraman awam malah mencari keadilan dan kekalkan demokrasi dan hak asasi manusia. Melihat apa yang sedang berlaku, membuatkan kami dahagakan sebuah Institusi Polis yang profesional, berintergriti, bebas dan berkecuali. Kita akan menyokong segala usaha yang diambil oleh mana-mana pihak termasuk KPN untuk memastikan prinsip dan nilai ini dijamin demi kebaikan rakyat dan Negara.

Kenyataan ini disokong oleh Organisasi Sivil dan Politik seperti berikut:

  1. Academy for Tamil School
  2. Advancing Knowledge in Democracy and Law Initiative
  3. Agora Society
  4. ALIRAN (Persatuan Aliran Kesedaran Negara)
  5. All Women’s Action Society (AWAM)
  6. Amnesty International Malaysia
  7. BERSIH 2.0
  8. Beyond Borders Malaysia
  9. C4 Center (Center to Combat Corruption and Cronyism)
  10. CAGED (Citizens Against Enforced Disappearances)
  11. CIJ (Centre for Independent Journalism)
  12. CWWN (Community Women & Workers Network)
  13. Demokrat Kebangsaan
  14. EMPOWER Malaysia
  15. ENGAGE
  16. GERAK (Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia)
  17. Gerakan Pembebasan Akademik (GPA)
  18. IKRAM
  19. JERIT (Jaringan Rakyat Tertindas)
  20. Justice for Sisters
  21. KRYSS Network
  22. Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH)
  23. LLG Cultural Development Centre
  24. MADPET (Malaysian Against Death Penalty and Torture)
  25. MAJU (Malaysian Action for Justice and Unity)
  26. New Student Movement Alliance of Malaysia
  27. North South Initiative
  28. Ohmsi Sdn Bhd.
  29. Our Journey endorses
  30. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
  31. PATRIOT (Persatuan Patriot Kebangsaan)
  32. People Like Us Supports Ourselves (PLUsos)
  33. Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
  34. PROHAM (Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia)
  35. Pusat KOMAS
  36. SABM (Saya Anak Bangsa Malaysia)
  37. Sisters in Islam (SIS)
  38. Student Unity Front, UKM
  39. SUARAM (Suara Rakyat Malaysia)
  40. TENAGANITA
  41. Teoh Beng Hock Trust for Democracy
  42. University of Malaya Association of New Youth (UMANY)
  43. Voice of Youtharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *