Negeri Kerala yang terletak di bahagian barat daya India, merupakan negeri pertama di India yang melaporkan kes COVID-19 di mana kes pertamanya dikesan pada 30 Januari 2020, tetapi selepas tiga bulan setengah berlalu, setakat 15 Mei 2020, Kerala yang berjumlah penduduk lebih 34 juta orang hanya mencatatkan 560 kes jangkitan COVID-19, dan 4 kematian, iaitu kadar kematian yang paling rendah di seluruh India. 493 orang yang dijangkiti COVID-19 telah sembuh.
Setakat 15 Mei 2020, sudah disahkan seramai 81,970 orang dijangkiti COVID-19 di India (antaranya 51,401 merupakan kes yang masih aktif), dengan angka kematian mencecah 2,649. Negeri Kerala yang ditadbir oleh Parti Komunis India (Marxis) [CPI(M)] berjaya mengendalikan wabak COVID-19, jauh lebih baik berbanding kebanyakan negeri di India, malah juga lebih baik berbanding negara-negara atau wilayah-wilayah dengan saiz yang lebih kurang sama tetapi lebih membangun dari segi ekonomi.
Jika dibandingkan dengan negeri California di Amerika Syarikat, yang berjumlah penduduk lebih kurang 39 juta orang dan jauh lebih kaya berbanding Kerala, di mana kes COVID-19 yang pertama dikesan pada 26 Januari 2020, kes jangkitan COVID-19 yang disahkan sudah melebihi 73,000 dan angka kematian sudah melebihi 3,000 orang.
Keluaran dalam negeri kasar (KDNK) per kapita bagi California merupakan 27 kali ganda berbanding KDNK Kerala. Mungkin ada yang akan tertanya-tanya, kenapa sebuah negeri di India yang jauh kurang maju dari segi ekonomi berbanding negeri California di Amerika Syarikat, boleh menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik dalam menangani wabak COVID-19?
Apa yang menjadikan Kerala lebih menonjol dalam usaha menangani wabak COVID-19 adalah, dasar yang diamalkan oleh Kerajaan Kerala yang diterajui oleh CPI(M) yang berhaluan kiri amat berbeza berbanding dasar yang diamalkan oleh Kerajaan Pusat India yang diterajui oleh Parti Bharatiya Janata (BJP) yang berhaluan kanan.
Kerajaan Kerala yang dipimpin oleh Pinarayi Vijayan sebagai Ketua Menteri, dengan K. K. Shailaja sebagai Menteri Kesihatan dan Keadilan Sosial, lebih mementingkan kebajikan rakyat negeri Kerala berbanding dengan kepentingan pemodal. Ini membezakannya dengan Kerajaan Pusat India pimpinan Narendra Modi yang mengutamakan kepentingan kapitalis.
Tiga hari selepas mendapat tahu tentang penularan virus baru di negara China, dan sebelum Kerala mengesan kes COVID-19 yang pertama, K. K. Shailaja selaku Menteri Kesihatan dan Keadilan Sosial negeri Kerala telah mengadakan mesyuarat pertama untuk pasukan respon segera. Sehari selepas itu, pasukan respon telah mewujudkan bilik kawalan dan memberi arahan kepada pegawai-pegawai di kesemua 14 daerah di dalam negeri itu untuk melakukan perkara yang sama. Apabila kes pertama sampai di Kerala yang dibawa oleh pelajar yang pulang dari bandar Wuhan, negeri Kerala sudah mengamalkan protokol ujian, penjejakan, pengasingan dan sokongan yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Walaupun berjaya menghentikan gelombang pertama penularan virus, tetapi wabak COVID-19 terus menular di luar negara China dan meliputi seluruh dunia.
Kerajaan Kerala membangunkan strategi “memutuskan rantai jangkitan” dengan ujian saringan yang meluas, penjejakan kontak dan menginstitusikan prosedur kuarantin. Kakitangan perubatan di Kerala secara aktifnya menjejak semua kontak untuk kes COVID-19 yang disahkan, dengan bantuan iklan dan media sosial, dan menguarantinkan mereka. Pekerja-pekerja yang pulang ke Kerala dari negara-negara Teluk Parsi dalam jumlah yang besar, merupakan salah satu kluster yang mempunyai pembawa koronavirus. Semua penerbangan yang memasuki empat buah lapangan terbang antarabangsa di negeri Kerala telah dihentikan mulai 23 Mac 2020.
Pada kemuncak penularan koronavirus di Kerala, seramai 170,000 orang telah dikuarantin dan dikawalselia secara rapi oleh pekerja-pekerja kesihatan yang melawat mereka dengan kerap. Mereka yang kekurangan bilik mandi ditempatkan di unit pengasingan yang disediakan dengan pembiayaan kerajaan negeri. Kerajaan negeri Kerala juga menempatkan seramai 150,000 orang pekerja migran dari negeri-negeri bersebelahan yang terperangkap kerana sekatan perjalanan, dan membekalkan makanan yang mencukupi kepada mereka.
Negeri Kerala diperintah silih berganti antara Fron Demokratik Kiri yang diterajui CPI(M) dan Fron Demokrasi Bersatu yang diterajui Kongres Nasional India (INC) sejak Parti Komunis India (CPI) menang dalam Pilihanraya Dewan Perundangan Kerala pada tahun 1957. CPI(M) ditubuhkan pada tahun 1964 berikutan perpecahan CPI pada tahun 1960-an dalam isu berkaitan dengan perpecahan Soviet-China dan pendekatan terhadap politik di India pada masa itu. Walau bagaimanapun, CPI(M) dan CPI telah bekerjasama dalam Fron Demokratik Kiri di negeri Kerala yang memainkan peranan penting dalam politik di negeri tersebut. Pemerintahan parti berhaluan kiri di Kerala telah membawa kepada reformasi tanah yang mengehadkan keluasan tanah yang boleh dimiliki oleh sesebuah keluarga dan meningkatkan pemilikan tanah oleh petani kecil, di samping pembangunan sistem kesihatan awam yang dinyahpusatkan dan pelaburan yang besar dalam pendidikan awam. Setiap kampung mempunyai pusat kesihatan asas dan terdapat hospital di setiap peringkat pentadbiran di dalam negeri tersebut, di samping terdapat 10 buah kolej perubatan di negeri tersebut. Keutamaan yang diberikan oleh kerajaan berhaluan kiri di Kerala kepada sistem kesihatan awam, menjadikan Kerala negeri dengan jangka hayat yang tertinggi dan kematian bayi yang terendah di seluruh India. Kerala juga merupakan negeri dengan kadar literasi yang tertinggi di India.
Sistem kesihatan sejagat yang dibangunkan oleh pemerintahan parti kiri di Kerala tidak dihakis sepanjang beberapa dekad kebelakangan ini yang didominasi oleh dasar ekonomi neoliberal. Ini telah membolehkan Kerajaan Kerala lebih mudah menangani situasi ancaman wabak penyakit. Kerajaan Kerala berjaya membasmi penularan penyakit virus Nipah pada tahun 2018, hasil daripada sistem kesihatan awam yang berfungsi baik.
Kempen penyebaran maklumat secara telus dan jelas, membolehkan rakyat Kerala mendapat informasi yang terkini dan sahih. Ketua Menteri Kerala Pinarayi Vijayan mengadakan taklimat media setiap hari untuk memastikan rakyat menerima maklumat yang benar.
Kerajaan Kerala juga memberi tumpuan kepada kesihatan mental rakyatnya, dengan menyediakan pusat panggilan dengan 241 orang kaunselor, untuk memastikan tiada orang terasa diabaikan dan mencegah tekanan jiwa kerana pengasingan.
Kerajaan Kerala juga bekerjasama secara rapat dengan gerakan sosial dalam menghadapi krisis wabak koronavirus. Pertubuhan komunis muda menghasilkan bahan pencuci tangan, koperasi wanita mengeluarkan topeng muka, sementara sukarelawan daripada Parti Komunis dan kesatuan sekerja menyahcemar tempat awam dan bas untuk memastikan keselamatan semua orang.
Kerajaan Kerala melancarkan pakej bantuan, termasuk pakej makanan percuma dengan jutaan penghantaran makanan masak kepada kanak-kanak sekolah dan mereka yang memerlukannya, skim jaminan pekerjaan dan bayaran pencen tambahan dua bulan kepada warga emas.
Slogan Kerala dalam menghadapi pandemik COVID-19 yang berbunyi “penjarakan fizikal, perpaduan sosial”, menunjukkan satu-satu caranya untuk mengatasi pandemik koronavirus adalah melalui solidariti masyarakat.