Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) mengadakan satu sidang akhbar pada hari ini (6 April 2021) untuk menyuarakan kebimbangan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tumbuhan yang boleh meningkatkan harga benih dan memiskinkan petani.

Berikut ialah kenyataan penuh FKMM:

Forum Kedaulatan Makanan Malaysia khuatir kerana Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan membentangkan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tumbuhan yang telah dibincangkan sejak tahun 2019, dalam sidang Parlimen akan datang. Menurut Menteri Pertanian dalam artikel berita pada 27 Mac 2021, RUU baharu ini akan mengawalselia semua benih terkawal dari segi pemprosesan, pengujian, penjualan, pengedaran, import, dan eksport untuk memastikan bahawa kualiti benih yang dihasilkan memenuhi syarat dan piawaian yang akan ditetapkan.

Benih terkawal ialah benih yang berasal daripada spesies tanaman atau varieti yang memiliki nilai komersial yang ditentukan dalam peraturan oleh lembaga khas yang akan dibentuk, iaitu Lembaga Kualiti Benih. Ini bermakna semua benih tanaman adalah berisiko dikawal pemprosesannya melalui undang-undang ini. Kawalseliaan terhadap semua benih terkawal ini akan dilakukan melalui penguatkuasaan perlesenan terhadap semua individu yang mahu melaksanakan apa sahaja proses yang melibatkan benih terkawal seperti yang disebut diatas. Untuk mendapatkan lesen, pemohon perlu membayar ‘fi’ dengan jumlah yang akan ditetapkan, menghantar sampel benih ke makmal yang dilantik untuk ujian kualiti dan mematuhi piawaian penyimpanan, pembungkusan dan pelabelan. Mana-mana individu yang melanggar undang-undang ini boleh dikenakan denda antara RM100,000 hingga RM200,000 atau dipenjara selama 3 hingga 5 tahun.

Benih berkualiti adalah penting bagi petani dan pengguna. Namun, pembentangan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tumbuhan ini di Parlimen akan memberi kesan yang lebih besar dari sekadar kawalan kualiti, kerana ia juga akan menafikan hak petani dan hanya menyokong pengeluar benih komersial. Selanjutnya, undang-undang yang diusulkan ini akan melarang amalan menyimpan, menukar, dan menjual benih oleh petani, yang sudah lama menjadi kebiasaan dan tradisi bagi petani di Malaysia. Hukuman denda dan penjara ke atas petani hanya kerana mereka menjalankan amalan tradisional adalah tidak adil, menindas dan dapat memprovokasi protes seperti yang pernah terjadi di Indonesia dan India, terutama jika kerajaan tidak berhati-hati dalam hal ini.

Undang-undang ini yang mewajibkan petani untuk melakukan ujian makmal dan mendapatkan pensijilan, hanya menggalakan amalan monokultur dalam pertanian di mana varieti yang diperkenalkan dalam pasaran akan berkurangan secara berperingkat dan akan mendiskriminasi kepelbagaian varieti petani dan sistem benih petani sekaligus memusnahkan kepelbagaian biologi secara umum seterusnya merisikokan pengeluaran makanan negara. Bagi petani kecil yang menjual benih secara kecil-kecilan di pasar lambak dan tamu pula, syarat pembungkusan dan pelabelan yang ketat akan menafikan hak mereka untuk menjual dan hak pembeli untuk membeli benih yang mereka suka.

Syarikat-syarikat besarlah nanti yang akan mengawal sistem benih Malaysia apabila pengusaha dan petani kecil yang memproses benih perlahan-lahan akan hilang, malah peranan agensi kerajaan juga akan berkurangan. Syarikat-syarikat inilah yang akan melaksanakan pemprosesan benih, bermula daripada menguji varieti sehingga mengedar dan menjual benih. Lebih malang lagi apabila wang kerajaan digunakan untuk mensubsidi sistem benih swasta ini dan mendiskriminasi sistem benih tempatan. Apabila ini berlaku, pilihan petani akan terhad dan mereka terpaksa mematuhi syarat dan sistem yang telah ditetapkan syarikat seperti menggunakan sistem racun dan baja yang telah ditentukan. Secara tidak langung, harga benih juga akan meningkat.

Kami ingin mengingatkan MAFI bahawa varieti petani tradisional, serta peranan petani kecil, diakui oleh Food and Agriculture Organization (FAO), International Treaty on Plant Genetic Resources for Food And Agriculture (ITPGRFA), Convention on Biological Diversity (CBD) dan juga Deklarasi PBB mengenai Hak-hak Petani dan Orang Lain yang Bekerja di Kawasan Luar Bandar.

Kami mendesak MAFI untuk terlebih dahulu membentangkan Rang Undang-Undang ini secara penuh dan melaksanakan proses konsultasi awam sebelum ia dibentangkan di Parlimen. Kali terakhir proses konsultasi diadakan dengan anggota Forum ini adalah pada tahun 2019. Adalah sangat penting untuk dilaksanakan satu lagi konsultasi dengan khalayak yang lebih luas di mana Rang Undang-Undang yang lengkap boleh dibaca dan diteliti kerana kami tidak tahu sama ada MAFI telah mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh Forum Kedaulatan Makanan Malaysia sebelum ini. Selanjutnya, kami mencadangkan agar Undang-undang Kualiti Benih yang sedang dalam proses penggubalan ini hanya dipakai ke atas syarikat-syarikat komersial yang menjual benih bagi memastikan benih yang dijual oleh mereka kepada pengguna adalah tulen dan berkualiti. Manakala pihak-pihak selain itu seperti individu yang menanam pokok sebagai hobi, anggota kebun komuniti serta golongan petani, seharusnya bebas untuk menyimpan, berkongsi dan menjual benih selagi ia tidak dilakukan secara komersial.

Kenyataan ini disokong oleh organisasi-organisasi dan individu-individu berikut:

Organisasi

  1. Agora Society
  2. Airis Health Trading
  3. Alfafa Farm
  4. Aliran
  5. Badan Bertindak Petani MADA
  6. Centre for Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA)
  7. Consumers’ Association of Penang (CAP)
  8. Free Tree Society Kuala Lumpur
  9. Gerakan Kepenggunaan Masjid
  10. Gerakan Pembebasan Akademik (GPA)
  11. Glimpse of Malaysia
  12. IDRIS Association
  13. International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ)
  14. Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI)
  15. Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM)
  16. Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)
  17. Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Berhad (MTEM)
  18. North South Initiative
  19. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
  20. PEMBINA Cawangan Gombak
  21. PEMBINA UIAM
  22. Persatuan Agroekologi Malaysia (Sri-MAS)
  23. Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA)
  24. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
  25. Persatuan Kesedaran Dan Keadilan Iklim Malaysia (Klima Action Malaysia – KAMY)
  26. Persatuan Melayu Marudi, Baram
  27. Persatuan Penduduk Iban Marudi, Baram
  28. Persatuan Penduduk Kampung Long Miri, Baram
  29. Persatuan Penduduk Kampung Long Pilah, Telan Usan, Miri
  30. Persatuan Penduduk Kampung Rumah Labang, Nanga Seridan, Tinjar Beluru, Miri
  31. Persatuan Penduduk Kampung Uma Bawang, Baram
  32. Persatuan Penduduk Sungai Buri, Bakong, Marudi
  33. Persatuan Penduduk Sungai Malikat, Baram
  34. Persatuan Penyelidik Sumber Asli, Pertanian Dan Alam Sekitar (SALAM)
  35. Persatuan Pertanian Alami Malaysia (NFAM)
  36. Persatuan Usahawan Tani Cinta Alam Kelantan (PUNCAK)
  37. Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS Malaysia)
  38. Pertubuhan Intelegensia Membangun Malaysia (IIMAM)
  39. Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (UNGGAS MALAYSIA)
  40. Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH)
  41. Sahabat Alam Malaysia (SAM)
  42. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
  43. Third World Network (TWN)
  44. Treat Every Environment Special Sdn Bhd
  45. Universiti Malaya Association of New Youth (UMANY)
  46. UTM-MJIIT Voices

Individu:

  1. Aiman Rahim
  2. Dr. Norinah Mohd Ali
  3. Hafizul Syarafi Mohd Noor
  4. Noorliza Mohd Noh
  5. Suriadi Abdul Jalal
  6. Muhammad Fahmi Roslan
  7. Nur Afiqah Ab Ghafar
  8. Shidi Othman
  9. Rosnah Alias
  10. Clare Westwood

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *