Kenyataan oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM)

Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk memasukkan pekerja kontrak di hospital kerajaan dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Keputusan kerajaan tersebut jelas menunjukkan bahawa pekerja pembersihan hospital kerajaan juga harus diiktiraf sebagai anggota barisan hadapan (frontliner) yang sangat penting, dan juga pekerja pembersihan adalah pihak yang menghadapi risiko tinggi semasa menjalankan tugas mereka serta memerlukan perlindungan seperti anggota petugas kesihatan yang lain.

Walau bagaimanapun, pekerja pembersihan masih dilayan berbeza dengan anggota petugas kesihatan yang lain. Pada bulan Mac 2020, anggota petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terlibat secara langsung dalam menangani wabak COVID-19, menerima Elaun Khas COVID-19 pada kadar RM400 sebulan. Pada bulan November 2020, kerajaan telah mengumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2021, bahawa barisan hadapan KKM akan menerima bayaran insentif COVID-19 one-off sebanyak RM500.

Malangnya, pekerja pembersihan sehingga sekarang masih tidak menikmati kedua-duanya elaun tersebut. (Elaun Khas COVID-19 dan bayaran insentif COVID-19 one-off).

Tambahan pula, pekerja pembersihan juga ditindas oleh majikannya, iaitu pemegang-pemegang konsesi yang terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Walaupun syarikat-syarikat pemegang konsesi ini adalah syarikat GLC, hak-hak dan kebajikan pekerja pembersihan seperti gaji, elaun, cuti tahunan, panel klinik dan lain-lain masih amatlah kurang dan juga ada yang dirampas.

Justeru, Kerajaan tidak harus menghentikan usahanya hanya di peringkat imunisasi bagi pekerja pembersihan, tetapi harus meneruskan usahanya dalam:

1. Mengiktirafkan pekerja pembersihan sebagai petugas barisan hadapan (frontliner).

2. Berikan Elaun Khas COVID-19 dan bayaran one-off kepada pekerja pembersihan dengan segera.

3. Serap semula pekerja pembersihan hospital kerajaan sebagai pekerja kerajaan dan bukan pekerja kontrak.

Pada masa yang sama, Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Hospital Kerajaan akan memantau pelaksanaan program imunisasi COVID-19 untuk pekerja-pekerja pembersihan. Sama-sama kita menyekat penularan wabak COVID-19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *