Setahun selepas gelombang kebangkitan rakyat yang hebat sejak bulan Oktober 2019, jutaan rakyat Chile yang mengundi dalam referendum pada 25 Oktober 2020 telah menyatakan dengan jelas hasrat popular untuk menggubal perlembagaan baru bagi negara Chile supaya menggantikan perlembagaan yang dibuat semasa pemerintahan kediktatoran Augusto Pinochet empat dekad yang lalu. Pinochet berkuasa melalui kudeta tentera pada tahun 1973 yang menjatuhkan kerajaan Salvador Allende yang berhaluan kiri dan memulakan era dasar ekonomi neoliberal di Chile. Gelombang protes yang melanda Chile pada tahun lalu merupakan manifestasi penolakan rakyat terhadap dasar neoliberal yang melemaskan rakyat.
Lebih 7.5 juta orang rakyat Chile telah keluar mengundi dalam referendum kali ini. Terdapat dua kertas undi dengan dua soalan:
- Adakah anda mahukan satu Perlembagaan Baru?
- Badan yang apa yang akan merangka Perlembagaan Baru?
Untuk soalan pertama, lebih 78% pengundi mengundi untuk Perlembagaan Baru. Sokongan hebat untuk Perlembagaan baru ini bukan sahaja penolakan terhadap perlembagaan zaman Pinochet, malah juga merupakan undi tidak percaya terhadap Presiden Sebastián Piñera dan seluruh rejim pemerintahan yang mengamalkan dasar neoliberal.
Untuk soalan yang kedua, peratusan undi yang lebih tinggi, iaitu 79%, memilih untuk pengwujudan Perhimpunan Perlembagaan yang dipilih sepenuhnya oleh rakyat melalui pilihanraya umum, bukannya model Perhimpunan Perlembagaan Bercampur di mana separuh daripada anggotanya terdiri daripada ahli-ahli parlimen yang sedia ada.
Corak pengundian dalam referendum Chile kali ini menunjukkan perbezaan kelas masyarakat yang agak jelas. Peratusan undi untuk menyokong Perlembagaan Baru adalah lebih tinggi daripada purata di Kawasan kelas pekerja, sementara undi menolak Perlembagaan baru hanya menang di sesetengah kawasan yang dihuni oleh golongan kelas atasan yang mahakaya. Misalnya di Maipú yang terletak di wilayah metropolitan Santiago yang merupakan kawasan penumpuan golongan pekerja, sebanyak 86% undi menyokong Perlembagaan Baru; sementara di Kawasan Vitacura yang merupakan kawasan dihuni terutamanya golongan kelas atasan, sebanyak 67% undi menolak Perlembagaan Baru.
Namun begitu, di Araucanía, wilayah bersejarah untuk masyarakat orang asal Mapuche, peratusan keluar mengundi adalah lebih rendah berbanding tempat lain dan undi yang menyokong Perlembagaan Baru hanya 66%, menunjukkan bahawa terdapat sentimen masyarakat orang asal Mapuche yang merasakan tuntutan mereka telah diketepikan dalam proses penggubalan Perlembagaan.
Referendum untuk menentukan sama ada perlunya Perlembagaan Baru ini merupakan hasil daripada kompromi kelas pemerintah Chile sebagai cubaan menyelamatkan diri mereka ketika negara itu dilanda gelombang protes massa yang hebat pada tahun yang lalu. Protes besar-besaran tercetus pada bulan Oktober 2019 apabila tambang metro di Santiago dinaikkan sebanyak 30 peso. Pengisytiharan darurat oleh Presiden Piñera juga gagal menyekat kebangkitan rakyat yang hebat ini. Dengan aksi protes jalanan yang semakin hebat dan mogok yang dilancarkan oleh golongan pekerja, Kongres Kebangsaan Chile bersetuju pada 15 November 2019 untuk mengadakan referendum berkenaan dengan persoalan Perlembagaan baru. Pengundian untuk referendum yang dijadualkan pada bulan April 2020 terpaksa ditangguhkan ke bulan Oktober 2020 kerana pandemik COVID-19.
Ribuan orang turun ke jalanan untuk meraikan keputusan referendum Chile. Untuk mereka, perjuangan masih belum selesai. Presiden Piñera cuba menyeru untuk “perpaduan dan kestabilan” dalam proses merangka Perlembagaan Baru, namun ramai dalam kalangan rakyat sudah tidak percaya padanya dan mereka akan terus bermobilisasi ke jalanan. Golongan kelas pekerja melihat proses penggubalan Perlembagaan Baru ini sebagai satu peluang untuk membuang warisan pemerintahan kediktatoran Pinochet, termasuk dasar ekonomi neoliberal dan penswastaan yang mencengkam negara itu untuk lebih 40 tahun. Ini juga satu kesempatan untuk merealisasikan tuntutan rakyat seperti pendidikan percuma untuk semua, gaji dan pencen yang munasabah, perkhidmatan kesihatan percuma untuk semua, kawalan ke atas sumber alam, pembubaran polis carabinero yang penuh dengan rekod pencabulan hak asasi manusia, pembebasan tahanan politik dan sebagainya.
Perjuangan rakyat Chile untuk membebaskan diri daripada warisan pemerintahan Pinochet dan dasar neoliberal tidak akan berhenti setakat peti undi, sebaliknya akan berterusan melalui mobilisasi dari bawah untuk mencabar sistem kapitalis.
One thought on “Chile: Rakyat undi gubal perlembagaan baru untuk buang warisan Pinochet”