Parti Sosialis Malaysia (PSM) membantah rancangan perlombongan lantanid di kawasan Ulu Jelai, Kuala Lipis, Pahang, yang bakal merosakkan alam sekitar dan menjejaskan kehidupan masyarakat Orang Asli di situ. PSM menyatakan pendirian ini dan menyeru orang ramai supaya turut menyuarakan bantahan terhadap projek yang memudaratkan ini, dalam satu sidang akhbar yang diadakan pada 2 April 2021.  

Mereka yang hadir dan berucap dalam sidang akhbar ini termasuk A. Sivarajan selaku Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Meena Raman selaku Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Dr. Kalithasan daripada Global Environment Centre (GEC) dan Tan Cheng Siong daripada Biro Alam Sekitar PSM.

Masyarakat Orang Asli di Pos Lanai, Kuala Lipis, Pahang, sedang menghadapi ancaman daripada rancangan perlombongan Lantanid yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pahang. Projek perlombongan ini sekarang berada pada peringkat penyediaan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Konsesi untuk perlombongan lantanid di Ulu Jelai telah diberikan kepada 3 buah syarikat dengan jumlah keluasan tanah mencecah 660 hektar.

Lantanid ialah sejenis galian unsur nadir bumi yang wujud dalam konsentrasi yang rendah di dalam tanah. Sebelum ini, pernah tercetusnya kontroversi dan bantahan masyarakat yang hebat terhadap operasi kilang pemprosesan unsur nadir bumi di Malaysia, termasuk kilang pengekstrakan nadir bumi Asia Rare Earth di Bukit Merah, Perak, dan kilang Lynas di Kuantan, Pahang. Kilang Lynas memproseskan unsur-unsur nadir bumi termasuk lantanid, yang dilombong di Australia, tetapi sekarang ini adanya pula syarikat cuba melombong lantanid di Malaysia.

Ini merupakan kali kedua masyarakat Orang Asli di Pos Lanai dan Hutan Simpanan Kekal Ulu Jelai menghadapi ancaman daripada “pembangunan” yang menggadaikan kepentingan masyarakat Orang Asli dan ekosistem hutan kepada keuntungan korporat. Sebelum ini, masyarakat Orang Asli di Pos Lanai pernah menghadapi ancaman daripada rancangan pembinaan Empangan Ulu Telom oleh TNB yang dibatalkan pada tahun 2018 selepas Pakatan Harapan mengambilalih Kerajaan Persekutuan pada masa itu.

Projek perlombongan lantanid di Ulu Jelai telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pahang dengan syarat kawasan hutan yang dinyahwartakan harus digantikan dengan satu lagi kawasan hutan yang berkeluasan sama atau lebih besar. Pihak syarikat perlombongan sedang mengkaji semula terma rujukan untuk laporan EIA bagi projek tersebut, selepas Jabatan Alam Sekitar menolak terma yang dicadangkan oleh Aras Kuasa Sdn Bhd, salah sebuah syarikat yang terlibat dalam projek perlombongan lantanid.

Menurut Sivarajan, Rancangan Tempatan Daerah Kuala Lipis menyatakan dengan jelas bahawa kawasan yang terlibat merupakan hutan simpanan kekal, dan tidak boleh menjalankan aktiviti perlombongan. Sivarajan mempersoalkan bagaimana kelulusan untuk aktiviti perlombongan boleh diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang, sedangkan kawasan tersebut masih merupakan hutan simpanan kekal dan penyahwartaan hutan simpanan kekal tidak boleh dilakukan sewenang-wenang tanpa melalui sebarang siasatan awam. Sivarajan berpendapat bahawa birokrasi kerajaan telah disalahgunakan untuk memberi laluan kepada projek perlombongan ini.

“Kita perlu membantah projek ini sekarang juga sebelum EIA diluluskan. Jika EIA diluluskan, maka mereka akan terus menjalankan projek tanpa menghiraukan bantahan masyarakat tempatan,” kata Sivarajan.

Tan Cheng Siong menerangkan bagaimana teknik larut resap in situ (in-situ leaching) yang akan digunakan untuk melombong lantanid di Ulu Jelai bakal mendatangkan kesan sampingan yang buruk kepada alam sekitar, termasuk pencemaran sumber air bawah tanah oleh bahan kimia ammonia dan kemungkinan menyebabkan tanah runtuh di kawasan sekitar tapak perlombongan. “Kalau berlaku tanah runtuh atau sumber air Sungai Telom telah dihalang, seluruh hilir Sungai Telom akan terjejas atau hilang terus. Ini akan turut menjejaskan masyarakat Orang Asli yang hidup di sekitar Sungai Telom,” ulas Tan.

Masyarakat Orang Asli suku Semai yang tinggal di kawasan Ulu Jelai, telah menyatakan dengan jelas kerisauan dan bantahan mereka terhadap rancangan projek perlombongan di situ. “Perlombongan di kawasan Ulu Jelai tidak menguntungkan Orang Asli, malah boleh menjejaskan ekosistem hidupan liar seperti gajah di sini,” kata Jeffry bin Hassan, penduduk Kampung Pos Lanai yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli Pos Lanai.

Mat Nor, seorang lagi penduduk Kampung Pos Lanai, berkata, “Orang Asli di Pos Lanai menolak projek pembalakan dan perlombongan di sini. Masalah utama dengan pembalakan adalah ia boleh merosakkan alam sekitar. Perlombongan pun sama juga. Air sungai boleh menjadi kotor kerana perlombongan. Orang Asli yang menggunakan sungai boleh terkena penyakit seperti penyakit kulit dan cirit-birit. Ini boleh menjejaskan kehidupan Orang Asli.”

“Tak kiralah walaupun projek ini diluluskan oleh Kerajaan Negeri, tetapi Orang Asli di sini menegaskan bahawa kami tidak mahu projek sebegini,” tegas kata Mat Nor.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s