20200422 - earth day

(Berikut ialah kenyataan akhbar PSM sempena sambutan Hari Bumi Sedunia 2020)

oleh Sharan Raj

Krisis wabak COVID-19 yang telah menjangkiti lebih 2.5 juta orang dan mengorbankan nyawa lebih 170,000 orang di seluruh dunia dalam jangka masa hanya 6 bulan. COVID-19 mendedahkan betapa rapuhnya sistem kesihatan kita, ketidaksediaan kepimpinan negara seluruh dunia dalam menangani ancaman krisis global dan juga ketidakjaminan bekalan makanan.

Sektor pertanian dan kesihatan di negara maju seperti Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan juga tidak berkecuali. Malah COVID-19 telah memberikan gambaran tentang skala suatu krisis global. Impak daripada krisis iklim terhadap tamadun manusia tidak jauh berbeza malah mungkin akan lebih dahsyat daripada COVID-19.

Peningkatan suhu dunia akibat gas rumah hijau akan mengubah iklim dengan drastik. Perubahan iklim akan menjejaskan hasil pertanian serta hasil laut sehingga menyebabkan kekurangan bekalan makanan. Kekurangan hujan di kawasan tadahan air akan mengurangkan bekalan air bersih di bandar.

 

Perubahan iklim akan meningkatkan risiko wabak penyakit serta masalah kesihatan yang dihadapi umat manusia. Perubahan iklim secara drastik akan mewujudkan penyakit baru di luar kemampuan manusia untuk merawat. Sektor kesihatan yang rapuh tidak mampu mengendalikan impak krisis iklim.

Kawalan Pergerakan di merata dunia telah mengurangkan pembakaran bahan api fosil dengan drastik. Lantas, mengurangkan pencemaran udara, bunyi dan air di kawasan bandar. Ini membuktikan bahawa bumi masih boleh disembuh semula jikalau langkah drastik diambil untuk mengurangkan pembakaran bahan api fosil dan pelepasan gas rumah hijau. Namun, bumi hanya mampu sembuh jikalau manusia memberi ruang dengan mengurangkan pencemaran.

Krisis COVID-19 mengingatkan kita tentang keperluan pengisytiharan Darurat Iklim untuk mengurangkan penggunaan bahan api fosil dan pelepasan karbon dioksida.

Oleh yang demikian, sempena Hari Bumi Sedunia 2020, Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa Kerajaan supaya mengisytihar Darurat Iklim di Malaysia dengan mengambil langkah-langkah berikut untuk menangani krisis iklim:

  1. Moratorium kekal terhadap pembinaan stesen janakuasa bahan api fosil
  1. Pembangunan pengangkutan awam yang holistik di bandar utama
  1. Mengharamkan pelepasan gas metana oleh sektor petroleum dan kilang kelapa sawit.
  1. Moratorium terhadap penebangan hutan dara di Malaysia.

=======

Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *