26 Januari setiap tahun disambut di negara India sebagai Hari Republik. Hari Republik disambut untuk memperingati negara India menjadi sebuah republik yang baharu dan merdeka apabila Perlembagaan India mula berkuatkuasa pada 26 Januari 1950. 26 Januari dipilih sebagai Hari Republik juga kerana “Purna Swaraj” (Perisytiharan Kemerdekaan India) yang diisytihar oleh Kongres Nasional India pada 26 Januari 1930. Mengikut tradisi sambutan Hari Republik, yang menjadi tumpuan pada hari yang bersejarah ini ialah upacara perarakan rasmi yang menonjolkan kekuatan tentera dan kepelbagaian budaya India di sepanjang Rajpath, sebatang jalan dari Gerbang India ke Istana Presiden India di New Delhi. Namun pada tahun ini, yang menjadi tumpuan utama seluruh rakyat India bukannya upacara perarakan yang bersifat pertunjukan rasmi, tetapi aksi perarakan petani-petani di Delhi untuk memprotes terhadap tiga undang-undang pertanian yang anti-petani.
Aksi yang digelar sebagai “Perarakan Kisan Gantantra Diwas” (Perarakan Hari Republik Petani) ini dianjurkan oleh Samyukta Kisan Morcha (SKM) ataupun Fron Bersatu Petani, sebuah gabungan yang terdiri daripada lebih 40 buah kesatuan petani India yang dibentuk sejak bulan November 2020 untuk menyelaraskan aksi bantahan terhadap undang-undang pertanian yang diperkenalkan oleh kerajaan berhaluan kanan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Narendra Modi. 26 Januari 2021 juga menandakan genapnya dua bulan aksi mogok nasional yang disertai lebih 250 juta orang pekerja dan petani di seluruh India pada 26 November 2020. Petani-petani yang memprotes terhadap undang-undang anti-petani meneruskan aksi bantahan mereka di Delhi selepas aksi mogok nasional dan sudahpun berlarutan selama dua bulan. Aksi protes pada 21 Januari 2021 merupakan kemuncak terbaru untuk perjuangan petani India yang melawan undang-undang anti-petani yang menjejaskan rezeki mereka.
Tiga undang-undang pertanian yang diluluskan secara tergesa-gesa di Parlimen India pada bulan September 2020 ialah Akta Perdagangan dan Perniagaan Pengeluaran Petani (Promosi dan Pemudahan) 2020, Akta Perjanjian Jaminan Harga dan Perkhidmatan Pertanian Petani (Pemberdayaan dan Perlindungan) 2020 dan Akta Komoditi Penting (Pindaan) 2020. Penggubalan undang-undang yang bertujuan untuk melaksanakan dasar neoliberal kerajaan Modi yang hendak melonggarkan lagi peraturan berkaitan dengan penjualan, perhargaan dan penyimpanan hasil pertanian ini, telah menyebabkan petani-petani miskin di India terdedah lebih lanjut lagi kepada ancaman kuasa pasaran yang didominasi oleh golongan kapitalis mahakaya, memusnahkan peluang petani untuk mendapatkan harga yang berpatutan bagi hasil pertanian mereka, di samping memberi lebih banyak ruang kepada syarikat korporat untuk menembusi dan memainkan peranan yang lebih besar dalam sektor pertanian. Dalam erti kata yang mudah, undang-undang pertanian yang dibawa oleh kerajaan Modi ialah pendekatan yang anti-petani untuk menjamin kepentingan golongan kapitalis mahakaya.
Aksi perarakan petani pada Hari Republik melibatkan perarakan menggunakan traktor dan ramai lagi yang berjalan kaki. Puluhan ribu petani menyertai aksi protes di bandaraya Delhi, sementara kebanyakan negeri di India turut menyaksikan aksi protes yang bersolidariti dengan petani-petani. Barisan traktor petani yang menyertai perarakan telah memanjang ke bandar yang bersebelahan dengan Delhi.
Walaupun pihak berkuasa telah memberikan kebenaran dengan penuh berat hati untuk perarakan tersebut dan cuba mengehadkan perarakan berada di pinggiran bandar Delhi sahaja, tetapi masih mengerahkan pasukan polis dalam jumlah yang besar untuk mengintimidasi demonstran yang menyertai aksi tersebut. Pertempuran antara demonstran dan polis berlaku selepas sebahagian demonstran berarak menyimpang dari laluan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa. Terdapat sekumpulan petani yang berprotes menembusi benteng keselamatan di Kubu Merah. Seorang petani yang berprotes mati dalam tindakan keras oleh pihak berkuasa. Gabungan SKM telah menyeru untuk mengekalkan keamanan, dan meminta para demonstran supaya berjaga-jaga dengan anasir-anasir yang cuba menimbulkan kececohan untuk menggagalkan aksi protes petani.
Pihak berkuasa India juga memutuskan rangkaian internet di bandaraya Delhi untuk beberapa jam, dan tindakan ini telah dikecam hebat oleh masyarakat sivil.
Aksi protes petani pada 26 Januari 2021 merupakan sesuatu yang bersejarah dalam perjuangan rakyat India melawan dasar neoliberal yang dibawa oleh Kerajaan Modi. Organisasi-organisasi petani yang terlibat dalam mobilisasi ini masih belum lagi memutuskan tindakan seterusnya, namun yang pasti adalah petani-petani akan tetap melawan dasar neoliberal yang menjejaskan kehidupan mereka. Organisasi-organisasi petani, termasuk Kesatuan Petani Seluruh India (All India Kisan Sabha, AIKS) yang berhaluan kiri, telah menegaskan tuntutan gerakan petani untuk mendesak kerajaan India supaya menarik balik ketiga-tiga undang-undang yang anti-petani.
One thought on “India: Petani berarak dengan traktor untuk bantah dasar neoliberal Modi”