Sosialis.net menemuramah Ain Zafirah Binti Md Said, salah seorang anak muda yang menyertai Parti Sosialis Malaysia (PSM), untuk mengetahui lebih mendalam tentang motivasi anak muda hari ini melibatkan diri dalam parti kiri.

Ain Zafirah Binti Md Said, berumur 28 tahun, ialah seorang graduan yang bekerja sebagai pembantu am.

==========

S: Sosialis.net

A: Ain Zafirah

==========

S: Bilakah anda menyertai PSM? Apakah yang menarik anda untuk menyertai PSM?

A: Antara sebab saya berminat dan telah menyertai menjadi ahli PSM pada awal bulan Mac yang lalu, adalah kerana saya telah mencapai satu tahap kesedaran bahawasanya seorang rakyat biasa juga layak memperjuangkan hak-hak asas yang penting dalam cara yang lebih fomal seperti dalam perjuangan parti. Saya pernah ditahan di dalam lokap kerana isu siaran Facebook yang agak sensitif untuk masyarakat Malaysia. Sepanjang penahanan saya di dalam lokap selama 3 hari, ia telah mengetuk pintu kesedaran saya tentang isu hak kemanusian. Penting untuk seorang warganegara mengambil tahu apa itu politik, mempunyai pengetahuan untuk membezakan maklumat gosip politik murahan yang melelahkan dengan isu politik berguna yang berkaitan dengan hak rakyat yang boleh dijadikan sandaran hidup.

Melalui pengalaman hidup sebagai pekerja am, saya telah banyak menyaksikan sendiri pelbagai ketidakadilan dalam layanan yang diberikan kepada orang awam oleh pihak yang kita anggap mereka sebagai pihak atasan, tidak kiralah mereka adalah majikan yang memberi upah gaji ataupun pihak penguasa yang sepatutnya melindungi orang awam. Saya amat pasti pengalaman sebegini bukan dialami sendirian, kebanyakan daripada kita sudah tentu mengalaminya, namun memilih untuk memendam rasa, berdiam diri daripada bertindak kerana kita rasa lemah tidak berdaya. Perasaan dan sikap masyarakat sebeginilah yang menjadi punca kepada rakyat terus ditindas tanpa sedar. Tidak semestinya rakyat biasa berkelayakan sederhana dengan pekerjaan yang tidak begitu cemerlang perlu mengabaikan tanggungjawab dan terpaksa korbankan hak asas sendiri sewenang-wenangnya untuk  dimonopoli oleh pihak yang ingin mengambil kesempatan secara tamak. Oleh sebab ini, saya memilih sertai PSM kerana yakin pada konsep yang mendukung parti ini yang lebih dekat dengan cara hidup dan jiwa rakyat kebanyakan, lebih rela mendengar serta membanting tulang bertegas ingin mempertahankan hak rakyat terutamanya dalam isu-isu hak pekerja  tanpa mengira darjat, pangkat, kaum dan agama. Akar tunjang perjuangan parti ini sangat pentingkan keadilan dan kehidupan yang harmoni.

*********

S: Pada pandangan anda, kenapa sosialisme mempunyai konotasi yang negatif dalam kalangan ramai orang? Apakah yang akan anda kata kepada mereka yang tidak menggalakkan anda menyertai PSM?

A: PSM adalah satu parti yang sering disalah erti kerana wujudnya perkataan sosialisme itu yang telah dimomok-momokkan sebagai idea pengaruh negatif sejak dulu lagi. Entah mengapa idea kiri ini selalu digambarkan sebagai pencetus huru-hara pemberontakan dalam negara kita oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kemungkinan pihak tersebut ingin terlihat hebat dengan memburuk-burukan konsep daripada parti lain tanpa mengenali apa yang telah diperjuangkan mereka. Pada saya, idea haluan kiri ini adalah cabang-cabang cara dalam pemerintahan dan konsep ini perlu diteliliti oleh rakyat biasa. Perubahan keselesaan taraf hidup sekarang yang kita nikmati adanya lahir daripada hasil perjuangan sosialisme berhaluan kiri. Pandangan serong perlu diketepikan dan setiap individu yang cakna hal semasa perlu mengkaji dulu sebelum menilai. Nasihat saya, jangan cepat terpengaruh dengan sajian berita media utama. Ada masa ada yang bersifat neutral dan ada masa terdapat agenda tersembunyi.

**********

S: Sejauh mana pengetahuan anda tentang sejarah kiri di Malaysia? Adakah mana-mana pemimpin kiri yang anda kagumi?

A: Saya ingin mengambil kesempatan ini dan mempunyai niat besar untuk menanam kesedaran pada orang awam supaya jangan sesekali rasa tidak bernilai dalam negara, kerana saya juga daripada golongan bawahan. Perjuangan hak rakyat memerlukan saluran pelaksanaan dan PSM adalah parti yang bertindak sebagai salah satu saluran yang bertepatan untuk pelbagai suara rakyat. Sebagai seorang rakyat berpendapatan sederhana daripada golongan kebanyakan, secara jujurnya saya tahu tentang konsep haluan kiri ini secara permukaan sahaja. Kini, apabila saya telah sertai PSM, saya boleh meneroka lebih banyak ilmu pengetahuan tentang konsep sosialisme dengan lebih mendalam dengan ahli-ahli lain. Sumber rujukan dan perkongsian tentang sejarah tentang Sosialisme yang boleh menjadi teladan contoh juga ada disediakan oleh PSM. Pemikiran saya menjadi lebih tajam apabila mampu berfikir setelah dilatih untuk memahami pelbagai sisi daripada perspektif lain, sekali gus dapat mengajar diri untuk mengenali peranan dan tanggungjawab rakyat. 

Sebagai ahli yang agak baru dan masih berumur muda belia, boleh katakan saya sertai PSM kerana tertarik dengan hasil-hasil usaha parti tersebut dalam perjuangan rakyat terutamanya dalam hak pekerja. Saya tidak pernah obses dengan mana-mana individu untuk sertai mana-mana parti kerana saya mempercayai individu yang berwibawa untuk menjadi ketua datang daripada mereka yang bersemangat inginkan perubahan. Sifat kepimpinan ini boleh dilatih dan dipupuk selagi berpegang pada asas-asas perlembagaan pendirian parti. Saya memilih parti berdasarkan pendirian parti tersebut. Lantaran ini, saya memberi penghormatan yang tertinggi kepada mereka yang mengasaskan dan menggerakkan parti PSM kerana mempunyai pemikiran berani dan semangat juang tinggi untuk membangkitkan isu-isu berat berkaitan hak rakyat yang sering kurang dapat perhatian.

**********

S: Adakah apa-apa perbezaan antara pemerintahan BN dan PH?

A: Orang muda seperti saya sudah muak dengan perjuangan parti veteran seperti PH dan BN. Perjuagan parti veteran ini terlalu fokus mempromosikan kebajikan dengan memperalatkan kuasa bangsa dan agama. Menurut pandangan peribadi saya, parti-parti gergasi ini sebenarnya lebih berjuang untuk menaikkan nama parti mereka sendiri, untuk mendapat kemahsyuran sebagai jalan meluaskan rangkaian parti yang akhirnya mereka yang lebih merasa manfaatnya daripada rakyat.

***********

S: Apakah yang boleh dilakukan untuk memperluaskan pengaruh PSM, khusunya dalam kalangan anak muda berbilang kaum?

A: Agak sukar untuk memecah pemikiran orang ramai tentang PSM terutama dalam masyarakat Melayu.

Jika ingin mengembangkan konsep sosialisme yang didukung PSM, perlu lebih konsisten dalam memperkenalkan konsep-konsep sosialisme yang mudah difahami kepada orang ramai. Orang ramai akan tertarik dengan PSM jika parti mudah didekati dan ramah mesra. Iklan-iklan teori PSM perlu dalam visual yang lebih ringkas, lebih ceria dan kurang teks panjang kerana tidak mahu pening dan dianggap sebagai beban minda jika ianya terlalu kompleks.

***********

S: Ada apa-apa yang hendak ditambah di sini?

A: Sebagai penggulung hujah, saya ingin masyarakat kita sedar bahawa orang biasa dengan pendapatan sederhana makan gaji tidak bermakna lemah dan perlu tunduk buta pada majikan atau pihak atasan jika kita tidak melakukan apa-apa kesalahan. Sebagai rakyat biasa, kita perlu ambil tahu serba sedikit tentang politik yang bakal beri perlindungan diri kita. Perlu asah minda untuk ada kemampuan menilai mana dasar yang menindas atau membina orang awam. Jika orang awam masih bersikap acuh tak acuh serta tak peduli untuk pertahankan haknya, kesannya penindasan akan bersambung ke generasi akan datang.

==========

Untuk menyertai PSM, sila isikan borang keahlian secara atas talian di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *