Gelombang protes anak muda besar-besaran tercetus di Greece sejak bulan Januari 2021 untuk membantah rang undang-undang pendidikan yang bersifat represif.
Kerajaan Greece yang dibentuk oleh parti berhaluan kanan, Néa Dimokratía di bawah pimpinan Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis, memperkenalkan rang undang-undang pendidikan terbaru yang membenarkan penubuhan pasukan polis khas di dalam kampus universiti. Rang undang-undang pendidikan yang terbaru di Greece juga mengenakan had tempoh masa untuk pelajar-pelajar menyempurnakan pengajian mereka di universiti, di samping syarat keperluan mencapai markah gred tertentu dalam peperiksaan yang lebih ketat untuk melayakkan diri memasuki universiti.
Rang undang-undang pendidikan terbaru ini penuh kontroversi kerana kehadiran polis di dalam kampus universiti telah diharamkan sejak tahun 1980-an pada ketika negara Eropah Selatan itu sedang melalui proses pendemokrasian. Rakyat Greece mempunyai memori ngeri tentang peristiwa pembunuhan pelajar-pelajar oleh pihak tentera yang mengerahkan kereta kebal untuk menyerbu Politeknik Athens pada tahun 1973 semasa pemerintahan kediktatoran tentera.
Pendidikan tinggi adalah percuma di Greece, dengan ramai dalam kalangan penduduk Greece cuba mendapatkan pendidikan tinggi untuk peluang pekerjaan yang lebih baik. Terdapat sebanyak 24 buah universiti kerajaan dan lebih 600,000 orang pelajar di negara kecil di Eropah Selatan yang berjumlah penduduk hampir 11 juta itu. Namun, kerajaan berhaluan kanan yang berkuasa sejak tahun 2019 cuba menyerang institusi pendidikan tinggi di negara itu untuk menyekat suara kritikan yang mencabar kekuasaannya dengan alasan mengembalikan ketenteraman kampus universiti, di samping hendak menjadikan sistem pendidikan di negara itu sesuatu yang eksklusif bagi golongan elit.
Protes memuncak apabila Parlimen Greece yang dikuasai oleh parti Néa Dimokratía mengundi untuk meluluskan rang undang-undang pendidikan baharu ini pada 11 Februari 2021. Pelajar-pelajar yang berdemonstrasi di luar Parlimen Greece di Athens, pada 10 Februari 2021, disuraikan oleh pasukan polis yang menggunakan kekerasan hebat, termasuk serangan belantan dan tembakan gas pemedih mata.
Alexis Tsipras, Ketua Pembangkang daripada parti SYRIZA, mengecam Kerajaan Greece pimpinan Mitsotakis yang cuba mengembalikan pemerintahan autoritarian di negara itu. Tsipras mengatakan bahawa pengenalan syarat kelulusan gred akan menyebabkan 24,000 orang pelajar, yang kebanyakannya daripada keluarga yang miskin, tidak dapat memasuki universiti sebaliknya terpaksa membayar untuk belajar di institusi pendidikan tinggi swasta.
Pelajar-pelajar dan anak-anak muda yang berprotes mempersoalkan kenapa Kerajaan Greece memutuskan untuk membelanjakan wang dalam kepolisan di kampus universiti dan memperketatkan disiplin pelajar sedangkan universiti-universiti di negara itu menghadapi masalah kekurangan dana dan kemudahan asas. Ini memang sesuatu yang tidak masuk akal.
Greece mempunyai sejarah kebangkitan pelajar universiti yang hebat. Pemberontakan pelajar di Politeknik Athens pada tahun 1973, walaupun dipatahkan secara kejam oleh rejim ketenteraan pada masa itu, tetapi telah menjadi pemangkin kepada proses pendemokrasian di Greece. Anak-anak muda Greece telah menggunakan ruang universiti yang lebih bebas sejak tahun 1980-an untuk membangkitkan isu-isu masyarakat yang penting. Adalah amat jelas bahawa Kerajaan Greece yang berhaluan kanan kini hendak mematahkan mobilisasi anak muda yang radikal di negara itu dengan memperkenalkan undang-undang pendidikan yang bersifat represif. Anak muda Greece tetap tidak akan berdiam diri dengan serangan ke atas ruang demokrasi di dalam kampus ini.
One thought on “Greece: Pelajar bantah undang-undang pendidikan yang represif”