2020010 - EIEU-87847461_631592167633946_2781239659169054720_n (2)

KULIM, KEDAH – 10 MAC 2020: Jalan buntu dalam perundingan untuk perjanjian bersama (CA) antara kesatuan sekerja dengan majikan di kilang Infineon Technologies yang terletak di Kulim, Kedah, telah dibuka semula selepas ratusan pekerja turun beraksi di hadapan kilang tersebut untuk mempertahankan hak mereka.

Pekerja-pekerja di kilang Infineon Kulim mengadakan satu aksi piket di hadapan kilang tersebut pada petang hari ini, untuk menyuarakan tuntutan mereka supaya mendapatkan satu perjanjian bersama (CA) yang dapat menambahbaikkan pendapatan dan kebajikan pekerja. Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Utara Semenanjung yang mewakili lebih 1,200 orang pekerja di kilang Infineon Kulim, cuba merundingkan satu CA baru dengan pihak majikan setelah CA yang lama telah melepasi tarikh luput pada 31 Disember 2019, tetapi usaha tersebut telah menemui jalan buntu pada dua minggu sebelum ini kerana keengganan pihak majikan untuk menerima cadangan pihak kesatuan berkenaan dengan menaiktarafkan CA lama.

Kilang Infineon di Kulim yang mengeluarkan wafer (sejenis semikonduktor dalam bentuk potongan nipis) merupakan salah sebuah kilang milik Infineon Technologies AG, sebuah syarikat gergasi pembuat semikonduktor yang beribupejabat di negara Jerman.

Setelah cubaan untuk merundingkan CA baru tidak mencapai apa-apa persetujuan secara dua pihak sebelum ini, kesatuan sekerja telah memutuskan untuk mengadakan aksi piket untuk memberi tekanan kepada pihak majikan supaya mendengar keluhan dan tuntutan mereka. Para pekerja menuntut pada pihak majikan supaya menaiktarafkan CA untuk menambahbaikkan layanan terhadap pekerja, termasuk peningkatan gaji selaras dengan kenaikan kos sara hidup, pengagihan keuntungan syarikat melalui pemberian bonus kepada pekerja yang telah memberi komitmen tinggi kepada pembangunan urusan syarikat, pemanjangan waktu rehat, peningkatan perlindungan di tempat kerja dan pengurangan beban atau tekanan kerja (yang telah ditingkatkan oleh pihak syarikat dengan alasan “penjimatan kos”). Pekerja-pekerja Infineon hanya menuntut satu suasana tempat kerja yang berperikemanusiaan dan seronok untuk bekerja, di samping peningkatan gaji selaras dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin membebankan kehidupan harian pekerja.

2020010 - EIEU-88273578_2583026408652164_908812374004203520_n (2)

Setelah beberapa jam rundingan antara pihak kesatuan sekerja dan pihak pengurusan syarikat dengan kehadiran pegawai daripada Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) Negeri Kedah/Perlis pada petang tadi, satu persetujuan telah tercapai untuk meneruskan rundingan CA. Pihak majikan telah bersetuju untuk meneruskan rundingan CA dan akan membayar gaji ke belakang setelah CA baru ditandatangani, yang sebelum ini tidak dapat mencapai apa-apa persetujuan. Pihak kesatuan akan menyerahkan cadangannya untuk menaiktarafkan terma-terma yang terkandung dalam CA baru yang meliputi tempoh 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2022. CA baru dijangka akan dapat ditandatangani sebelum 30 April 2020, dengan pihak majikan berjanji akan membayar semua gaji ke belakang dari bulan Januari hingga April 2020 untuk jumlah gaji yang dinaikkan. Turut hadir dalam rundingan tersebut ialah J. Solomon selaku Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Pekerja-pekerja Infineon telah menunjukkan kekuatan pekerja yang menggegarkan pihak pengurusan syarikat gergasi, dengan berhimpun untuk menyuarakan tuntutan mereka. Pemimpin Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Utara Semenanjung juga menegaskan bahawa, sekiranya pihak majikan masih tidak bersetuju lagi dengan tuntutan pihak pekerja untuk CA baru, maka pihak kesatuan akan memanggil lagi aksi piket dengan semangat untuk memperjuangkan hak dan maruah pekerja.

2020010 - EIEU-88268577_132745274841626_2562720347442905088_n (2)

 

2 thoughts on “Pekerja Infineon Kulim tuntut CA baru yang lebih baik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *