Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) menyeru pada masyarakat awam untuk mendesak Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dan Ahli-ahli Parlimen di negeri itu supaya memberikan komitmen dalam mempertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dengan menandatangani dokumen akujanji.
Kempen ini dilancarkan oleh Gabungan PHSKLU dalam satu sidang akhbar atas talian pada 29 Oktober 2020. Gabungan PHSKLU merupakan satu gabungan organisasi-organisasi dan individu-individu yang prihatin pada isu penyahwartaan HSKLU dan berusaha untuk mempertahankan HSKLU. Gabungan yang membantah penyahwartaan HSKLU ini terdiri daripada organisasi-organisasi seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Klima Action Malaysia (KAMY), Greenpeace Malaysia, Five Arts Centre, Empower Malaysia, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Orang ramai digalakkan untuk mengirimkan e-mel kepada ADUN dan Ahli Parlimen di Selangor, di samping menghebohkan isu ini dalam media sosial dengan tanda pagar #HutanPergiMana, #PeopleBeforeProfits dan #PertahankanHSKLU.
Menurut Gabungan PHSKLU, Sesi Pendengaran Awam (Town Hall) bagi cadangan pemansuhan kawasan HSKLU, Mukim Dua Belas, Daerah Kuala Langat, yang diadakan pada 28 dan 29 September 2020 di Amverton Resort, Pulau Carey, adalah tidak mengikuti norma-norma serta prosedur yang sepatutnya. Antara masalahnya termasuk notis pemakluman tentang sesi pendengaran awam tidak diedar secara terbuka, tempoh yang kurang dari tempoh 30 hari, tidak menjemput semua pihak yang menyuarakan dalam bantahan dan tiada wakil pihak yang berkenaan dalam panel Jawatankuasa Penyiasatan Awam.
Gabungan PHSKLU membantah penyahwartaan HSKLU kerana:
- Penyahwartaan HSKLU akan mengabaikan hak masyarakat Orang Asli yang telah tinggal lebih daripada 134 tahun (sekurang-kurangnya sejak tahun 1886) di situ. Kerajaan Negeri Selangor perlu bertindak adil dan saksama untuk melindungi kepentingan komuniti Orang Asli di kawasan berkenaan.
- HSKLU merupakan satu daripada dua jenis hutan paya gambut yang masih wujud di bahagian selatan negeri Selangor. Ia memainkan peranan penting dalam sistem hidrologi berkaitan pengawalan banjir, menjadi sumber takungan air dan membantu dalam isu pencemaran udara, lebih-lebih lagi ia di dikelilingi kawasan industri berat seperti Shah Alam, Cyber Jaya dan lain-lain.
- Pembukaan kawasan hutan bagi tujuan pembangunan bercampur akan menjejaskan rangkaian ekologi, mengakibatkan kehilangan habitat hidupan liar dan kepupusan akuatik.
- Meningkatkan risiko kebakaran dan penurunan tanah gambut di HSKLU dan kawasan sekitarnya.
- Meningkatkan risiko banjir atau kekurangan air yang akan memusnahkan kawasan pertanian dan tanaman kelapa sawit yang diusahakan oleh masyarakat Orang Asli.
- Gangguan ekologi kepada lembangan Sungai Langat dan Sungai Klang.
- Pembangunan di kawasan HSKLU (termasuk penebangan pokok, pengorekan tanah gambut dan pembinaan saliran) membawa kepada pelepasan 5.5 juta tan karbon dioksida (CO2) yang menyumbang kepada pemanasan tempatan dan global serta masalah perubahan iklim. Pemansuhan HSKLU dan cadangan pembangunan campur tidak selaras dengan komitmen Malaysia kepada Perjanjian Paris yang ditandatangani dalam Persidangan Iklim Paris 2015 (COP21) untuk mengurangkan 45% intensiti pelepasan gas rumah hijau daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
- Tiada lagi kawasan penting untuk tujuan penyelidikan, pendidikan, rekreasi, eko-pelancongan sebagaimana satu hab kepentingan sosio-ekonomi setempat.
- Tidak selaras dengan Rancangan Fizikal Negara ke-3 yang menyatakan kawasan ini sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 yang melarang sebarang bentuk pembangunan dijalankan.
- Tidak selaras dengan perancangan Kerajaan Negeri Selangor dalam Rancangan Struktur Negeri 2035 untuk mengekalkan 32% kawasan hutan di Selangor.
- Tidak selaras dengan Pelan Rancangan Tempatan Kuala Langat 2030 di mana HSKLU telah dikategorikan sebagai Kawasan “tiada pembangunan”.
- Konflik kepentingan di mana Menteri Besar (MB) selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Menteri Besar Incorporated (MBI) bertindak sebagai pihak yang memohon tanah dan meluluskan permohonan tersebut (Pengerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan PTG Selangor). Secara jelasnya, ia menunjukkan konflik antara tanggungjawab pentadbir negeri dan kepentingan MBI berkemungkinan mengganggu integriti ketika menjalankan tugas dan tanggungjawab atau ketika membuat pertimbangan bagi cadangan pemansuhan HSKLU.
- Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 menyatakan secara jelas bahawa jika ada pengubahan kawasan hutan paya gambut seluas 50 hektar atau lebih untuk kegunaan perindustrian, perumahan atau pertanian, satu laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling (EIA) diperlukan. Notis penyiasatan awam telah pun menyatakan bahawa tujuan penyahwartaan HSKLU adalah untuk pembangunan bercampur. Ini bermakna, berkemungkinan besar kawasan HSKLU yang merupakan hutan paya gambut, akan diubah untuk kegunaan perindustrian atau perumahan. Berdasarkan tujuan permohonan tersebut , satu laporan EIA menyeluruh perlu disediakan dan ia harus dibentangkan kepada pihak berkepentingan dan diluluskan sebelum proses penyahwartaan HSKLU dijalankan.
- Tiada zon penampan hijau – satu kesalahan dan pelanggaran syarat-syarat pembangunan yang lestari.
- Tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama, kita semua mempunyai nilai etika dan kerohanian yang sama, iaitu melakukan perkara yang betul dan menolak tindakan yang salah. Memusnahkan alam sekitar ketika kita berada di ambang perubahan iklim jelas sekali merupakan satu tindakan yang salah. Ia mengkhianati tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia yang mendukung prinsip-prinsip Rukun Negara. Kita seharusnya mengambil pendekatan yang bijaksana di mana kemakmuran negeri Selangor dapat dinikmati bersama secara adil, saksama dan lestari.
Gabungan PHSKLU menyeru pada semua wakil rakyat dalam DUN Selangor dan Parlimen untuk menyatakan pendirian mereka berkenaan isu penyahwartaan HSKLU ini. Satu kad skor yang menyenaraikan semua wakil rakyat di Selangor telah disediakan untuk membolehkan orang awam memantau sama ada wakil rakyat berkenaan menyokong atau membantah penyahwartaan HSKLU atau langsung memberi tidak respon.
Layari laman web Kempen Selamatkan Hutan Simpanan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk maklumat lanjut tentang kempen ini.
2 thoughts on “Hutan pergi mana? – Gabungan masyarakat sivil lancar kempen selamatkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara”