108 orang pemimpin Parti Demokratik Rakyat (HDP), parti berhaluan kiri yang merupakan parti politik yang ketiga besar dalam Parlimen Turki, akan berhadapan dengan satu perbicaraan pertunjukan di Ankara pada 26 April 2021, yang besar kemungkinan membawa keputusan semua orang yang didakwa itu dihukum penjara seumur hidup.
Perbicaraan pertunjukan yang diaturkan oleh pihak berkuasa Turki ini merupakan satu lagi cubaan rejim pemerintahan Presiden Recep Tayyip Erdoğan untuk menghancurkan gerakan pembangkang yang demokratik di negara itu demi memperkukuhkan kekuasaan autoritariannya.
108 orang anggota HDP yang didakwa dalam perbicaraan pertunjukan ini, termasuklah ahli-ahli parlimen dan datuk-datuk bandar yang dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya. Dua orang mantan Pengerusi Bersama HDP, Figen Yüksekdağ dan Selahattin Demirtaş, yang telah ditahan sejak bulan November 2016, juga didakwa dalam kes ini. Pertuduhan yang dilemparkan ke atas mereka termasuk penglibatan dalam 37 kes pembunuhan, dan “mengganggu perpaduan dan integriti wilayah”.
Perbicaraan pertunjukan ini berkaitan dengan protes bersolidariti dengan Kobanî pada bulan Oktober 2014. Salah satu “bukti” yang dikemukakan untuk mendakwa 108 orang pemimpin HDP ialah satu hantaran Twitter pada 6 Oktober 2014 yang menyeru solidariti untuk rakyat Kobanî yang sedang menentang serangan daripada ISIS pada masa itu. Kesemua 108 orang yang didakwa merupakan pemimpin HDP yang hadir dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif Pusat HDP yang bersetuju untuk membuat seruan bersolidarti dengan Kobanî pada masa itu.
6 tahun setengah dahulu, pada bulan Oktober 2014, bandar Kobanî yang terletak wilayah Utara Syria sedang menghadapi pengepungan dan serangan hebat daripada kumpulan pengganas ISIS pada masa itu. Di negara Turki yang bersempadan dengan Utara Syria, tercetusnya demonstrasi yang bersolidariti dengan Kobanî dan mengecam kegagalan Kerajaan Turki dalam membanteras aktiviti keganasan yang zalim di sempadannya. Masyarakat Kurdi di Turki khususnya amat gusar apabila menyaksikan saudara serumpun mereka menghadapi ancaman pembunuhan besar-besaran di tempat tidak jauh dari sempadan Turki-Syria oleh kumpulan pengganas ISIS; sementara itu, walaupun Kerajaan Turki mengatakan bahawa ia menentang ISIS, tetapi apa yang dilakukan oleh Kerajaan Turki adalah menghalang sukarelawan daripada melintasi sempadan untuk membantu dalam usaha mempertahankan Kobanî di Syria. Dalam mata masyarakat Kurdi khususnya, tindakan Kerajaan Turki seolah-olah bersubahat dengan kumpulan pengganas ISIS untuk menawan Kobanî dan melakukan kezaliman terhadap masyarakat Kurdi di Syria.
HDP telah menyeru orang ramai untuk turun berdemonstrasi di jalanan pada 6 Oktober 2014. Demonstrasi jalanan yang bersolidariti dengan Kobanî itu walaupun diadakan secara aman, tetapi telah dilayan dengan meriam air, tembakan gas pemedih mata, peluru getah malah peluru hidup oleh pihak berkuasa. Kumpulan pelampau kanan yang tidak mahu melihat masyarakat Kurdi di Syria menewaskan ISIS juga mengadakan demonstrasi balas pada masa itu, dan bertindak ganas dengan menyerang demonstran yang pro-Kobanî. Dilaporkan 37 orang mati dalam keganasan semasa protes jalanan pada bulan Oktober 2014, dengan kebanyakannya merupakan ahli atau penyokong HDP yang pro-Kobanî dan merupakan mangsa keganasan pasukan keselamatan Turki. Namun, Kerajaan Turki pimpinan Erdoğan telah menuduh HDP sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap kematian dalam protes jalanan itu, dan menggunakannya sebagai alasan untuk melancarkan serang bertubi-tubi terhadap HDP dengan niat menghancurkan parti politik berhaluan kiri yang terbesar di negara Turki ini.
Sejak tahun 2016, lebih daripada 20,000 orang anggota HDP telah ditangkap, antaranya 10,000 orang telah ditahan atau dipenjarakan, termasuk Figen Yüksekdağ dan Selahattin Demirtaş, dua orang Pengerusi Bersama HDP pada ketika mereka ditahan, di samping ramai lagi ahli parlimen, datuk bandar dan aktivis HDP. Pihak pendakwaraya Turki juga memfailkan satu kes dengan Mahkamah Perlembagaan baru-baru ini pada 17 Mac 2021, untuk menuntut pengharaman HDP. Selain itu, Kerajaan Turki juga cuba mengharamkan lebih 600 orang pemimpin HDP daripada terus melibatkan diri dalam politik. Perbicaraan pertunjukan terhadap 108 orang pemimpin HDP yang akan diadakan pada 26 April 2021 merupakan sebahagian daripada plot untuk menghancurkan gerakan pembangkang demokratik berhaluan kiri yang paling besar di negara Turki pada masa kini. Selahattin Demirtaş, bekas Pengerusi HDP, seorang sahaja bakal berdepan dengan hukuman penjara selama 15,000 tahun sekiranya disabit kesalahan dalam kes Kobanî!
HDP bukan satu-satunya mangsa kepada rejim pemerintahan Erdoğan yang semakin bersifat autoritarian. Rejim Erdoğan yang hendak memperkukuhkan kuasa pemerintahannya telah menggunakan taktik pendakwaan jenayah untuk melenyapkan suara peguam-peguam, wartawan-wartawan, aktivis-aktivis dan ahli-ahli politik di Turki yang dianggap boleh menggugat kekuasaannya. Mereka yang mengkritik parti pemerintah, AKP pimpinan Erdoğan, sering dituduh dan dilabel sebagai “menyokong keganasan” dan menghadapi keganasan negara yang memenjarakan pengkritik sewenang-wenangnya. Perbicaraan pertunjukan untuk kes Kobanî jelasnya merupakan usaha terbarunya untuk melenyapkan suara pembangkang utama di negara itu.
Perbicaraan pertunjukan untuk kes Kobanî akan mula diadakan pada 26 April 2021, dan dijangka akan berlangsung selama 45 hari. Banyak organisasi di peringkat antarabangsa telah menyuarakan keprihatinan dan bantahan mereka terhadap perbicaraan pertunjukan yang memusnahkan demokrasi di Turki dengan lebih lanjut ini. Parti-parti politik progresif di Eropah, seperti Parti Kiri Eropah, Parti Hijau Eropah, Pakatan Bebas Eropah dan Parti Sosialis Eropah, telah menyeru semua orang yang prihatin pada perkembangan di Turki untuk menyatakan solidariti dengan 108 orang pemimpin HDP yang didakwa itu. Progressive International yang juga akan menghantar satu delegasi untuk memantau proses perbicaraan di Ankara, mengatakan dalam kenyataannya, “Oleh sebab demokrasi sedang dibicarakan, dan ianya tanggungjawab sejarah kita untuk mempertahankannya.”
2 thoughts on “Turki: Demokrasi terus diancam dengan perbicaraan pertunjukan terhadap HDP”