20200223 - coronavirus-2

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Dengan kita sekarang ini sudah melalui fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 16 Mac 2020, adalah masanya untuk menilai kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas penularan wabak COVID-19.

Graf di bawah yang mencatatkan bilangan kes baru COVID-19 yang disahkan untuk 9 hari yang lalu (22-30 Mac) menunjukkan bahawa bilangan kes COVID-19 yang baru setiap hari telah mencapai tahap mendatar. Ini agak berbeza dengan trajektori wabak di Sepanyol dan Amerika Syarikat (AS)  di mana bilangan kes baru masih meningkat setiap hari. Graf ini menunjukkan bahawa untuk tempoh antara 16 Mac hingga 23 Mac 2020, setiap kes baru secara puratanya menyebarkan jangkitan kepada seorang lagi sebelum didiagnosis dan diasingkan – menjadikan nisbah jangkitan berada pada 1.0. Ini adalah lebih baik berbanding dengan nisbah jangkitan sebanyak 2.6 yang dikenalpasti oleh pakar epidemiologi. (Pakar-pakar epidemiologi telah mendapati bahawa dalam keadaan tiada langkah-langkah kawalan, setiap pesakit COVID-19 akan menjangkiti 2.6 orang lain secara purata sebelum didiagnosis dan diasingkan – iaitu nisbah jangkitan sebanyak 2.6. Ini menjadikan bilangan kes baru berlipat ganda setiap 4 hari dan menjana kadar peningkatan secara eksponen dalam kes COVID-19.)

Gambarajah: Kes baru COVID-10 di Malaysia (22-30 Mac 2020)

20200401-Picture1

Namun, ia masih tidak mencukupi sekadar menurunkan kadar jangkitan kepada 1.0. Kita perlu menurunkannya lagi jika kita hendak mengurangkan bilangan kes baru. Jika kadar jangkitan purata boleh diturunkan, kepada misalnya 0.8, ini akan membawa kepada hasil mengurangkan kes baru sebanyak 20% setiap 6 hari dan kesannya akan terkumpul – 0.8 pada hari ke-6, 0.64 pada hari ke-12, 0.54 pada hari ke-18, 0.44 pada hari ke-24 dan 0.35 pada hari ke-30 (berbanding bilang ke baru pada hari pertama). Jika kita memperoleh nisbah jangkitan 0.8, kita akan mengurangkan kes baru kita kepada lebih kurang 53 per hari dalam tempoh masa sebulan (150 X 0.35).

Strategi PKP sahaja mungkin tidak mencukupi untuk mencapai ini. PKP memastikan rakyat berada di dalam rumah mereka masing-masing dan menghalang penularan jangkitan kepada 10, 20 atau lebih ramai orang melalui penyertaan majlis keramaian yang sama. PKP memainkan peranan utama dalam mengurangkan kadar jangkitan kepada 1.0. Kita sekarang perlu berfikir bagaimana mengurangkan lagi kadar jangkitan. Nampaknya Majlis Keselamatan Negara (MKN) belum lagi mempertimbangkan ini secara teliti. Daripada kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini, MKN memfokus pada memperketatkan sekatan dan menggunakan langkah-langkah yang lebih punitif untuk menguatkuasakan PKP. Ini menjadikan kehidupan lebih susah untuk rakyat biasa. Sebenarnya tidak perlu melakukan sebegini.

MKN perlu menukar taktiknya dan mengenalpasti pendekatan yang lebih bijak dan berkesan untuk mengurangkan kadar jangkitan. Permulaan yang baik adalah bertanya bagaimana rakyat masih dijangkiti walaupun terdapat PKP. Saya berpandangan bahawa, terdapat 2 cara utama rakyat dijangkiti penyakit ini sekarang. Salah satunya adalah daripada permukaan yang dicemari di dalam kedai, gerai, bank dan pasar yang dikunjungi mereka untuk mendapatkan barangan keperluan harian. Satu lagi adalah daripada ahli keluarga yang dijangkiti dan duduk di dalam rumah yang sama. Kita perlu menangani kedua-dua perkara ini untuk membolehkan kita mengurangkan nisbah jangkitan kepada kurang daripada 1.0.

Langkah-langkah tambahan berikut patut dipertimbangkan secara serius oleh MKN:

  1. Penutup muka untuk setiap orang yang keluar dari rumah

Sesetengah orang mendapat virus COVID-19 sekarang adalah mungkin disebabkan tangan mereka dicemari virus semasa mereka keluar untuk pergi ke bank, kedai runcit atau pasar awam. Masalah di sini adalah, apabila seseorang dijangkiti virus COVID-19, dia mungkin tidak menyedarinya untuk beberapa hari yang pertama. Dia mungkin rasa agak normal tetapi mungkin sudah menyebarkan virus khususnya pada peringkat tempoh inkubasi. Apabila individu sebegini keluar untuk membeli barangan di kedai runcit atau pasar, dia boleh mencemarkan permukaan tanpa menyedarinya, dan ini mungkin akan mendatangkan jangkitan kepada orang lain yang menggunakan kemudahan atau mengungjungi premis yang sama.

Kejadian ini boleh dikurangkan secara ketara dengan mensyaratkan setiap orang memakai penutup muka apabila memasuki bank, kedai runcit atau pasaraya. Tujuan penutup muka dalam keadaan ini bukan untuk melindungi orang yang memakainya, tetapi untuk memerangkap titisan yang mungkin dibebaskannya – ianya adalah untuk melindungi orang lain. Disebabkan tujuannya adalah untuk mengelakkan pencemaran permukaan oleh titisan yang mungkin mengandungi virus, penutup muka kain buatan rumah yang boleh diguna semula sudah mencukupi. Ini adalah jauh lebih murah dan tidak akan memburukkan lagi kekurangan bekalan penutup muka N95 yang lebih sesuai yang diperlukan oleh petugas kesihatan. Penutup muka kain ini boleh dibersihkan dengan merendamkannya dalam air sabun yang suam selama 30 minit sebelum mencucinya dan menggunakannya semula. Saya percaya ini akan menjadi pengubah keadaan (game changer).

  1. Pengasingan kontak yang lebih baik

Pada masa ini, semua kontak untuk kes COVID-19 yang disahkan perlu menjalani pengasingan diri (self-quarantine) – bermakna mereka sepatutnya duduk di dalam rumah sepenuhnya secara ketat untuk 14 hari. Namun, adakah ini tidak dilakukan secara sesuai? Pengasingan diri yang sesuai memerlukan setiap orang dalam isi rumah mempunyai biliknya sendiri dengan bilik mandi yang tersambung dengan biliknya. Kebanyakan rumah di Malaysia tidak mempunyai kemudahan sebegini. Oleh itu, adalah berisiko tinggi untuk kontak ini menjangkiti orang lain di dalam rumah yang sama. Kes indeks dalam keluarga mungkin telah menyebarkan jangkitan kepada seorang lagi dalam isi rumah. Namun, oleh sebab ruang kediaman rumah yang sempit, akhirnya kebanyakan ahli keluarga dalam isi rumah akan menjadi prositif jangkitan virus.

Adakah Kementerian Kesihatan (KKM) dan MKN memberi perhatian kepada ini? Terdapat sejumlah asrama telah dikenalpasti untuk tujuan mengasingkan kontak. Adakah tempat-tempat ini digunakan? Mungkin kita perlu meninggalkan ibu dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun di dalam rumah mereka sendiri, dan membekalkan keperluan kepada mereka secara berkala. Namun, untuk anggota isi rumah yang lain, patut dipindahkan ke asrama pengasingan sepanjang tempoh pengasingan 14 hari, dengan makanan dan keperluan asas lain mereka dibekalkan oleh kerajaan.

KKM dan MKN patut menilai kesesuaian usaha pengasingan secara berterusan. Berapa ramai kontak yang dikenalpasti untuk setiap kes yang didiagnosis? Berapa antara mereka berada di bawah pengasingan yang sesuai? Apakah kadar jangkitan dalam kalangan kontak? Adakah sesetengah negeri atau daerah menunjukkan prestasi yang kurang memuaskan dalam perkara ini? Data yang boleh dicapai perlu dipecahkan kepada peringkat daerah, dan digunakan untuk mengesan “unsur-unsur luaran” supaya tindakan pemulihan dapat diambil. Jika perlu, lebih ramai petugas patut dikerahkan untuk usaha pengasingan kontak secara berkesan yang penting ini, supaya kita mengurangkan lagi jangkitan virus.

  1. Ujian awal untuk kes yang menunjukkan simptom

Ujian PCR-RNA yang digunakan untuk mengesan RNA virus COVID-19 patut dilakukan ke atas semua orang yang mempunyai 2 daripada 5 simptom ini – demam, batuk, sakit tekak, sakit badan dan kehilangan rasa. Malangnya sekali, sehingga kini, jabatan pesakit luar di hospital kerajaan enggan melakukan ujian ini untuk pesakit yang walaupun mempunyai simptom-simptom ini tetapi tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara tertentu atau merupakan kontak kepada kelompok kes COVID-19 yang diketahui, kerana kekurangan bahan uji dalam sektor kerajaan. Ini menyebabkan kelewatan dalam diagnosis dan pengasingan kes-kes positif. Namun, pada masa yang sama, menjalankan ujian swab pula nampaknya menjadi satu trend untuk mereka yang berada yang tidak mempunyai apa-apa simptom – dan ini telah dipromosikan oleh sesetengah hospital swasta, dengan adanya malah menganjurkan ujian secara pandu lalu “drive-in” (dan mengenakan bayaran lebih kurang RM550 seorang). Ini merupakan pembaziran sumber yang sukar didapati, dan tidak patut digalakkan. Orang ramai patut diberitahu bahawa ujian negatif untuk COVID-19 pada hari ini tidak melindungi seseorang daripada dijangkiti COVID-19 pada hari esok atau hari-hari seterusnya. Ujian awalan mempunyai peranan yang penting, tetapi ia mesti berpandukan kriteria klinikal, dan bukannya oleh keupayaan untuk membayar atau pertimbangan komersial. Kerajaan perlu memperuntukkan lebih banyak kewangan dalam menjalankan ujian PCR-RNA untuk semua pesakit yang mempunyai simptpm-simptom berkaitan. Diagnosis yang lebih awal akan membolehkan pengasingan yang lebih awal dan mengurangkan peluang penyebaran virus.

  1. Mendapatkan kepercayaan pekerja-pekerja migran

Seperti yang dihujahkan dalam bahagian di atas, kunci kepada kawalan ke atas wabak COVID-19 ini adalah kombinasi diagnosis awal, pengesanan kontak yang efisien dan pengasingan yang berkesan. Dengan menyedari bahawa tiga pertiga daripada lebih kurang 6 juta pekerja migran di negara kita tidak mempunyai dokumen dan mereka hidup dalam ketakutan terhadap pihak berkuasa, bolehkah langkah-langkah kawalan ini dilaksanakan untuk mereka? Jika kita gagal mendapatkan sokongan mereka dan kerjasama daripada komuniti pekerja migran, kemungkinan besar akan menjadi “Tumit Archilles” (kelemahan yang membawa mudarat besar walaupun terdapat kekuatan keseluruhan) kepada program kawalan COVID-19 di Malaysia.

Ini merupakan satu isu yang serius, tetapi nampaknya MKN enggan menanganinya secara menyeluruh. Terdapat satu pekeliling KKM yang bertarikh 29 Januari 2020 menyatakan bahawa semua pekerja migran akan dirawat secara percuma jika mereka didiagnosis sebagai kes COVID-19. Namun, dalam pekeliling yang sama, ia mengatakan bahawa jika mereka bukan kes COVID-19, mereka perlu membayar caj penuh seperti yang dinyatakan dalam Garis Panduan Perlaksanaan Caj Baru (2014). Bayaran ini adalah beberapa kali ganda lebih tinggi berbanding yuran yang dibayar oleh warganegara Malaysia. Kelewatan dalam mendapatkan rawatan kerana kebimbangan terhadap caj tinggi di hospital akan menyebabkan penularan cepat COVID-19 sekiranya merebak kepada populasi pekerja migran (kerana ini berkemungkinan berlaku pada masa akan datang). Forum Kesihatan Rakyat telah menyerahkan satu memorandum kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 19 Mac 2020, dengan mencadangkan 2 langkah utama untuk menangani isu kawalan COVID-19 dalam kalangan populasi pekerja migran:

  1. Penggantungan pelaksanaan Garis Panduan Perlaksanaan Caj Baru 2014ke atas pekerja migran; dan
  2. Moratorium ke atas penangkapan dan pemenjaraan untuk kesalahan imigresen.

Kedua-dua inisiatif ini bersama dengan kaedah mendekati populasi pekerja migran melalui pertubuhan informal mereka dan badan bukan kerajaan (NGO), boleh membantu jabatan kesihatan di negara kita untuk mendapatkan kepercayaan dan kerjasama mereka dalam perkara menampilkan diri untuk pergi ke klinik atau hospital kerajaan, menjalani ujian, pengesanan kontak dan pengasingan. Pengkuarantinan pekerja migran akan memerlukan penempatan mereka di dalam asrama kuarantin, kerana mereka secara umumnya tinggal dalam keadaan yang sangat sempit dan sesak. Jika kita gagal untuk membangunkan kepercayaan ini, terdapat risiko berlakunya letupan penularan melalui golongan pekerja migran kepada masyarakat kita yang memerlukan satu lagi PKP (yang menjejaskan ekonomi) pada masa akan datang. Ianya merupakan “kepentingan diri yang sedar” kita untuk melaksanakan dua pendekatan yang dicadangkan oleh Forum Kesihatan Rakyat. Kami berharap MKN akan mengambil isu ini secara serius. Ianya adalah amat bodoh untuk “berjimat pada yang sedikit, boros pada yang banyak” (penny wise but pound foolish).

Adakah kita sedang mengubah arus?  

Jadi, untuk menjawab soalan yang terpapar pada tajuk rencana ini – ya, kita telah mengurangkan jangkitan COVID-19 di Malaysia secara ketara. KKM, MKN dan juga masyarakat umum patut diberi pujian untuk ini. Namun, lebih banyak perkara yang perlu kita lakukan – kadar jangkitan perlu diturunkan kepada 0.8 atau kurang daripadanya supaya bilangan kes baru mula berkurangan. Dan adalah penting untuk ini dilakukan secepat mungkin, kerana PKP sedang membawa kesusahan kepada ramai orang. Kita perlu memulakan semula ekonomi kita supaya barangan dan perkhidmatan boleh dihasilkan untuk rakyat kita, dan keluarga-keluarga kita mempunyai peluang untuk bekerja dan mendapatkan wang yang diperlukan untuk memenuhi keperluan mereka.

Banyak keluarga yang kelaparan 

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempunyai satu lagi permintaan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) – anda perlu menangani segera masalah sesetengah keluarga yang sudah tiada makanan. Pekerja-pekerja bergaji harian, pekebun-pekebun getah kecil, pengusaha-pengusaha perniagaan mikro di pasar malam dan pekerja-pekerja kasual, sedang menghadapi masalah kerana mereka tidak boleh bekerja, dan mereka tidak mempunyai apa-apa simpanan lagi untuk terus hidup.

Cawangan-cawangan PSM di seluruh negara telah ditanya oleh keluarga-keluarga di mana mereka boleh mendapatkan bantuan. Adalah sesuatu yang baik bahawa Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 27 Mac 2020 merangkumi pemindahan wang tunai sebanyak RM1,600 kepada 4 juta keluarga berpendapatan rendah, tetapi ini hanya akan dilakukan pada hujung bulan April. Ini adalah terlalu lewat untuk keluarga yang sedang menghadapi masalah kesempitan wang tunai sekarang. Bolehkah MKN memberi perhatian kepada perkara ini secepat mungkin, kerana terdapat banyak keluarga yang terkesan? Sudah pastinya maklumat penerima BR1M dan Bantuan Sara Hidup (BSH) sudahpun ada dalam pangkalan data kerajaan. Kenapa pemindahan wang tunai ini tidak boleh dimulakan pada minggu pertama bulan April ini juga? Ini akan membawa kelegaan yang amat besar kepada keluarga-keluarga ini!

Kita sudah separuh jalan melalui tempoh PKP, dan kita sedang menunjukkan sedikit kemajuan. Marilah kita kekal berada dalam laluan ini, bekerjasama dengan pihak berkuasa, berada di dalam rumah seboleh mungkin, tetapi juga membantu keluarga-keluarga yang memerlukan makanan dan bekalan asas yang lain. Terdapat banyak cabaran sedang menunggu kita – memulihkan ekonomi dalam keadaan kemelesekatan global bakal menjadi satu lagi masalah hebat selepas kita melalui PKP. Namun, tidak apa-apa yang tidak dapat diatasi jika kita menanganinya berasaskan solidariti dan sains! Bertahanlah di situ! 

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau juga merupakan seorang doktor pakar pernafasan dan anggota kepada Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan (GMPPK), serta salah seorang penggerakan Forum Kesihatan Rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *