20200418 0 41582799997_TunMahathirMohamad

oleh S. Arutchelvan

Banyak pihak memuji cara Malaysia mengendalikan wabak COVID-19. Jumlah kes baru yang dilaporkan pada 17 April 2020 adalah yang terendah sejak PKP (Perintah Kawalan pergerakan) dikuatkuasakan, dengan jumlah kes baru yang dilaporkan di Malaysia adalah 69. Ini memang suatu berita yang menggembirakan tetapi kita tidak boleh terlalu ghairah dengan statistik ini, dan perlu terus berwaspada dan berdisiplin dalam menangani ancaman virus COVID-19 yang telah melumpuhkan ekonomi dunia dan telah menundukkan kuasa-kuasa dunia.

Banyak pihak memberikan pujian kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah atas cara beliau menangani masalah ini. China Global Television Network (CGTN) pula telah menamakan beliau sebagai antara tiga orang doktor yang terbaik di dunia dalam peperangan melawan COVID-19. Beliau juga dengan penuh rendah diri mengatakan bahawa pujian tersebut bukan untuk dirinya tetapi adalah kepada usaha kolektif negara dalam menangani wabak COVID-19.

Sekarang saya sedang berfikir secara retrospektif, dengan membayangkan jika Tun Mahathir yang diberikan pujian seumpama itu. Kemungkinan besar beliau tanpa segan akan berkata,“Mereka semua sukakan saya, saya rasa macam seperti melambung di udara.”

Saya membuat ramalan sinis ini kerana dunia hari ini menyaksikan bagaimana ahli-ahli politik dan pemimpin yang angkuh menangani isu COVID-19 dan bagaimana ia membawa padah kepada rakyat kerana keangkuhan dan ego mereka. Golongan pemimpin sebegini lebih mengutamakan bagaimana menyelamatkan ekonomi daripada menyelamatkan nyawa rakyat.

Sebelum ini Boris Johnson, Perdana Menteri UK, menghujahkan bahawa cara terbaik  untuk menangani virus ini adalah membiarkan virus ini merebak dalam kalangan golongan majoriti rakyat, manakala Kerajaan hanya melindungi satu kumpulan minoriti yang sudah berusia dan yang mungkin menghadapi masalah kesihatan. Idea yang mungkin akan menyebabkan ribuan orang mati itu diambil kerana dirasakan adalah lebih baik daripada menyelamatkan ekonomi. Namun akhirnya, beliau sendiri terpaksa dimasukkan ke dalam unit jagaan rapi (ICU) kerana virus ini.

Namun keangkuhan Perdana Menteri UK ini sudah pasti tidak dapat menyaingi keangkuhan Presiden Amerika Syarikat – Donald Trump. Trump dikatakan begitu seronok untuk memberikan kemaskini harian masalah COVID-19 padahal ramai orang amat gusar setiap kali dia membuka mulut. Jumlah kes di Amerika Syarikat (AS) terkini telah mencecah 685,005 pada hari Jumaat (17 April 2020) dengan jumlah kematian sebanyak 35,481 . Angka ini jauh melebihi 2,977 orang yang mati semasa serangan penganas 11 September 2001. Satu kajian yang dibuat oleh AFP melaporkan bahawa hampir dua pertiga rakyat AS mengatakan Trump terlalu lambat mengambil langkahmenangani ancaman pandemik koronavirus .

Ini memang betul di mana apabila ancaman virus itu dibawa kepada perhatian Trump, dia dengan angkuh mengatakan bahawa ia bukan satu ancaman besar dan ia hanya seperti selssema. Trump juga pada awalnya begitu ghairah untuk membuka semula ekonomi AS menjelang perayaan Hari Easter. Namun pada hari ini, walaupun memang ada kelemahan besar pada kuasa besar dunia tersebut, tetapi Trump terus dengan angkuhnya menuduh orang lain seperti media, negara China, Pertubuhan Kesihatan dunia (WHO) dan Parti Demokratik.

Di Brazil pula, Presidennya Jair Bolsonaro yang dikenali sebagai Trump versi Brazil dengan slogannya “Lets Make Brazil Great Again” (Jadikan Brazil Kembali Hebat Semula) merupakan satu lagi pemimpim dunia yang angkuh yang sudi mengorbankan rakyatnya sendiri demi untuk membuka semula ekonomi. Dia telah memecat Menteri Kesihatan Brazil yang popular kerana menganggap Menteri itu sebagai seorang doktor tidak tahu kepentingan membuka balik ekonomi negara. Bolsorano turut berkata bahawa virus ini hanya  “selesema kecil” dan mengkritik Gabenor negeri-negeri dalam negara itu kerana mengarahkan sekatan pergerakan yang didukung oleh Menteri Kesihatan, Luiz Henrique Mandetta yang juga merupakan seorang pakar perubatan. Wabak COVID-19 sudahpun meragut nyawa lebih 2 ribu rakyat negara Brazil pada ketika ini.

Sekarang kita berbalik kepada Malaysia. Satu sebab mengapa krisis ini dapat ditangani dengan lebih baik adalah kemungkinan besar Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, diberikan kepercayaan sepenuh oleh Kerajaan untuk mengendalikan dan menyelaraskan krisis ini. Jika kita melihat cara beliau membentang laporan harian dan menjawab soalan daripada pihak akhbar, kita dapat merasakan ada satu penampilan keprofesionalan yang menyakinkan. Kita juga tidak melihat unsur-unsur permainan politik (politicking), membodek mahupun mengampu parti pemerintah. Selain itu, beliau juga langsung tidak menunjukkan sikap pilih kasih perkauman dan melihat semua pesakit sebagai manusia yang setara. Sebagai seorang pakar perubatan, beliau memang memahami tugasnya dengan lebih baik. Kita juga boleh membezakan cara beliau menangani isu ini berbanding dengan Menteri Kesihatan Dr. Adham Baba, iaitu seorang ahli politik UMNO.

Jika benar kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk Perdana Menteri memberikan mandat kepada Dr Noor Hisham Abdullah dengan tangan bebas untuk menangani krisis ini, maka ia adalah keputusan bijak dan pendirian yang baik.

Sekarang mari kita bayangkan secara retrospektif, Tun Mahathir pula yang masih menerajui negara kita. Maka, saya boleh bayangan keghairahannya untuk bercakap kepada media. Orang lain mungkin tidak berani bercakap kerana takut berpendirian berbeza dengan Perdana Menteri yang serba tahu semua. Mungkinkah keangkuhan Mahathir akan membawa padah?

Kita tahu bahawa semasa krisis matawang dan kemelesetan ekonomi, Mahathir dipuji sebagai penyelamat negara. Namun, hakikat sebenarnya adalah beliau berjaya menyelamatkan kroninya termasuknya anaknya. Pada masa itu, rakyat biasa menghadapi pelbagai masalah, seperti pekerja dibuang kerja sewenang-wenangnya, sementara Kerajaan langsung tidak memainkan peranan proaktif dalam menjaga kesejahteraan kaum pekerja. Cadangan kami pada masa itu untuk menangguhkan bayaran hutang bank juga langsung tidak diendahkan.

Sudah tentu, jika Tun Mahathir masih mengemudi negara kita, beliau sudah pasti akan meminta para pekerja untuk melakukan pengorbanan. Baru-baru ini, Tun Mahathir berkata dalam satu temubual, rakyat perlu menerima hakikat bahawa pendapatan mereka akan berkurangan selain risiko kehilangan pekerjaan selepas pendapatan syarikat mengalami kemerosotan. Beliau juga meminta rakyat untuk mengubah gaya hidup dan bersedia untuk hidup dengan  pendapatan yang lebih rendah.

Mendengar kenyataan ini, saya rasa lega dan gembira bahawa Tun Mahahtir tidak menjadi Perdana Menteri semasa kita menangani krisis virus ini. Kita memerlukan pendekatan saintifik, profesional, pemikiran bukan perkauman dan keprihatinan terhadap rakyat berpendapatan rendah. Trump, Bolsonaro dan Mahathir: selain keangkuhan mereka, formula mereka adalah kepentingan pemodal mengatasi kepentingan rakyat biasa.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s