KUALA LUMPUR – 7 APRIL 2021: Pada ketika negara kita masih dibelenggu dengan ancaman pandemik dan kemurungan ekonomi, masih wujudnya insiden bank komersial membuli rakyat dan melelongkan rumah golongan B40 tanpa mempertimbangkan keadaan sebenar kehidupan rakyat bawahan.

Aktivis-aktivis daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama-sama dengan sebuah keluarga B40 yang dilelong rumah mereka mengadakan satu aksi protes di hadapan ibupejabat Bank Negara Malaysia pada hari ini, untuk menggesa campurtangan Bank Negara supaya menyelesaikan kemelut keluarga tersebut.

Letchumy A/P Pandari pada asalnya seorang penghuni di kawasan Rumah Panjang KTM Balakong, Selangor (di mana rumah asalnya sudah dirobohkan). Dia telah membeli sebuah unit pangsapuri kos rendah di Taman Balakong Jaya dengan harga RM35,000 pada tahun 2001. Letchumy A/P Pandari ialah seorang pekerja kilang pada ketikanya membeli rumah tersebut. Letchumy A/P Pandari mendapat pinjaman berjumlah RM31,500 daripada EON Bank Berhad, dengan anaknya Moganah A/P Muthaya sebagai peminjam bersama. Menurut perjanjian pinjaman perumahan yang ditandatangani pada masa itu, peminjam harus membayar balik pinjaman dalam tempoh masa 20 tahun (dari tahun 2004 hingga 2024) dengan bayaran ansuran bulanan sebanyak RM268. Moganah A/P Muthaya sebagai orang yang membuat bayaran, memasukkan wang kepada bank sebanyak RM270 setiap bulan.

EON Bank diambilalih sepenuhnya oleh Hong Leong Bank Berhad pada tahun 2011. Maka, Moganah A/P Muthaya terus membayar balik pinjamannya kepada Hong Leong Bank. Moganah telah membuat bayaran melalui pemindahahan wang secara auto-debit. Moganah tidak membayar ansuran pinjaman perumahan ini pada bulan April hingga September 2020 kerana Kerajaan telah mengumumkan moratorium pembayaran balik pinjaman bank untuk tempoh tersebut dengan tujuan meringankan beban golongan berpendapatan rendah ketika menghadapi pandemik COVID-19. Namun, keluarga Letchumy A/P Pandari yang tinggal di rumah itu dikejutkan pada 7 Oktober 2020 dengan satu kertas notis yang ditampal di pintu rumahnya oleh seorang yang mengatakan dirinya pemilik baharu rumah itu kerana sudah membeli rumah itu pada 1 Oktober 2020. Setelah menghubungi orang itu, barulah mereka menyedari bahawa rumah mereka telah dilelong oleh pihak bank pada 1 Oktober 2020.

Mereka kemudiannya baru diberitahu oleh pihak Hong Leong Bank bahawa rumah mereka dilelong kerana terdapat tunggakan sebanyak 3 bulan dari bulan Februari 2020. Mereka juga diberitahu oleh pegawai bank untuk pertama kali bahawa bayaran ansuran bulanan RM268 itu telah berakhir pada bulan Jun 2018 dan jumlah bayaran telah dinaikkan kepada RM325 sebulan mulai bulan Julai 2018. Mereka tidak pernah dihubungi oleh pihak bank sebelum itu berkenaan dengan kenaikan bayaran bulanan dan juga tunggakan pembayaran tersebut. Keluarga Letchumy berasa mereka telah ditipu dan dibuli oleh pihak bank. Ini kerana mereka tidak pernah putus membayar balik pinjaman bank dari tahun 2004 hingga bulan Mac 2020, tetapi secara tiba-tiba mereka dikatakan gagal membayar balik pinjaman pada ketika Kerajaan mengumumkan pelaksanaan moratorium terhadap pinjaman bank.

Keluarga Letchumy telah membuat aduan kepada Bank Negra pada 31 Disember 2020 mengenai masalah penyelewengan Hong Leong Bank yang menyebabkan rumah mereka dilelong. Mereka berasa terdapat niat jahat daripada pihak bank kerana tergesa-gesa untuk melelongkan rumah mereka.

Pada awal bulan Februari 2021, Moganah (anak Letchumy) dihubungi agen pembeli baharu yang mendesak mereka untuk berpindah keluar dari rumah itu dengan ugutan bahawa bekalan elektrik dan air akan dipotong sekiranya tidak keluar dari rumah itu. Pada 30 Mac 2021, pembeli baharu rumah itu telah memotong bekalan air dan elektrik rumah yang dihuni oleh keluarga Letchumy. Pemotongan bekalan air dan elektrik ini dilakukan tanpa perintah mahkamah.

Hong Leong Bank juga menghantar satu surat yang diterima oleh Moganah pada 20 Februari 2021, berhubung dengan aduan mereka kepada Bank Negara, di mana pihak Hong Leong Bank menafikan semua persoalan yang dibangkitkan keluarga Letchumy dan mendakwa bahawa bayaran ansuran terakhir yang dibuat oleh mereka adalah pada bulan Januari 2020.

Oleh yang demikian, keluarga Letchumy membuat aduan yang kedua di Bank Negara pada hari ini untuk menuntut campurtangan Bank Negara supaya menyelesaikan masalah mereka. Aktivis-aktivis PSM telah hadir untuk bersolidariti dengan keluarga mangsa kezaliman bank komersial ini. Turut hadir bersama ialah S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM; dan Soh Sook Hwa, Bendahari PSM. Keluarga Letchumy bersama dengan Arutchelvan telah berjumpa dengan dua orang pegawai daripada Bank Negara untuk menjelaskan masalah mereka.

Arutchelvan berkata, “Ini sebuah keluarga B40. Rumah mereka telah dilelong semasa pelaksanaan moratorium terhadap pinjaman bank dan pada ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mereka hanya tinggal lagi 4 tahun untuk menjelaskan semua bayaran mengikut perjanjian asal untuk membeli rumah ini, tetapi rumah ini sudah dilelongkan secara tiba-tiba. Kami memang tidak boleh menerima perkara sebegini!”

Arutchelvan menyeru pada Bank Negara untuk melindungi kepentingan pembeli-pembeli rumah kecil, dan meminta pada Bank Negara untuk mengaturkan mesyuarat bersama dengan pihak Hong Leong Bank supaya menyelesaikan isu ini. Keluarga Letchumy hanya menuntut supaya rumah yang dibeli mereka dan dibayar ansuran selama 16 tahun itu tidak dirampas begitu sahaja. “Kita mahukan bank yang lebih bertanggungjawab!” tegas kata Arutchelvan.

Arutchelvan juga mengatakan bahawa Hong Leong Bank telah menghubungi dia dan keluarga Letchumy pada hari ini, setelah mengetahui mereka hendak mengadakan protes di Bank Negara. Walau bagaimanapun, belum ada apa-apa lagi penyelesaian dan keluarga Letchumy akan menunggu maklum balas bertulis daripada pihak Hong Leong Bank.

[KEMASKINI 21 APRIL 2021: Isu ini telah diselesaikan dengan baik selepas pihak bank dan peminjam wang mencapai satu persetujuan bersama.]

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *