KUALA LUMPUR – 24 SEPTEMBER 2020: Aktivis-aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama dengan Angamuthu a/l Munusamy, seorang peminjam wang daripada bank RHB, berprotes di hadapan ibupejabat bank RHB di Kuala Lumpur pada hari ini, untuk menggesa pada pihak bank RHB untuk menghentikan proses pelelongan rumah. Pelelongan rumah telah ditangguhkan selepas protes ini.

Angamuthu a/l Munusamy, seorang penduduk di Sungai Siput (U), Perak, telah mengambil pinjaman sebanyak RM80,000 pada tahun 2001 daripada RHB untuk membeli sebuah rumah. Tempoh pembayaran balik pinjaman tersebut adalah selama 17 tahun mengikut perjanjian pinjaman yang asal. Namun, oleh sebab terdapat beberapa kali di mana Angamuthu menghadapi kesusahan untuk membayar balik pinjaman wang, dengan tunggakan sebulan atau dua bulan dan dia sambung membayar balik selepas itu, maka wujudnya “denda” kelambatan pembayaran balik sehingga dia perlu membayar selepas tempoh 17 tahun. Kelambatan pembayaran balik pinjaman bank itu adalah kerana Angamuthu terpaksa menyelesaikan beban hutang yang ditanggungnya sebelum itu semasa mendapatkan rawatan untuk mendiang isterinya yang sakit. Angamuthu telah bersetuju untuk menyambung pembayaran balik pinjaman wang selama 2 tahun lagi.

Sepanjang 19 tahun yang lalu, Angamuthu dianggarkan telah membayar lebih RM170,000 kepada bank RHB, sedangkan jumlah yang dikehendaki untuk dibayarnya dalam perjanjian asal hanya RM149,432 (daripada kiraan RM733 sebulan X 204 bulan). Walaupun begitu, pihak RHB mendakwa bahawa Angamuthu masih mempunyai baki pinjaman RM50,000 yang perlu dibayar dan hendak melelong rumahnya. Baki pinjaman wang yang perlu dibayar balik meningkat apabila kadar bunga pinjaman telah dinaikkan secara automatik daripada kadar pinjaman asas (BLR) campur 1.75% per tahun kepada BLR campur 3.5% kerana peminjam lambat bayar dan tidak dikurangkan semula kadarnya secara automatik selepas peminjam sambung membayar balik pinjaman.

Angamuthu cuba merayu kepada bank RHB melalui Pengurus RHB Cawangan Ipoh pada 18 Ogos 2020 untuk mengira semula baki pinjamannya dengan menggunakan kadar bunga yang dipersetujui dahulu, dia sedia membayar jika masih terdapat baki selepas kiraan itu. Namun, Angamuthu tidak mendapat sebarang jawapan daripada pihak RHB berkenaan dengan permohonannya untuk pengiraan semula pinjaman, sebaliknya RHB mengemukakan permohohan kepada Pejabat Tanah untuk melelongkan rumahnya!

Seorang peminjam wang yang berpendapatan rendah yang cuba membayar balik pinjaman secara bertanggungjawab, tetapi telah dilayan dengan cara yang tidak adil, tidak bertimbang rasa dan tidak berperikemanusiaan. Angamuthu tiada rumah lain untuk didiaminya jika diusir keluar selepas rumahnya sekarang dilelong. Pegawai di cawangan bank RHB langsung tidak membantu dan mengatakan dia tidak boleh buat apa-apa. Begitu juga dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang langsung tidak memberikan apa-apa penyelesaian apabila masalah ini dibawa kepadanya. Oleh itu, Angamuthu terpaksa datang ke ibupejabat RHB di Kuala Lumpur untuk membawa isu ini kepada perhatian pengurusan tinggi bank.

Turut hadir bersama Angamuthu di ibupejabat bank RHB hari ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang menerima aduan daripada Angamuthu di Pusat Khidmat PSM Sungai Siput.

Selepas mengadakan protes di hadapan ibupejabat bank RHB, Angamuthu dapat berjumpa dengan pegawai-pegawai atasan bank. Hasil perjumpaan tersebut adalah pihak bank RHB berjanji bahawa akan menangguhkan prosiding pelelongan rumah Angamuthu di Pejabat Tanah, dan mengkaji semula kadar bunga untuk menentukan sama ada baki pinjaman yang perlu dibayar olehnya atau tidak.

Dr. Jeyakumar Devaraj berkata, “Bank-bank di negara kita perlu membuat pengubahsuaian dalam sistem pengutipan bayaran pinjaman supaya kadar bunga yang dinaikkan apabila peminjam lambat atau gagal membayar itu dapat dikurangkan secara automatik selepas peminjam sambung membayar secara berkala. Jika tidak berbuat demikian, memang ramai orang akan menghadapi masalah seperti Angamuthu. Jika kadar bunga boleh dinaikkan secara automatik apabila peminjam tidak membayar, maka juga perlu adanya sistem yang menurunkan kadar bunga secara automatik apabila peminjam sambung membayar.”

Dr. Jeyakumar Devaraj juga meminta pada peminjam wang daripada bank yang menghadapi masalah serupa supaya pergi membuat aduan di ibupejabat bank masing-masing untuk memohon pengiraan semula kadar faedah yang perlu dibayar balik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *