28 buah organisasi menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menangani krisis banjir, termasuk menghentikan aktiviti pembalakan yang tidak terkawal. Seruan tersebut dibuat dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli (KeTSA) pada 20 Januari 2021.

Memorandum ini bertepatan masa dengan krisis banjir baru-baru ini yang melanda kawasan-kawasan di negeri Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu dan Perak. Memorandum ini disokong oleh organisasi-organisasi masyarakat sivil, termasuk Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS Malaysia), Klima Action Malaysia (KAMY), EMPOWER Malaysia, North South Initiative (NSI), Gagasan Insan Progresif (GPI), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), University Malaya Association of New Youth (UMANY), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Pemuda Sosialis PSM dan sebagainya.

“Walaupun banjir merupakan bencana alam yang sering berlaku pada musim monsun, banjir pada kali ini bertambah buruk akibat penyahhutanan yang memusnahkan alam sekitar demi keuntungan. Rakyat marhaen merana sebab kehilangan harta dan nyawa akibat bencana banjir, tetapi syarikat pembalakan dan pemaju terus menikmati keuntungan,” kata Sharan Raj, Penyelaras Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM, dalam kenyataannya selepas menyerahkan memorandum kepada KeTSA.

Krisis banjir berulang dan bertambah serius setiap tahun, sehingga menjejaskan kehidupan harian rakyat. Ia berpunca daripada beberapa faktor, termasuklah aktiviti pembalakan yang berleluasa khususnya di Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak.

Penyahhutanan (deforestation) akibat daripada aktiviti pembalakan dan perlombongan yang tidak terkawal, telah mendedahkan tanah kepada hakisan ketika hujan lebat. Hutan merupakan sumber semula jadi utama yang membantu dalam mengurangkan risiko banjir. Hutan juga merupakan kawasan tadahan dan serapan hujan yang memastikan air tidak bertakung di permukaan tanah. Apabila air tidak dapat diserap ke dalam tanah, limpahan air permukaan (surface run-off) akan berlaku. Berdasarkan laporan tahunan Jabatan Perhutanan Malaysia (2019), kadar pengurangan kawasan hutan di Malaysia berada pada paras yang membimbangkan. Liputan kawasan hutan telah mengecut daripada 56.4% pada 1992 kepada 54.1% pada 2019. Di Semenanjung Malaysia, negeri Pahang mengalami penyahhutanan yang paling kronik.

Oleh yang demikian, PSM bersama-sama dengan organisasi masyarakat sivil yang prihatin pada isu alam sekitar menyarankan kepada kerajaan supaya mengambil langkah yang proaktif untuk mengurangkan penerokaan hutan hujan tropika serta meningkatkan daya tahan infrastruktur demi melindungi rakyat daripada krisis banjir yang memusnahkan harta benda dan nyawa.

Cadangan yang dikemukakan dalam memorandum kepada KeTSA untuk menangani bencana banjir adalah seperti berikut:

1. Moratorium terhadap penebangan Hutan Simpanan Kekal dan hutan kerajaan yang belum diwartakan

  • Kerajaan Persekutuan perlu memberi “Dana Perlindungan Hutan” (DPH) untuk membantu Kerajaan-kerajaan Negeri dalam melindungi hutan-hutan pengeluaran di negeri masing-masing daripada aktiviti pembalakan, perlombongan dan penukaran guna tanah, termasuklah bagi tujuan perladangan.
  • Dana ini boleh juga digunakan untuk menggalakkan pewartaan hutan kerajaan yang masih belum menerima perlindungan undang-undang yang kukuh.
  • Pemberian DPH akan mengurangkan kebergantungan Kerajaan Negeri kepada hasil pembalakan atau perlombongan daripada hutan. 
  • Kerajaan Persekutuan perlu menghentikan pengeluaran surat kebenaran eksport (approved permit,AP) bagi balak, hasil lombong dan/atau produk-produk (seperti bauksit, barangan daripada haiwan)  dari kawasan berhutan terutamanya yang telah diperolehi secara haram.

2.  Maklumat dan rekod aktiviti pembalakan dan perlombongan di hutan diterbitkan untuk semakan orang awam

  • Berdasarkan data rasmi, anggaran kehilangan kawasan hutan antara tahun 2001-2019 adalah 130,000 hektar.
  • Tetapi, Global Forest Watch menganggarkan bahawa Semenanjung Malaysia telah kehilangan sebanyak 725,613 hektar berdasarkan imej satelit semasa.
  • Kerajaan Persekutuan harus menerbitkan lokasi, keluasan dan pemegang konsesi aktiviti pembalakan secara telus dan diakses percuma untuk orang awam.
  • Mewujudkan sistem pengurusan maklumat yang terurus untuk menyimpan rekod maklumat berkaitan pembalakan yang boleh diakses secara terbuka dan tanpa bayaran.
  • Imej satelit semasa di kawasan pembalakan harus diterbitkan untuk pengetahuan orang awam.
  • Kerajaan Persekutuan boleh menghalang pemberian AP eksport kepada negeri yang enggan bekerjasama dalam berkongsi maklumat.

3. Perkukuhkan Akta Perhutanan Negara 1984 untuk mewajibkan penglibatan orang awam

  • Mewajibkan konsultasi awam termasuk mengadakan “sesi pendengaran awam” (public hearing) sebelum pemberian konsesi balak dan sebarang pemansuhan Hutan Simpanan Kekal.
  • Mewajibkan penerbitan data terbuka yang berpusat (“centralised open data”) di peringkat Persekutuan untuk aktiviti penyahhutanan di dalam kawasan berhutan.

4. Meningkatkan semula keluasan Hutan Simpanan Kekal

  • Kawasan hutan yang telah dinyahwartakan antara tahun 1990 hingga 2020 oleh pihak berkuasa negeri perlu digantikan semula dengan keluasan tanah yang sama dan hasil usaha ini perlu diterbitkan oleh Majlis Perhutanan Negara.
  • Kerajaan Persekutuan perlu menggalakkan pewartaan hutan simpanan kekal dalam kalangan pihak berkuasa peringkat negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *