oleh Choo Chon Kai

Parti Sosialis Malaysia (PSM) Pulau Pinang ingin mengemukakan pandangan mengenai Draf Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera (RKKBB) 2020 (Penggantian) yang mengandungi beberapa masalah dan kelemahan yang membimbangkan.

Visi dan teras yang bercanggah

Kesilapan yang paling serius ialah menetapkan Visi RKKBB 2020(P) untuk “Transformasi Bukit Bendera sebagai Destinasi Pelancongan Bernilai Tinggi” [rujuk kepada mukasurat 1-16, Draf RKKBB 2020(P), Jilid 1], sesuatu yang bercanggah dengan usaha memulihara dan melindungi anekaragam biodiversiti serta kepelbagaian ekologi di kawasan Khas Bukit Bendera. Hasrat RKKBB 2020(P) untuk menjadikan “Bukit Bendera sebagai tarikan pelancongan yang MESTI dikunjungi bagi semua pelancong dalam dan luar negara”, jika ia dilaksanakan, akan mendatangkan beban yang besar kepada had tampungan alam sekitar di Bukit Bendera, malah bakal menjejaskan ekosistem yang sensitif. Lebih-lebih lagi, visi ini bercanggahan dengan teras “Kemampanan Alam Sekitar dan Biodiversiti” dan “Konservasi dan Pemeliharaan Aset Warisan” yang digariskan dalam Visi RKKBB 2020(P) itu sendiri.

Memang tidak boleh menafikan bahawa Bukit Bendera mempunyai keunikan dari pelbagai aspek dan nilai warisan yang tinggi. Ini sesuatu yang patut dibanggakan dan dihargai oleh seluruh warga Pulau Pinang dan Malaysia, tetapi ia tidak bermakna kita harus jadikan Bukit Bendera satu destinasi pelancongan yang MESTI dikunjungi oleh semua pelancong yang melawat negeri Pulau Pinang. Ini kerana kebanjiran pelancong ke Bukit Bendera sebaliknya akan mengancam usaha melidungi keunikan dan nilai warisan yang tinggi di Bukit Bendera. Kita tidak perlu menghargai estetika warisan zaman silam dan aset alam semulajadi dengan cara menjadikannya sebuah produk pelancongan yang bertujuan untuk mengaut keuntungan semata-mata.

Kebanjiran pelancong dari segi kuantiti untuk menjana keuntungan semata-mata dan mendatangkan impak negatif yang lebih besar kepada ekosistem Bukit Bendera, juga bukannya “Pelancongan Edu” seperti yang dibawa dalam Teras Pembangunan untuk Kawasan Khas Bukit Bendera [rujuk kepada mukasurat 3-1, Draf RKKBB 2020(P), Jilid 1], yang sepatutnya membentuk pelancongan yang lebih kepada berteraskan pembelajaran dan pengetahuan yang berkualiti.

RKKBB 2020(P) menyatakan dengan jelas bahawa “Bukit Bendera adalah merupakan kawasan yang penting di Pulau Pinang sebagai kawasan tadahan air dan koridor hijau yang kaya dengan flora dan fauna yang unik” [rujuk kepada mukasurat 4-255, Draf RKKBB 2020(P), Jilid 1]. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan sebarang aktiviti pelancongan, pembangunan infrastruktur dan pertanian tidak menjejaskan fungsi paling utama Bukit Bendera sebagai kawasan tadahan air dan sumber warisan ekosistem yang kaya.

Had tampungan tidak boleh diubah sewenang-wenang untuk membolehkan pembinaan kereta kabel baru

Disebabkan visi untuk “Transformasi Bukit Bendera sebagai Destinasi Pelancongan Bernilai Tinggi” yang bermasalah ini, ia menyebabkan RKKBB 2020(P) mengemukakan pendekatan menentukan had tampungan (carrying capacity) Kawasan Khas Bukit Bendera dengan menggunakan angka level of service yang dikemukakan dalam Laporan Kajian Pre-Feasibility Kereta Kabel 2020 [rujuk kepada mukasurat 2-42, Draf RKKBB 2020(P), Jilid 1]. Had Tampungan merupakan kapasiti lawatan pelancong dalam satu masa dalam sesuatu kawasan tanpa mendatangkan kesan kacau ganggu terhadap alam sekitar dan aset-aset warisan; manakala level of service merupakan pengukuran keadaan operasi sistem pengangkutan dari segi masa perjalanan, gangguan trafik, keselesaan pengguna dan sebegainya, sesuatu yang tidak berkaitan dengan kapasiti atau had yang boleh ditampung oleh alam sekitar sesuatu tempat.

Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera 2016 (RKKBB 2016) telah mencatatkan had tampungan 4,800 orang pada suatu masa, sementara Laporan Kajian Pre-Feasibility Kereta Kabel 2020 mengemukakan senario had tampungan berdasarkan level of service, di mana 6,463 pelancong dalam suatu masa untuk Level of Service B dan 10,277 pelancong dalam suatu masa untuk Level of Service C. Adakah pihak Kerajaan Negeri akan menggunakan manipulasi angka ini untuk terus menaikkan “had tampungan” bagi Kawasan Khas Bukit Bendera?

Had tampungan 4,800 orang pada suatu masa yang dikemukakan dalam RKKBB 2016 sudah merupakan satu angka yang besar. Angka ini tidak harus diubah sesuka hati berdasarkan keinginan untuk membina laluan kereta kabel yang baru. Sebarang usaha mengubah angka had tampungan langsung tidak boleh dilakukan tanpa rundingan bersama dengan penduduk setempat dan pihak berkepentingan, seperti NGO alam sekitar. Di samping itu, PSM Pulau Pinang juga menyarankan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Perbadanan Bukit Bendera supaya mengambil langkah-langkah yang konkrit untuk memastikan had tampungan ini diikuti secara ketat.

Tidak perlukan satu lagi kereta kabel

Cadangan untuk membina kereta kabel baru [rujuk kepada mukasurat 4-105 hingga 4-110, Draf RKKBB 2020(P), Jilid 1], merupakan sesuatu yang membazir wang malah boleh menjejaskan usaha menjamin kemampanan alam sekitar dan biodiversiti serta konervasi dan pemeliharaan aset warisan di Bukit Bendera.

Penyediaan kereta kabel baru ini dikatakan berfungsi sebagai “pengangkutan alternatif”, sedangkan sudah wujudnya laluan keretapi funikular yang mempunyai sejarah hampir satu abad dan laluan pengangkutan jip untuk menaiki Bukit Bendera. Menggunakan alasan “mengurangkan kesesakan dan masa menunggu di Stesen Bawah dan Stesen Atas Bukit Bendera pada waktu puncak” untuk menyediakan satu lagi laluan kereta kabel adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Ini kerana lebih ramai lagi pelancong akan diangkut ke atas puncak bukit pada masa yang sama apabila ditambahkan satu lagi laluan menaiki Bukit Bendera di mana stesen bawahnya berada di lokasi yang berbeza dengan Stesen Bawah keretapi funikular yang sedia ada. Jadi, puncak Bukit Bendera akan bertambah sesak dan dibanjiri oleh lebih ramai lagi pengunjung pada waktu puncak apabila dibina satu laluan kereta kabel baru, sehingga mendatangkan impak besar kepada kemampanan alam sekitar.

Lebih-lebih lagi, pembinaan kereta kabel yang memakan kos sekurang-kurangnya RM100 juta ini akan membazirkan dana kerajaan pada ketika negara kita sedang menghadapi impak besar (termasuk dari segi ekonomi) daripada penularan wabak COVID-19 pada masa kini yang tidak akan pulih semula dalam tempoh masa terdekat.

Oleh yang demikian, PSM Pulau Pinang menyeru supaya menggugurkan cadangan pembinaan kereta kabel daripada RKKBB 2020(P).

Sekiranya kerajaan ingin memperuntukkan dana untuk pengangkutan ulang alik di Bukit Bendera, adalah lebih baik menggunakan dana tersebut secara bijaksana dalam menambahbaikkan sistem perkhidmatan keretapi funikular yang sedia ada untuk mengelakkan kerosakan dan gangguan perkhidmatan. PSM juga mencadangkan supaya pemeriksaan penyelenggaraan secara berkala terhadap seluruh sistem keretapi funikular diadakan selang setiap tiga bulan, dengan pemberitahuan awal kepada orang awam, untuk mengelakkan masalah kerosakan dan gangguan perkhidmatan.

Elakkan daripada pembinaan yang tidak perlu

Beberapa cadangan pembangunan yang dibawa dalam RKKBB 2020(P) sebenarnya adalah perkara yang tidak diperlukan malah membazirkan wang sekiranya dilaksanakan. Antaranya, pembangunan semula Bangunan Astaka dari 3 tingkat ke 4 tingkat baru [rujuk kepada mukasurat 4-114, Draf RKKBB 2020(P), Jilid 1], pembinaan tiang bendera besar [rujuk kepada mukasurat 4-117, Draf RKKBB 2020(P), Jilid 1] yang tidak berguna langsung, dan pembinaan helipad kecemasan yang baru [rujuk kepada mukasurat 4-113, Draf RKKBB 2020(P), Jilid 1] di kawasan cerun sedangkan sudah wujudnya kawasan yang rata dan lapang di atas Bukit Bendera yang boleh dijadikan tapak pendaratan helikopter sekira berlakunya kecemasan. Kita harus mengelakkan pembaziran wang yang melibatkan pembinaan benda-benda yang tidak diperlukan malah boleh membawa impak negatif kepada alam sekitar di Bukit Bendera.

Pemantauan yang lebih ketat terhadap aktiviti pertanian di Bukit Bendera

Berkenaan dengan cadangan tindakan “penerapan kaedah pertanian mampan dan mesra alam di kawasan pertanian sedia ada” [di bawah perkara PLC 10, rujuk kepada mukasurat 4-255, Draf RKKBB 2020(P), Jilid 1], kami mengalu-alukan cadangan “satu kaedah pertanian yang mampan dan mesra alam perlu diperkenalkan bagi memastikan aktiviti pertanian sedia ada tidak memberi impak negatif kepada alam sekitar”. Namun, adalah tidak mencukupi dengan hanya memastikan “aktiviti pertanian sedia ada sahaja yang dibenarkan, sebarang pertambahan aktiviti pertanian adalah tidak dibenarkan”. Kami berpandangan bahawa satu kajian yang lebih menyeluruh dan terperinci perlu diadakan untuk mengenalpasti sama ada aktiviti pertanian yang sedia ada sememangnya dibenarkan, dengan mematuhi syarat yang terkandung dalam geran hak milik tanah dan peruntukan undang-undang seperti Akta Pemuliharaan Tanah 1960.

Pemantauan yang lebih ketat harus dilakukan untuk memastikan kegiatan pertanian tidak melangkaui batasan kawasan pertanian yang sedia ada dan menceroboh ke dalam kawasan hutan. Tanaman jangka pendek harus dilarang sama sekali di kawasan tanah bukit, seperti yang terkandung dalam Enakmen Penang No. 4 (1960) yang digubal untuk menerima pakai Akta Pemuliharaan Tanah 1960. Takrifan tanah bukit ialah tanah berketinggian 76m ke atas atau berkecerunan melebihi 25 darjah seperti yang diwartakan dalam Rancangan Struktur Pulau Pinang 2030. Oleh itu, perlu adanya usaha, termasuk memberi insentif, untuk memastikan segala pertanian melibatkan tanaman jangka pendek di kawasan pertanian yang sedia ada ditukar kepada tanaman jangka panjang.

Selain itu, pengambilan air untuk aktiviti pertanian di Bukit Bendera juga perlu dikawalselia dengan rapi supaya ia tidak menjejaskan aliran sungai tadahan.

Haramkan penggunaan dan pembuangan plastik sekali guna

Memandangkan Bukit Bendera merupakan sebuah kawasan tadahan air yang penting dan sensitif dari segi ekosistemnya, maka perlu masukkan cadangan dalam RKKBB 2020(P) untuk mengharamkan penggunaan plastik sekali guna di dalam kawasan khas Bukit Bendera, khususnya botol minuman plastik sekali guna.

Di samping itu, semua kontraktor pembinaan yang melakukan kerja di atas Bukit Bendera harus diikat dengan syarat supaya mereka membawa turun semua sisa buangan pembinaan dari Bukit Bendera selepas mereka menyiapkan kerja pembinaan.

Aktiviti pemburuan haiwan dan pemetikan tumbuhan liar juga harus diharamkan di dalam kawasan khas Bukit Bendera.

Lindungi warisan Bukit Bendera

Akhir kata, PSM Pulau Pinang berpandangan bahawa RKKBB 2020(P) sebagai sebuah perancangan yang penting untuk masa hadapan Bukit Bendera, harus mengutamakan prinsip melindungi Bukit Bendera sebagai warisan Negeri Pulau Pinang yang kaya dengan flora dan fauna yang unik. Kita tidak boleh menggadaikan usaha perlindungan alam sekitar di Bukit Bendera kepada motif mengaut keuntungan daripada kunjungan pelancong yang tidak terkawal sehingga mendatangkan kesan yang tidak dapat dibaikpulih semula.

==========

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Pengerusi PSM Pulau Pinang.

==========

Dokumen yang berkaitan:

Ringkasan Eksekutif Draf Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera 2020 (Penggantian)

Draf Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera 2020 (Penggantian), Jilid 1

Draf Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera 2020 (Penggantian), Jilid 2

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *