oleh S. Arutchelvan

Hari ini saya sedikit terkejut dengan jumlah kes COVID-19 dalam negara. Angka yang dicatatkan adalah sebanyak 182 kes baru dalam 24 jam yang lalu. Ini merupakan satu rekod baru, iaitu jumlah tertinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun 2020. Ini menyebabkan jumlah kes aktif dalam negara sudah mencecah melebihi angka 500, dengan 501 kes aktif. Namun, saya rasa semua orang “lega” kerana kebanyakan kes ini berlaku dalam penjara dan tempat tahanan. Majoriti kes yang dilaporkan melibatkan Kluster Benteng di Sabah dengan 167 kes dan selebihnya daripada Kluster Sungai serta Telaga di Kedah.

Maka saya melihat tarikh hari ini. Tarikhnya 11 September. Tarikh 11 September sendiri membawa pelbagai ingatan sejarah yang mengerunkan. Ramai akan ingat bahawa pada tarikh ini pada tahun 2001, Kuasa Dunia Amerika Syarikat telah diserang oleh kumpulan Al-Qaeda pimpinan Osama Bin Laden di mana bangunan simbolik World Trade Center di New York dan Bangunan Jabatan Pertahanan AS Pentagon telah diserang oleh 4 buah pelawat penumpang awam yang dirampas pengganas dan kesannya adalah hampir 3,000 orang maut. Peristiwa tersebut merupakan peristiwa paling penting sejak kejatuhan Tembok Berlin lebih kurang sepuluh tahun sebelum itu. Ia juga sedikit sebanyak menukar norma hidup kita dengan pengenalan undang-undang penerbangan baru dan akta-akta anti-keganasan baru.

(Lukisan oleh Carlos Latuff)

Namun, pada tarikh yang sama, ada satu lagi trajedi manusia yang jauh lebih dahsyat berlaku di dunia. Ia berlaku di sebuah negara Amerika Latin yang bernama Chile. Ia berlaku pada tahun 1973 apabila sebuah kerajaan sosialis demokratik yang popular dan menang dalam pilihanraya telah digulingkan oleh rejim berhaluan kanan yang diketuai Jeneral Augusto Pinochet dengan bimbingan dan sokongan penuh daripada Amerika Syarikat. Kerajaan demokratik Salvador Allende – Presiden Chile yang sah dan dipilih rakyat – daripada Parti Sosialis Chile, digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera dan selepas itu negara itu diperintah di bawah kediktatoran sehingga tahun 1988.

Pada tarikh itu sahaja, iaitu 11 September 1973, 40,000 orang menjadi tahanan politik. Mereka ditahan dan didera di Stadium Kebangsaan Chile. Ribuan orang telah dibunuh. Untuk tiga tahun pertama, seramai 130,000 orang telah ditahan oleh rejim Pinochet dengan sokongan penuh daripada pentadbiran Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden Nixon. Menurut Suruhanjaya Kebenaran dan Pendamaian (Commission for Truth and Reconciliation) yang menerbitkan Laporan Rettig, dicatatkan bahawa 2,279 orang telah dihukum bunuh dan 27,255 orang telah diseksa dan didera, 200,000 orang dibuang negeri dan ini tidak termasuk ribuan yang hilang. Pada tahun 2011, Pengarah Suruhanjaya Maria Luisa Sepulveda pula menilai kembali angka ini dan mencatatkan bahawa jumlah sebenarnya yang ditahan dan diseksa adalah 40,018.

Saya balik kepada negara kita. Hari ini kita tidak seharusnya lega dengan jumlah COVID-19 positif yang tinggi di penjara dan tempat tahanan. Manusia yang duduk dalam penjara dan pusat tahanan mempunyai hak untuk hidup dan kita kena pastikan kebajikan mereka tidak diabaikan. Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan memaktubkan hak untuk hidup bagi semua orang.

Reformasi penjara harus dilakukan. Tahanan harus diberikan perjarakan sosial yang sesuai selaras dengan SOP mencegah wabak. Mereka yang terlibat dalam kes-kes kecil harus dibebaskan dan sistem yang lebih adil harus diperkenalkan. Ribuan tahanan di penjara kita juga adalah mereka yang merupakan tahanan reman kerana mereka tidak ada wang jamin yang cukup untuk bebas sementara menunggu kes mereka.

Hari ini Amerika Syarikat selaku kuasa dunia terbesar mencatatkan jumlah kematian disebabkan oleh COVID-19 sebanyak 196,345 orang, iaitu kematian 65 kali ganda berbanding mereka yang mati semasa serangan 11 September 2001. Pada hari ini juga kita diingatkan bahawa Amerika Syarikat telah terlibat dalam peperangan dan rampasan kuasa yang menyebabkan ribuan malah jutaan orang mati. Sistem Kapitalis Amerika Syarikat tidak dapat menjamin hak kesihatan rakyat mereka sendiri.

Sejarah 11 September turut mengingatkan kita bahawa peperangan dan masalah yang tidak selesai di Timur Tengah mewujudkan kumpulan pelampau seperti Al-Qaeda yang pada asalnya ditaja oleh CIA. Ia juga mengingatkan kita tentang peranan Amerika Syarikat yang zalim terhadap rakyat Chile dan ribuan tahanan politik di sana.

Jika kita hendak merayakan kehidupan, maka kita juga mempunyai pilihan untuk memilih sistem mana yang dapat menjamin masa depan kemanusiaan. Contoh yang dipaparkan oleh Vietnam, Cuba dan Kerala di India memberikan kita petanda dan cahaya bahawa kemanusiaan lebih selamat di bawah golongan dan pentadbiran Kiri. Negara-negara ini memang mempunyai sistem kesihatan yang jauh lebih baik daripada negara kapitalis.

Kita di Malaysia amat bernasib baik kerana sistem kesihatan awam kita yang baik. Beberapa tahun yang lalu, ada pelbagai cubaan dan ancaman kepada sistem kesihatan awam kita, misalnya Kerajaan membuka sayap swasta di hospital awam. Banyak hospital swasta juga telah mencuri pakar-pakar dari hospital awam. Namun pada masa-masa itu, PSM bersama dengan kumpulan-kumpulan NGO progresif berjuang untuk menyelamatkan sistem kesihatan kita.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Renungan 11 September

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *