oleh Gandipan Nantha Gopalan

Pemuda Sosialis mengalu-alukan keputusan kerajaan di mana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan di 6 negeri setelah bilangan kes mencecah angka 4-digit setiap hari kebelakangan ini. Pemuda Sosialis berpendapat bahawa perlu ada program-program sokongan rakyat sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini supaya rakyat tidak dibebankan.

1. Pemuda Sosialis telah lama menyarankan dan menggesa kerajaan untuk melaksanakan moratorium automatik kepada golongan yang berpendapatan rendah (B40 dan M40). Pelanjutan moratorium ini akan membantu golongan pekerja dan pemilik perniagaan kecil/sederhana untuk mengharungi pandemik COVID-19. PKP di 6 negeri kali ini pasti akan mewujudkan situasi di mana rakyat akan kehilangan kerja dan berlaku pengurangan gaji. Pelanjutan moratorium ini adalah sesuatu yang diperlukan rakyat, buat masa sekarang dan sesuatu yang minimum boleh dilakukan oleh kerajaan untuk membantu rakyat dalam mengharungi tempoh masa ini.

2. Pemuda Sosialis menjangka PKP ini akan dilanjutkan pada masa hadapan apabila kapasiti hospital-hospital tertentu sedang mencapai tahap maksimum. Dalam situasi sebegini, kerajaan harus memperinci dan melaksanakan program Pendapatan Asas Sejagat (UBI) supaya rakyat tidak mengalami kesulitan dalam memperolehi keperluan asas seperti makanan dan minuman.

3. Pemuda Sosialis berpendapat bahawa kerajaan harus melaksanakan moratorium ke atas kutipan sewa tempat tinggal sepanjang pelaksanaan PKP. Moratorium ke atas kutipan sewa ini amat penting supaya rakyat yang terjejas akibat pandemik ini tidak kehilangan tempat tinggal. Satu pendekatan melalui kerangka undang-undang diperlukan supaya dapat melaksanakan moratorium kutipan sewa.

4. Kerajaan harus menyerap penganggur belia sebagai pekerja sosial kerajaan sepanjang tempoh masa pandemik ini. Kita memerlukan ramai pekerja sosial di kawasan-kawasan tertentu supaya bantuan kerajaan dapat sampai kepada rakyat dan keperluan rakyat dapat dikemukakan kepada pihak kerajaan. Tanpa pekerja-pekerja sosial yang efektif, memang mempunyai kemungkinan besar kepentingan rakyat dibiarkan tanpa diberi perhatian dalam tempoh masa ini.

Pemuda Sosialis menggunakan peluang ini untuk menzahirkan rasa bimbang dengan keputusan pengisytiharan Darurat dan penangguhan sesi Parlimen. Penangguhan sesi Parlimen ini akan mengurangkan ketersampaian maklumat mengenai apa yang berlaku di kawasan-kawasan tertentu. Malah, Pemuda Sosialis berpandangan bahawa dalam tempoh masa inilah kepimpinan negara seharusnya mempelbagaikan suara di parlimen melalui platform digital dengan memberi peluang kepada kesatuan-kesatuan sekerja dan organisasi-organisasi rakyat untuk mencadang dan membahas polisi-polisi yang diperlukan oleh rakyat.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Setiausaha Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *