Catatan oleh V
(V ialah nama samaran kepada seorang pengawal keselamatan sekolah, berumur 46 tahun. Ini ialah catatan tentang kisah benar yang berlaku pada dirinya.)
Saya ialah seorang ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak. Saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah kerajaan di kawasan Serdang, Selangor. Kerja ini ada dua syif, syif pagi dan syif malam.
Sejumlah 4 orang pengawal keselamatan diupah untuk bekerja di sekolah itu. Dua orang pengawal menjaga pada waktu pagi dan dua orang lagi pada waktu malam. Kita mengambil giliran untuk dua syif ini. Antara 4 orang pengawal ini, dua orang pengawal ialah perempuan. Pada waktu pagi, saya dan seorang pengawal lelaki akan bertugas, dan waktu malam seorang lagi pengawal perempuan dan seorang pengawal lelaki yang bertugas. Jika tukar giliran pun sama juga. Kami perlu duduk bersama dengan pengawal lelaki di pondok yang sama.
Kami juga harus berbincang bagaimana kami mahu berkongsi kerja yang ada. Contohnya, setiap kali ada pelawat yang datang ke sekolah, perlu pastikan mereka menulis maklumat mereka di dalam buku pelawat. Waktu pagi dan waktu habisnya sekolah selalunya sangat sibuk untuk memastikan pelajar-pelajar keluar dari sekolah dan melintasi jalan dengan selamat, menunggu untuk bas di tempat yang disediakan dan sebagainya.
Kami tiada masa rehat yang spesifik. Saya dan rakan kerja saya perlu mengambil giliran supaya pergi ke restoran berdekatan untuk membeli makanan dan makan di pondok pengawal. Saya selalu berkongsi masalah yang saya hadapi dalam kehidupan saya dengan rakan sekerja saya. Ini kerana dialah yang teman saya sepanjang 12 jam di sekolah. Saya tiada pilihan lain. Saya juga selalu mengangis bercerita tentang kehidupan saya sebagai seorang ibu tunggal. Dia pun tunjukkan rasa kasihan terhadap isu saya.
Pada satu hari, kami menjalankan tugas syif waktu malam pada hari itu. Saya datang kerja dengan perasaan yang sangat sedih kerana wujud pertelingkahan dengan salah seorang saudara daripada pihak suami saya atas isu rumah yang kami tinggal atas nama suami saya dan adik dia. Adik suami saya mahu memiliki rumah tersebut dan meminta kami keluar dari rumah itu. Saya bergaduh dengan dia dan terus datang ke kerja. Saya meluahkan perasaan saya dengan rakan sekerja lelaki. Masa itu, dia pegang tangan saya dan cuba memeluk saya untuk menabahkan diri saya, tetapi saya berasa sentuhan itu tidak betul dan dia mengambil kesempatan terhadap situasi saya. Saya terus menolak dia dan memarahi dia.
Selepas hari itu, rakan sekerja saya ini mula berhenti bercakap dan membalas dendam terhadap saya di tempat kerja. Dia tidak memberi kerjasama dalam kerja dan selalu menyalahkan saya jika berlaku apa-apa kesalahan dalam kerja. Saya pelik dengan tindakannya dan mula bergaduh dengannya. Saya hilang ketenangan hidup di tempat kerja. Rakan sekerja saya mengadu tentang saya kepada pegawai peronda syarikat kawalan keselamatan. Selepas dua minggu, saya diberi surat berhenti oleh pegawai peronda syarikat, dengan alasan nama saya disenaraihitamkan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan saya tidak layak untuk membuat kerja pengawal keselamatan. Saya terkejut dengan berita ini kerana saya sudah bekerja lebih 10 tahun sebagai pengawal keselamatan dan saya juga merupakan seorang ahli Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). Maka, bagaimana saya boleh disenaraihitamkan di Kementerian Dalam Negeri (KDN)?
Kini, saya sedang menunggu untuk tarikh perbicaraan kes saya di Mahkamah Perusahaan berkenaan dengan pembuangan kerja yang tidak sah.