Masyarakat Orang Asli daripada suku Temiar di Gua Musang, Kelantan, menyatakan dengan jelas bahawa mereka membantah pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri yang bakal memusnahkan hutan dan kehidupan mereka.

Wakil daripada masyarakat Orang Asli yang terjejas oleh projek pembinaan Empangan Nenggiri telah mengadakan satu sidang media pada 22 Mac 2021 untuk menyuarakan bantahan mereka dan melancarkan kempen menyelamatkan Sungai Nenggiri daripada kemusnahan oleh pembinaan empangan. Mereka telah mengumpul tandatangan bantahan daripada lebih 3,000 Orang Asli sekitar kawasan yang bakal terjejas oleh pembinaan Empangan Nenggiri.

Pembinaan Empangan Nenggiri akan menenggelamkan lebih 5,300 hektar kawasan hutan dan wilayah tanah adat masyarakat Orang Asli di Daerah Gua Musang. Banyak komuniti Orang Asli akan terjejas sekiranya projek pembinaan diteruskan dan kawasan perkampungan mereka bakal ditenggelamkan air.  

Mustafa Along, Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), berkata, “Kami percaya bahawa pembinaan empangan ini akan menyebabkan kerosakan kepada ekosistem alam sekitar, di samping cara hidup, adat dan budaya kami sebagai Orang Asli dan Orang Asal di Malaysia.”

“Projek empangan ini akan menenggelamkan sebahagian wilayah tanah adat Orang Asli di sini. Walaupun adanya antara mereka yang tidak perlu dipindahkan, tetapi sebahagian besar wilayah tanah adat mereka akan ditenggelamkan,” kata Mustafa Along. Menurutnya, pembinaan empangan ini dijalankan tanpa proses rundingan yang telus. Masyarakat Orang Asli yang terjejas oleh pembinaan empangan hanya diberitahu tentang perkara yang “baik” seperti akan ditawarkan rumah, disediakan jalan dan elektrtik sekiranya berpindah, tetapi tidak pernah menjelaskan bahawa mereka akan kehilangan hak atau akses kepada tanah adat mereka. Terdapat dua buah kampung Orang Asli yang terjejas oleh projek tersebut langsung tidak dilibatkan dalam proses tinjauan pendapat untuk penyediaan laporan kajian impak alam sekitar (EIA).

Salah satu tempat yang akan ditenggalami air sekiranya pembinaan Empangan Nenggiri diteruskan ialah Gua Cha. Gua Cha terkenal sebagai sebuah tapak arkeologi yang mempunyai bukti-bukti pendudukan awal manusia di pinggir sungai di situ. “Kita akan kehilangan akses kepada sejarah nenek moyang kita jika tempat ini ditenggelam air,” kata Mustafa Along.

Masyarakat Orang Asli di situ mendakwa bahawa pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan laporan EIA, UKM Pakarunding, tidak menyatakan impak-impak buruk yang bakal dialami oleh masyarakat Orang Asli semasa bertemu dengan mereka.

“Daripada pengalaman sejarah sebelum ini, kebanyakan projek pembinaan empangan yang melibatkan kawasan-kawasan petempatan masyarakat Orang Asli tidak pernah memihak kepada Orang Asli. Orang Asli hanya mendapat kesan-kesan yang negatif. Contohnya di Gerik, Perak, masyarakat Orang Asli di situ terpaksa berdepan dengan serangan gajah liar ke atas kebun-kebun mereka kerana habitat gajah yang sangat luas itu telah ditenggelami air akibat pembinaan empangan. Kami terpaksa bersaing dengan hidupan liar untuk hidup,” ulas Mustafa Along.

Masyarakat Orang Asli juga akan mengalami masalah kehilangan sumber mata pencarian hutan sekiranya empangan dibina di atas kawasan wilayah tanah adat mereka. Sebelum ini, sama ada kes pembinaan Empangan Bakun di Sarawak, Empangan Temenggor di Perak ataupun Empangan Ulu Jelai di Pahang, telah menunjukkan bahawa komuniti-komuniti masyarakat Orang Asli yang terjejas tidak mendapat pembelaan yang sesuai untuk menjamin nasib dan kehidupan mereka.

“Secara amnya, kami, Orang Asli di sini, merasakan Empangan Hidroelektrik Nenggiri ini tidak relevan, kerana keluasan tanah yang begitu besar ditenggelamkan hanya untuk mendapatkan bekalan elektrik yang sejumlah 350 megawatt. Empangan ini juga tidak mampu menyelesaikan masalah banjir atau kemarau. Jika kerajaan betul-betul serius dalam menangani isu banjir dan kemarau, mereka hanya perlu menjaga hutan. Inilah cara yang terbaik. Kita tidak perlu mengeluarkan wang berbilion-bilion untuk membina empangan, sedangkan kita boleh menjaga hutan yang diciptakan oleh Tuhan,” tegas Mustafa Along.

Tuntutan yang dikemukakan oleh masyarakat Orang Asli di Gua Musang kepada Kerajaan, Kerajaan Negeri Kelantan, Tenaga Nasional Berhad dan pihak-pihak yang berkaitan termasuk:

  • Membatalkan projek pembinaan Empangan Nenggiri;
  • Jangan meluluskan aktiviti pembalakan dan perlombongan di kawasan hutan Gua Musang dan Hulu Kelantan kerana aktiviti-aktiviti inilah yang merupakan penyumbang utama kepada krisis banjir dan kemarau di negeri Kelantan;
  • Menyediakan satu alternatif yang lain untuk membina empangan yang lebih kecil sekiranya betul-betul perlunya;
  • Memilih sumber tenaga lain yang lebih bersih, hijau dan mampan supaya tidak mengorbankan hutan lagi;
  • Menghormati hak masyarakat Orang Asli terhadap tanah adat dan budaya mereka.

Masyarakat Orang Asli di Gua Musang juga menyeru pada masyarakat awam, badan-badan bukan kerajaan, ahli-ahli politik, ahli-ahli akademik dan sebagainya supaya menyokong kempen mereka untuk menghentikan projek pembinaan Empangan Nenggiri yang memudaratkan kehidupan Orang Asli dan hutan di Kelantan.

One thought on “Orang Asli bantah projek pembinaan Empangan Nenggiri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *