oleh Rani Rasiah
Serbuan yang kerap dan keras oleh pihak Imigresen ke atas komuniti migran semasa Perintah Kawalan Pengerakan menjadi salah satu ciri utama pandemik COVID-19 di Malaysia. Serbuan tersebut mendatangkan pelbagai reaksi daripada orang ramai dan didominasi oleh sentimen anti-pendatang dan xenofobia. Siapa yang harus dipersalahkan untuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau warga asing tanpa dokumen ini? Jabatan Imigresen dan sebahagian penduduk negara kita yang lebih lantang bersuara nampaknya menyalahkan sepenuhnya pendatang-pendatang sendiri.
Dikatakan terdapat lebih daripada 4 juta orang pendatang tanpa dokumen di Malaysia. Mereka bukan kumpulan yang homogen, tetapi nampaknya semua kategori warga asing “haram” digolongkan bersama di bawah satu label umum. Warga asing tanpa dokumen termasuklah pekerja migran yang sah tetapi telah menjadi tidak berdokumen ketika berada di sini, pelarian yang melarikan diri daripada penganiayaan di tanahair mereka, pelancong yang telah tinggal lebih lama daripada tempoh dibenarkan, dan warga asing yang kononnya memasuki negara ini dengan motif jahat. Apa jua niat kerajaan untuk menggolongkan pelarian, pekerja migran yang dimangsakan dan penceroboh dengan motif tersembunyi dalam kategori yang sama, mereka telah ditangani dengan pengadilan yang kasar, seperti yang ditunjukkan dalam sejauh mana serbuan dilakukan. Mereka semua dilayani seperti penceroboh haram, sebagai suatu ancaman kepada keselamatan negara, bagaikan musuh yang harus disingkirkan tanpa belas kasihan.
Keselamatan negara sememangnya merupakan perhatian utama mana-mana negara, dan sebuah kerajaan boleh dijangkakan tidak akan berkompromi dalam menangani penceroboh asing dalam minda mereka. Ini adalah salah satu bidang kuasa Jabatan Imigresen, dan orang ramai tidak mempunyai banyak bantahan terhadapnya. Tetapi apa yang tidak dapat diterima adalah pelarian dan pekerja migran tanpa dokumen juga dilayan sebagai musuh negara.
Pertama sekali, kedua-dua kumpulan ini bukanlah ancaman keselamatan negara. Yang kedua, kerajaan yang silih berganti harus juga bertanggungjawab juga atas keadaan semasa. Kedua-dua kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah gagal menangani banyak masalah penting tetap bukannya susah untuk diselesaikan, yang timbul daripada migrasi buruh dan isu pelarian.
Salah satu contohnya adalah keengganan kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan untuk menyerap tenaga kerja pelarian yang sudah ada di negara kita (berjumlah sekitar 120,000) ke dalam tenaga kerja negara sebelum merekrut pekerja migran yang lain. Ini sudah pasti akan membolehkan golongan pelarian untuk mencari nafkah ketika berada dalam di negara kita ini yang mungkin untuk satu jangka masa yang panjang. Sudah pasti, perkara ini memang rumit, pasti akan menemui masalah, tetapi memilih untuk tidak melakukan apa-apa bukanlah suatu jalan keluar. Berpura-pura bahawa masalah tersebut tidak wujud atau menangguhkan penyelesaiannya hanya mendorong masalah tersebut lebih mendalam dan membiarkan masyarakat tersebut menyara diri dengan meminta sedekah atau menjual tenaga buruh merekadi bawah syarat yang sangat eksploitatif.
Kerajaan Malaysia sehingga kini dan golongan elit yang berkuasa juga harus menanggung sebahagian besar tanggungjawab ke atas punca isu PATI yang merupakan pekerja migran tanpa dokumen. Penswastaan dalam pengambilan dan pengurusan buruh migran telah menjadikan penghijrahan ratusan ribu buruh yang miskin dan berhutang itu sebagai satu industri yang menguntungkan, terutamanya bagi anggota elit pemerintah dan kroni mereka. Dalam keadaan seperti ini, wujudnya keengganan untuk menggubal satu dasar yang komprehensif untuk mengawalselia dengan betul satu sektor yang mempunyai jutaan pekerja yang mempunyai impak besar terhadap ekonomi dan penduduk tempatan. Tambahan pula, terdapatnya gejala rasuah berleluasa dalam badan-badan penguatkuasaan yang berkaitan dengan migrasi buruh. Akibat daripada kelemahan dan kegagalan ini, sebilangan besar pekerja memasuki negara ini secara sah, dengan pasport dan permit kerja, tetapi telah menjadi tanpa dokumen selepas itu.
Sudah bertahun-tahun lamanya masyarakat sivil melobi untuk melaksanakan dasar migrasi buruh yang komprehensif dalam menangani isu buruh migran dan pelarian. Terdapat banyak kekurangan dalam dasar yang sedia ada yang boleh menyebabkan pekerja migran kehilangan status sah mereka. Namun, kerajaan BN sebelum ini bertindak lambat dalam pekara ini, difahamkan terdapat ramai anggotanya, termasuk seorang menteri kabinet kanan, dikatakan memperoleh keuntungan tinggi daripada sektor ini. Kerajaan PH pada awalnya menaburkan janji dengan melantik satu jawatankuasa bebas untuk mengkaji dan mengemukakan cadangan supaya memperbaiki keadaan. Tetapi apa yang mengecewakan adalah kerajaan PH enggan mendedahkan cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa tersebut. Kenapa? Adakah kerana mereka lebih suka pasaran buruh yang dibanjiri pekerja tidak berdokumen yang boleh digunakan untuk menekan gaji pada paras yang rendah?
Mensasarkan golongan migran yang berperanan besar dalam ekonomi kita (lebih 70% perusahaan kecil dan sederhana mengupah pekerja migran tanpa dokumen) dan kebanyakan mereka merupakan mangsa akibat kelemahan dasar negara kita, hanya mengaburkan mata kita daripada punca sebenar kepada keadaan yang sudah tidak terkawal. Pelabelan semua pendatang tanpa dokumen sebagai PATI adalah bermasalah – pelarian dan pekerja migran tanpa dokumen tidak dapat ditangani dengan cara yang sama seperti mereka yang disyaki sebagai pengganas.
Adakah serbuan berkesan? Walaupun terdapat banyak serbuan selama bertahun-tahun lamanya, angka PATI nampaknya tetap konsisten, menunjukkan bahawa serbuan bukanlah alternatif kepada dasar yang baik. Rancangan Malaysia Ke-11 menyediakan hala tuju yang sangat baik untuk memperbaiki situasi migrasi yang dilanda dengan masalah dan kontroversi. Rancangan ini bertujuan untuk merumuskan dasar imigrasi dan pekerjaan yang komprehensif berdasarkan keperluan industri dan kebajikan pekerja migran. Di bawah rancangan ini, majikan harus mengambil tanggungjawab penuh untuk proses pengambilan pekerja dan kesejahteraan pekerja, dan membayar levi (untuk mencegah kebergantungan berlebihan terhadap pekerja migran). Yang penting, rancangan ini membincangkan penghapusan peranan ejen swasta, dan menempatkan pengambilan, pemantauan dan pengurusan pekerja migran di bawah kerajaan dengan Kementerian Sumber Manusia yang mengambil peranan terutama. Rancangan ini juga mengatakan bahawa masalah pekerja tidak berdokumen akan ditangani dengan “pengurusan yang lebih baik dan penguatkuasaan yang berkesan”.
Sayangnya sekali, meskipun adanya rancangan yang begitu baik, tetapi tiadanya kesungguhan politik untuk melakukan perubahan yang bermakna.
==========
Rani Rasiah ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).