20200508 - 159982

Ibrahim Gökçek, seorang anggota kumpulan muzik rakyat berhaluan kiri yang bernama Grup Yorum, telah meninggal dunia pada 7 Mei 2020, dua hari selepas beliau menamatkan aksi mogok laparnya yang berlarutan selama 323 hari. Ibrahim Gökçek yang berumur 39 tahun, mengadakan mogok lapar sejak bulan Jun 2019, untuk membantah penindasan Kerajaan Turki terhadap kumpulan muzik Grup Yorum.

Kerajaan Turki pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdoğan telah bertindak keras dalam memukul kumpulan muzik Grup Yorum sejak tahun 2016, termasuk mengharamkan kumpulan muzik tersebut daripada mengadakan persembahan terbuka, memusnahkan album kumpulan tersebut dan melakukan tangkapan ke atas anggota-anggotanya.

Sebulan sebelum Ibrahim Gökçek meninggal dunia, pada 3 April 2020, Helin Bölek, seorang lagi anggota Grup Yorum yang baru berumur 28 tahun, telah meninggal dunia selepas bermogok lapar selama 288 hari. Ibrahim Gökçek yang masih bermogok lapar pada masa itu telah menghadiri upacara pengembumian Helin Bölek untuk memberikan penghormatan terakhir kepada rakan sekumpulannya.

ANF Images
Ibrahim Gökçek menghadiri upacara pengebumian Helin Bölek pada 4 April 2020.

Ibrahim Gökçek ditangkap pada 1 Mei 2019 dan dikenakan pertuduhan berkaitan dengan keganasan yang direka-rekakan. Ibrahim Gökçek melancarkan mogok lapar pada bulan Jun 2019, dengan tuntutan kepada kerajaan Turki untuk menghentikan penindasan terhadap Grup Yorum, membebaskan semua anggota Grup Yorum yang dipenjarakan dan membenarkan Grup Yorum untuk terus mengadakan konsert mereka. Ibrahim Gökçek dibebaskan dari penjara pada bulan Februari 2020, namun beliau meneruskan mogok laparnya untuk menuntut hak menyanyi. Ibrahim Gökçek menamatkan mogok laparnya selama 323 hari, iaitu hampir 11 bulan, pada 5 Mei 2020, selepas mencapai kejayaan politik dalam bentuk kumpulan Grup Yorum dibenarkan untuk memohon kebenaran daripada Gabenor Istanbul untuk mengadakan konsert di bandar itu. Namun, kesihatan Ibrahim Gökçek menjadi kritikal selepas beliau menghentikan mogok lapar dan meninggal dunia 2 hari selepas itu. Ibrahim Gökçek telah mengorbankan nyawanya dalam mempertahankan hak untuk menyanyi.

Selain Ibrahim Gökçek dan Helin Bölek, seorang lagi sekutu kepada Grup Yorum, Mustafa Koçak, juga telah meninggal dunia pada 24 April 2020, selepas mengadakan mogok lapar selama 297 hari untuk bersolidariti dengan Grup Yorum. Ketiga-tiga orang yang mati kerana mogok lapar untuk menegakkan hak demokrasi ini, merupakan mangsa kepada kezaliman Kerajaan Turki pimpinan Erdoğan.

Grup Yorum yang ditubuhkan pada tahun 1985, merupakan sebuah kumpulan muzik berhaluan kiri di Turki yang agak popular. Lagu-lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan ini sentiasa merangkumi tema berkaitan dengan perjuangan kelas pekerja dan rakyat miskin di Turki. Muzik Grup Yorum telah mendidik pendengarnya tentang perjuangan anti-kapitalis dan anti-imperialis, sesuatu yang tidak disenangi oleh kelas pemerintah Turki. Grup Yorum sering kali dijadikan sasaran gangguan dan pihak berkuasa Turki, termasuk menuduhnya berhubungkait dengan “Fron-Parti Pembebasan Rakyat Revolusioner” (DHKP-C), sebuah kumpulan militan Marxis-Leninis yang anti-NATO dan dilabelkan sebagai kumpulan pengganas di Turki, sedangkan Grup Yorum tidak pernah bersekutu dengan mana-mana kumpulan politik. Gangguan dan penindasan yang dihadapi oleh Grup Yorum telah berlaku sejak penubuhannya, misalnya pada tahun 1993, sebuah trak yang mengangkut album kumpulan tersebut yang bertajuk “Cesaret” telah ditembak sehingga hancur berkecai oleh pasukan keselamatan Turki semasa dalam perjalanan ke bandar Diyarbakir. Pada tahun 2016, Kerajaan pimpinan Erdoğan menjadi semakin represif selepas menewaskan cubaan kudeta pada bulan Julai tahun itu, dan Grup Yorum menjadi salah satu sasaran yang ditindas hebat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *