20200622 - 10616248_878233825529669_6890019465021789694_n

oleh Sharan Raj

Pada 21 September 2010, Najib Razak selaku Perdana Menteri pada ketika itu telah melancarkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sebagai salah satu dasar untuk memacu negara kita menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, iaitu tahun ini. Ramai ahli politik dan penganalisis pada masa itu telah menyifatkan ETP sebagai “dasar publisiti Najib”.

Namun, ETP merupakan dasar utama yang telah menggerakkan agenda neoliberal kapitalisme dalam tempoh 10 tahun yang lepas. Idris Jala diberi mandat oleh Najib Razak untuk memastikan pelaksanaan ETP. Walaupun Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menguburkan ETP, tetapi impaknya tetap dirasai oleh rakyat marhean.

Antara produk dasar ETP yang sedang ditentang oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) adalah kewujudan UEM Edgenta serta lambakan sekolah swasta, hospital swasta, kolej swasta di rumah kedai dan tadika swasta di taman perumahan. ETP telah membuka jalan untuk kerajaan mengurangkan perkembangan perkhidmatan awam supaya membenarkan sektor swasta berkembang.

ETP juga mewujudkan lambakan graduan dalam pelbagai sektor, dari jururawat hingga jurutera, atas permintaan kapitalis untuk “tenaga kerja mahir”. Kini, lambakan graduan telah memberi kuasa kepada majikan untuk memaksa graduan dan tenaga mahir supaya mengambil gaji rendah.

Malah, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) baru ditubuhkan melalui Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) telah mewujudkan kapitalis baru dalam sektor hospital swasta (IHH Berhad), perkhidmatan sokongan awam (UEM Edgenta), Grab dan sebagainya. ETP merupakan punca utama untuk kenaikan harga barangan akibat daripada penghapusan subsidi atau skim kawalan harga untuk petrol, eletrik, beras, minyak masak dan lain-lain.

ETP juga telah mengurangkan kuasa kerajaan untuk mengawalselia dan mengenakan peraturan baru terhadap industri yang mencemar alam. Malah, Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk projek mega, pembalakan dan syarikat gergasi telah dijadikan sekadar “kertas tidak bernilai” untuk “mempercepatkan kemakmuran negara”.

Penjualan Bernas kepada individu swasta telah menyebabkan pesawah ditekan kuat oleh kuasa kapitalis. Kebanyakan masalah yang dihadapi oleh rakyat marhaen ketika ini seperti pemandu teksi, pesawah, petani, ibu tunggal, Orang Asli dan pekerja kontrak kerajaan adalah hasil ETP.

Walaupun ETP telah dikuburkan, tetapi kebanyakan dasar yang sedang dibuat ketika ini adalah berdasarkannya. Pada masa hadapan, dasar baru yang dibuat juga adalah pada asas ETP. Tanpa pemahaman tentang ETP, agak sukar untuk mengenalpasti dasar neoliberal yang telah sebati di Putrajaya untuk dibuang.

==========

Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Pengerusi PSM Melaka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *