Bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini, masyarakat sivil di Malaysia melancarkan kempen “Kakak juga pekerja” dalam satu sidang akhbar atas talian pada 7 Mac 2021, untuk menggesa supaya memastikan pekerja-pekerja domestik di negara kita mempunyai hak yang sama dengan pekerja-pekerja yang lain. Kempen yang dilancarkan untuk mengiktiraf sumbangan pekerja-pekerja domestik dengan cara melindungi hak asasi mereka ini, merupakan usahasama daripada Persatuan Sahabat Wanita Selangor, EMPOWER Malaysia dan TENAGANITA. Kumpulan-kumpulan masyarakat sivil ini menggesa kerajaan supaya memansuhkan semua peruntukan dalam Jadual Pertama, Seksyen 2(1) Akta Kerja 1955 yang bersifat diskriminasi terhadap pekerja-pekerja domestik.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Persatuan Sahabat Wanita Selangor, EMPOWER Malaysia dan TENAGANITA, dinyatakan bahawa “Kerajaan Malaysia harus meminda Jadual Pertama Akta Kerja 1955, untuk menghapuskan diskriminasi yang jelas terhadap pekerja-pekerja domestik yang telah mewujudkan kesempatan untuk penyalahgunaannya dalam sektor yang terdiri daripada golongan wanita selama lebih 66 tahun Akta ini berkuatkuasa.”

Jadual Pertama Akta Kerja 1955 mengasingkan pekerja-pekerja domestik daripada pekerja-pekerja yang lain, di mana hak-hak pekerja yang disenaraikan dalam 6 Sekyen dan 3 Bahagian dalam Akta Kerja 1955, termasuk hak pekerja yang asas seperti jam kerja, hari rehat, notis penamatan kerja, syarat-syarat perkhidmatan dan perlindungan bersalin, telah dikecualikan untuk pekerja-pekerja domestik.  

Walaupun Akta Kerja 1955 menafsir “pekerja” sebagai “mana-mana orang atau golongan orang yang telah memasuki kontrak perkhidmatan dengan seorang majikan”, tetapi Jadual Pertama Akta Kerja 1955 telah memecahkan pekerja kepada beberapa kategori pekerjaan seperti pekerjaan kasar, penyeliaan pekerja lain yang terlibat dalam pekerjaan kasar pengendalian kenderaan berjentera, dan “kakitangan domestik”. Adalah termaktub dalam Jadual Pertama bahawa Seksyen-seksyen 12, 14, 16, 22, 61 dan 64, dan Bahagian-bahagian IX (merangkumi Sekyen 37 hingga 44A), XII (Seksyen 58 hingga 60I) dan XIIA (Seksyen 60J) adalah tidak terpakai untuk “kakitangan domestik”.

Akta Kerja 1955 sepatutnya memberi perlindungan hak kepada semua pekerja di Malaysia Barat yang bergaji tidak melebihi RM2,000 sebulan, tetapi pekerja-pekerja domestik yang juga memasuki kontrak perkhidmatan dengan seorang majikan seperti pekerja-pekerja yang lain telah dikecualikan daripada peruntukan-peruntukan undang-undang yang utama dalam Akta Kerja 1955, iaitu perlindungan yang paling asas bagi pekerja-pekerja. Pekerja-pekerja domestik juga dinafikan hak mereka daripada perlindungan keselamatan sosial seperti perlindungan PERKESO. Layanan yang tidak samarata terhadap pekerja-pekerja domestik di bawah undang-undang buruh di negara kita menunjukkan bahawa wujudnya pandangan daripada pihak berkuasa bahawa kerja-kerja domestik itu merupakan kerja yang “tidak produktif”, sedangkan pekerja-pekerja domestik telah membolehkan keluarga yang dijaga mereka menikmati pencapaian ekonomi dan kualiti kehidupan yang lebih baik di samping membantu dalam pembangunan ekonomi secara tidak langsung.  

Oleh yang demikian, kempen #KakakJugaPekerja dilancarkan untuk menyeru pada pihak kerajaan supaya meminda Jadual Pertama Akta Kerja 1955 dengan segera, bersesuaian dengan usaha negara kita yang sedang beralih kepada norma baharu dan memastikan negara Malaysia berkedudukan standing dengan piawaian perburuhan antarabangsa.

Tuntutan kempen #KakakJugaPekerja ialah:

  1. Pinda Akta Kerja 1955, dengan menyingkirkan perkara (5) dalam Jadual Pertama [Seksyen 2(1)].
  2. Meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Pekerja-pekerja Domestik (C189) yang menyenaraikan set piawaian perburuhan yang minimum untuk menggalakkan kerja yang baik bagi pekerja-pekerja domestik. Konvensyen ini melindungi semua pekerja domestik tanpa mengira syarat pekerjaan mereka, sama ada tinggal bersama majikan, kerja sambilan, kerja sepenuh masa, pekerja tempatan atau migran, serta mereka yang bekerja dengan lebih seorang majikan. C189 juga mengawalselia agensi-agensi pengambilan pekerja dan mewujudkan garis panduan untuk perlindungan undang-undang yang akan mencegah eksploitasi di samping mencegah kemerosotan piawaian keadaan kerja.
  3. Meratifikasi Konvensyen ILO mengenai Keganasan dan Gangguan (C190), yang bukan sahaja menyenaraikan garis panduan untuk menghapuskan tingkah laku dan amalan yang tidak boleh diterima dalam dunia kerja, tetapi juga menangani isu yang berkaitan dengan peluang yang samarata, kesihatan fizikal, persekitaran keluarga dan masyarakat yang terpakai dalam kedua-dua sektor awam dan swasta.
  4. Pinda Akta Kerja 1955 supaya semua pekerja domestik diberikan segala hak pekerja tanpa mengira status undang-undang dan gender mereka.
  5. Pinda Akta Kerja 1955 untuk menggantikan istilah “kakitangan” (servant) yang digunakan untuk mengatakan pekerja-pekerja domestik dengan perkataan “pekerja”, supaya mereka juga boleh menikmati perlindungan hak pekerja yang diberikan di bawah semua undang-undang dan peraturan-peraturan buruh yang lain.  

Kita harus menegakkan hak pekerja tanpa diskriminasi gender dan menghapuskan amalan penjajah yang mengasingkan pekerja kepada status yang berbeza. Pekerja domestik juga manusia yang mempunyai maruah. Kita harus menghormati dan melindungi hak semua pekerja, termasuk pekerja domestik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *