Sehari selepas mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di 6 buah negeri (negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di 6 buah negeri lagi (iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan) yang berkuatkuasa dari 13 hingga 26 Januari 2021, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membuat satu lagi pengumuman pada 12 Januari 2021 untuk mengisytihar Darurat bagi seluruh negara Malaysia yang berkuatkuasa dari 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.
Pengumuman ini dibuat selepas Muhyiddin Yassin mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan Proklamasi Darurat pada 11 Januari 2021.
Seperti yang sedia maklum oleh seluruh rakyat Malaysia, negara kita sedang dilanda gelombang penularan wabak COVID-19 yang serius pada masa kini, di mana sehingga 11 Januari 2021, jumlah kes jangkitan yang terkumpul sudah mencecah 138,224, dengan jumlah kes yang aktif pada takat ini ialah 28,554 (187 orang pesakit berada dalam ICU dan 87 orang memerlukan bantuan alat pernafasan), dan sebanyak 555 orang pesakit COVID-19 telah meninggal dunia kerana penyakit COVID-19. Keadaan pandemik di Malaysia sekarang ini memang meruncing, dan memerlukan langkah pencegahan yang lebih ketat seperti pelaksanaan semula PKP. Pelaksanaan PKP pernah terbukti dapat mengawal perebakan wabak dan meratakan lengkung jangkitan, maka ia adalah mencukupi untuk menangani krisis kesihatan awam ini, tetapi kenapa pula perlukan satu lagi Proklamasi Darurat?
Darurat ini diisytiharkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin, dengan alasan perlu menangani wabak COVID-19 yang semakin meningkat kes jangkitannya dan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dalam masa terdekat, tidak lain daripada hanya memastikan Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin dapat terus memegang kuasa dan mengelakkan daripada dijatuhkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang ini.
Muhyiddin menegaskan dalam ucapannya semasa membuat pengumuman tentang pengisytiharan darurat bahawa darurat ini bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera, dan mengulangi kenyataan ini dalam Bahasa Inggeris dengan tujuan untuk menenangkan masyarakat antarabangsa. Perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan, menurut Muhyiddin. Memang ini bukannya “rampasan kuasa”, tetapi merupakan usaha untuk Muhyiddin terus berkuasa sahaja.
Apa yang membezakan Darurat yang dibawa oleh Muhyiddin ini dengan keadaan bukan darurat adalah, pemerintahan negara ini akan diteruskan tanpa mekanisme semak-dan-imbang sistem perundangan (walaupun sistem perundangan di negara kita yang lemah itu sudah pun sering dihakis dan dirosakkan oleh golongan politikus yang berkepentingan sendiri). Pemerintahan akan diteruskan oleh Badan Eksekutif dengan ordinan yang digubal tanpa apa-apa proses perundangan yang sepatutnya berjalan di Parlimen. Kuasa eksekutif Persekutuan juga akan meliputi semua perkara dalam kuasa perundangan negeri (kecuali bagi apa-apa perkara hukum Syarak atau adat Melayu untuk negeri-negeri Semenanjung, ataupun apa-apa perkara undang-undang atau adat anak negeri di Sabah dan Sarawak yang berkaitan dengan agama, kewarganegaraan dan Bahasa). Dalam erti kata yang mudah, Kerajaan Persekutuan “merampas kuasa” daripada Kerajaan Negeri.
Selain itu, semua pilihanraya, termasuk Pilihantaya Umum (PRU), Piliharaya Negeri (PRN) serta Pilihanraya Kecil (PRK), tidak akan diadakan dalam tempoh Darurat ini berkuatkuasa. Inilah sesuatu yang cuba dielakkan oleh Muhyiddin kerana kerajaan pimpinannya sedang mengalami krisis politik yang mendalam apabila terdapat pihak dalam parti UMNO yang cuba menjatuhkannya dan mendesak untuk pilihanraya. Anwar Ibrahim cuba berbuat demikian beberapa bulan yang lalu tetapi gagal. Sekarang ini terdapat puak dalam UMNO yang berkeyakinan bahawa UMNO bersama sekutunya dalam Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional dapat memperoleh kemenangan selesa jika pilihanraya umum diadakan dalam masa terdekat ini, supaya UMNO dapat kembali berkuasa sebagai parti yang paling berkuasa dalam gabungan parti-parti memerintah, sesuatu yang ia sudah hilang semasa PRU-14 pada tahun 2018 dan masih tidak dapat dipulihkan berikutan penubuhan Kerajaan PN pada bulan Mac 2020.
Memang ramai dalam kalangan rakyat mahu mengelakkan pilihanraya umum pada ketika keadaan pandemik COVID-19 semakin meruncing ini, khususnya selepas apa yang dapat kita lihat pada peningkatan kes jangkitan COVID-19 secara mendadak di negeri Sabah dan kemudiannya menular di Semenanjung selepas Pilihanraya Negeri Sabah diadakan pada bulan September 2020 yang berlangsung kerana krisis politik di Sabah itu sendiri. Namun begitu, pilihanraya umum masih boleh dielakkan sekiranya golongan politikus, sama ada dalam Pakatan Harapan (PH) atau UMNO, tidak begitu ghairah dan terdesak untuk merampas semula kuasa daripada Kerajaan PN yang hanya menguasai majoriti yang tipis dalam Parlimen. Parti-parti politik aliran utama ini sepatutnya boleh mengetepikan perbalahan mereka untuk merebut kuasa buat sementara dan bersama-sama menangani krisis pandemik (termasuk memberi input, mengkritik dan memberi semak-dan-imbang kepada segala langkah menangani wabak yang diperkenalkan oleh kerajaan), tetapi mereka lebih mementingkan kuasa politik berbanding dengan nyawa dan kesihatan rakyat. Ini memberi peluang kepada kerajaan yang sedia ada untuk mengisytihar darurat. Golongan elit politik yang terjerumus dalam krisis pemerintahan cuba menyelamatkan diri daripada krisis politik yang ditimbulkan oleh mereka sendiri dan kelemahan pada demokrasi, dengan mengehadkan lagi ruang demokrasi.
Muhyiddin mungkin boleh menggunakan retorik bahawa Ordinan Darurat dapat diperkenalkan untuk “hal-hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pengambilan milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit COVID-19”, di samping “mendapatkan penglibatan yang lebih inklusif daripada pihak swasta termasuk kemudahan penjagaan kesihatan swasta bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh agensi Kerajaan terutamanya hospital awam”, sesuatu yang sedap didengar; tetapi ini tidak dapat memberi apa-apa jaminan bahawa Darurat tidak akan disalahgunakan oleh Kerajaan yang telah diberi kuasa yang terlalu besar untuk memperkenalkan apa-apa ordinan mengikut budi bicaranya.
Dengan pelaksanaan Darurat, tidak akan wujudnya semak-dan-imbang yang berkesan (walaupun perkara ini pun agak lemah dengan sistem perundangan kita sekarang ini) untuk memastikan golongan berkuasa dalam Kerajaan supaya tidak menyeleweng. Dalam beberapa bulan akan datang ini, kerajaan akan membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk membeli vaksin COVID-19. Bagaimana kita dapat memastikan dana kerajaan yang diperuntukkan itu tidak diseleweng oleh golongan yang berkuasa dan kroninya, apabila kita tiadanya saluran untuk semak-dan-imbang melalui sistem perundangan?
Pengisytiharan Darurat juga memberi kuasa yang lebih besar kepada badan penguatkuasaan, seperti pasukan polis, dan mewujudkan kemungkinan pihak berkuasa ini menjadi lebih bersifat autoritarian dan cenderung kepada penyalahgunaan kuasanya tanpa disemak langsung. Kita juga harus sedar bahawa melalui pengajaran sejarah yang sebelum ini, kuasa Darurat yang diperuntukkan kepada mana-mana kerajaan, boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk melenyapkan suara yang mengkritik golongan berkuasa, menahan pengkritik kerajaan dan mewujudkan pemerintahan bersifat kuku besi.
Muhyiddin sendiri pun sudah memberi amaran keras dalam ucapannya, bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang dianggap cuba mengganggu-gugat usaha Kerajaan untuk mengurus pandemik COVID-19 dan ekonomi negara. Adakah mempersoalkan cara kerajaan menguruskan pandemik yang tidak berkesan itu, ataupun menuntut kerajaan mengamalkan ketelusan dalam pembelian vaksin itu, dianggap sebagai sesuatu yang “mengganggu-gugat usaha Kerajaan untuk mengurus pandemik COVID-19” dan boleh dikenakan tindakan tegas?
Pada ketika rakyat Malaysia sedang menghadapi ancaman pandemik yang serius dan masalah ekonomi hebat yang timbul daripadanya, golongan elit politik yang berkuasa pula membawa satu lagi ancaman yang bakal menghakis ruang demokrasi negara kita dan melemahkan usaha masyarakat untuk mengatasi krisis-krisis yang mendalam sekarang ini. Ini bukannya tindakan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin pada rakyat!
2 thoughts on “Proklamasi Darurat: Muhyiddin kekal berkuasa melalui pemerintahan dengan ordinan tanpa perlunya kelulusan Parlimen”