(Foto: Krzysztof Kaniewski / ZUMA Wire)

Satu gelombang protes yang hebat sedang melanda seluruh negara Poland selepas mahkamah perlembagaan negara itu memutuskan pada 22 Oktober 2020 untuk memperketatkan lagi undang-undang mengenai pengguguran kandungan di Poland, sehingga hampir semua kes pengguguran boleh dianggap haram. Ini merupakan gelombang kebangkitan rakyat yang terbesar di Poland sejak kejatuhan pemerintahan parti komunis di negara itu pada tahun 1989.

Keputusan mahkamah perlembagaan Poland pada 22 Oktober 2020 telah meminda selanjutnya undang-undang mengenai pengguguran kandungan di negara itu yang sebelum ini menyatakan bahawa pengguguran hanya dibenarkan untuk kes rogol dan perbuatan sumbang mahram, dan kes di mana kehamilan itu membawa risiko kepada kesihatan wanita serta kecacatan kandungan. Undang-undang mengenai pengguguran diperketatkan lagi sehingga hampir tiada keadaan yang boleh dibenarkan untuk menggugurkan kandungan. Mahkamah perlembagaan Poland dianggotai oleh hakim-hakim yang kebanyakannya dilantik parti pemerintah berhaluan kanan, “Undang-undang dan Keadilan” (Prawo i Sprawiedliwość, PiS), yang berkuasa sebagai kerajaan majoriti sejak tahun 2015.

Sebelum keputusan mahkamah perlembagaan pada 22 Oktober 2020, Poland sudah pun merupakan salah sebuah negara yang mempunyai undang-undang mengenai akses untuk pengguguran kandungan yang paling ketat di rantau Eropah. Adalah dianggarkan seramai 100,000-150,000 orang wanita terpaksa meninggalkan Poland setiap tahun untuk mendapatkan perkhidmatan prosedur pengguguran di negara-negara lain seperti Austria, Jerman dan Slovakia. Keputusan mahkamah perlembagaan Poland yang terbaru ini menyekat lebih lanjut lagi hak reproduktif yang asas ini untuk kaum wanita di negara itu.

Pelbagai golongan dan sektor masyarakat telah menyuarakan bantahan mereka terhadap keputusan mahkamah Poland yang penuh kontroversi dan menindas wanita ini. Kumpulan-kumpulan feminis, parti-parti berhaluan kiri, organisasi-organisasi masyarakat sivil dan warganegara Poland yang prihatin, malah kumpulan-kumpulan penyokong bola sepak, telah turun ke jalanan untuk berprotes. Protes telah diadakan di luar bangunan mahkamah, parlimen, gereja dan bangunan penting parti pemerintah PiS. Ramai warga Poland semakin tidak berpuas hati dengan campurtangan Gereja Katolik dalam kehidupan mereka, khususnya kehidupan peribadi dan hak reproduktif, yang diterjemah dalam dasar mengongkong rakyat yang dibawa oleh parti pemerintah PiS.

Parti-parti berhaluan kiri yang bergabung dalam “Lewica”, termasuk Razem, telah mengemukakan cadangan rang undang-undang dalam parlimen untuk menyahjenayah pengguguran kandungan.

Respon golongan pemerintah Poland terhadap gelombang mobilisasi rakyat yang hebat adalah mendesak untuk menggunakan keganasan terhadap mereka yang berprotes. Dalam kenyataan yang penuh keangkuhan oleh Jarosław Kaczyński, Timbalan Perdana Menteri Poland yang juga merupakan pengasas dan Pengerusi PiS, mendakwa bahawa aksi protes boleh mengancam nyawa kerana pendedahan terhadap COVID-19 dan mendatangkan “bahaya sejagat”, maka mengatakan pihak berkuasa “bukan sahaja berhak tetapi adanya tanggungjawab untuk melawan mereka (yang berprotes)”. Kaczyński juga mengecam protes di luar gereja sebagai “peristiwa yang celaka” dan menegaskan bahawa gereja Katolik ialah “satu-satunya sistem moral yang diketahui umum di Poland”. Dia menyeru anggota dan penyokong PiS untuk “mempertahankan gereja”. Golongan pemerintah Poland memang tergugat oleh gelombang protes rakyat yang hebat ini.

(Foto: Dariusz Borowicz / Agencja Gazeta)

Gelombang protes besar-besaran yang melanda Poland sekarang ini hanya merupakan gelombang terbaru untuk gerakan perjuangan yang berdekad-dekad lamanya di negara itu. Perjuangan kaum wanita untuk hak reproduktif di Poland sudah berlarutan sejak tahun 1990-an. Perjuangan ini mencabar perikatan kuasa yang dibentuk antara golongan elit pemerintah Poland dengan Gereja Katolik yang amat berkuasa di negara itu. Selepas kejatuhan pemerintahan parti komunis di Poland pada tahun 1989, kerajaan pimpinan Solidarność pada masa itu telah “membalas budi” Geraja Katolik yang menjadi sekutu penting kepada perjuangan Solidarność yang menentang kerajaan parti komunis pada tahun 1980-an, dengan melaksanakan dasar-dasar dan undang-undang yang berlandaskan pendirian konservatif Gereja Katolik. Pada tahun 1993, walaupun mendapat bantahan rakyat yang hebat dan petisyen yang mempunyai 1 juta tandatangan, kerajaan Poland masih berdegil untuk memperkenalkan undang-undang yang menyekat pengguguran kandungan, sesuatu yang dibenarkan di sisi undang-undang semasa pemerintahan parti komunis. Undang-undang mengenai pengguguran yang diperkenalkan pada tahun 1993, hanya membenarkan pengguguran kandungan dalam kes seperti perbuatan sumbang mahram, rogol, ancaman kepada kesihatan ibu yang mengandung dan kecacatan kandungan. Namun, pengecualian untuk membenarkan pengguguran yang begitu sedikit itu pun dikeluarkan dalam perubahan terhadap undang-undang yang terbaru. Kecacatan kandungan merupakan punca yang paling utama dalam 1,100 kes pengguguran yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Poland pada tahun lalu, tetapi syarat yang membenarkan pengguguran secara sah di sisi undang-undang ini telah dikeluarkan berikutan keputusan mahkamah perlembagaan Poland yang terbaru.

Pada tahun 2016, kerajaan PiS yang mendapat sokongan daripada Gereja Katolik, cuba memperkenalkan dalam parlimen undang-undang yang mengharamkan sepenuhnya pengguguran kandungan, tetapi terpaksa berundur daripada cubaan itu kerana tercetusnya protes jalanan besar-besaran yang dikenali sebagai “Protes Hitam”, yang termasuk ribuan wanita Poland bermogok. Setelah golongan berhaluan kanan gagal membawa undang-undang di dalam parlimen, mereka menukar strategi kepada jalan kehakiman. Sejak PiS berkuasa sebagai kerajaan, ia telah melakukan banyak usaha untuk menguasai badan kehakiman, termasuk melantik hakim-hakim yang setia kepada parti itu ke dalam mahkamah-mahkamah penting di negara itu, maka menghilangkan fungsi semak-dan-imbang dalam sistem kehakiman. Ini menyebabkan kuasa semakin tertumpu dalam tangan badan eksekutif dan kebebasan kehakiman dihakis dengan teruknya. Keputusan mahkamah perlembagaan yang selaras dengan hasrat golongan kanan untuk mengharamkan pengguguran sepenuhnya, merupakan hasil daripada usaha PiS menjahanamkan sistem kehakiman negara itu beberapa tahun kebelakangan ini.

Dasar anti-wanita yang dibawa oleh kerajaan PiS telah mendapat sokongan daripada golongan kanan di peringkat antarabangsa, termasuk Jay Sekulow (peguam peribadi Donald Trump) dan pertubuhan konservatif Kristian seperti American Center for Law and Justice (ACLJ), yang memainkan peranan aktif dalam menyokong perintah mahkamah yang anti-pengguguran kandungan.

Keputusan mahkamah perlembagaan Poland yang menyekat pengguguran kandungan merupakan sebahagian daripada serangan golongan konservatif yang diterajui oleh PiS terhadap rakyat Poland. Namun, serangan ini telah menerima tentangan yang hebat di jalanan dan dalam parlimen. Parti-parti kiri bersama dengan organisasi-organisasi masyarakat seperti Mogok Wanita Seluruh Poland (Ogólnopolski Strajk Kobiet), bertekad untuk meneruskan mobilisasi jalanan demi melawan serangan konservatif yang terbaru ini.

(foto: OKO.Press)

One thought on “Poland: Undang-undang anti-wanita mencetus gelombang protes hebat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *