DSC05786_副本 (2)

(Siri “Tolak Politik Elit, Bina Kuasa Ketiga” – 3)

oleh S. Arutchelvan

Sertai PSM hari ini!

Apa itu isu “real” (sebenar) dan apa itu isu sensasi? Isu mana yang mendapat liputan meluas dalam media arus perdana? Adakah parti-parti politik di negara kita memperjuangkan isu “real” atau isu “popular”? Mengapa cerita hantu lebih menarik daripada cerita kepupusan hutan?

Dalam rencana ini, saya akan membandingkan dua naratif yang berbeza ini untuk menunjukkan bahawa dalam mana-mana masyarakat dan negara, adanya isu-isu real yang memberi kesan dan impak kepada kehidupan masyarakat, manakala ada juga isu-isu lain yang mungkin popular, sensasi dan menghiburkan tetapi tidak ada apa-apa impak kepada kehidupan kita.

Sama dengan parti politik. Adanya parti politik yang bermain dengan isu sensasi dan mereka banyak mendapat sambutan, manakala parti politik yang mendedahkan isu “real” mungkin ada impak langsung kepada masyarakat tetapi kurang mendapat sambutan. PSM berada dalam kabus yang tebal ini.

Jika kita meninjau politik negara, kita dapat melihat isu utama yang mengisi ruang dalam media massa, media percetakan mahupun dalam otak fikiran kita adalah isu-isu popular. Misalnya, untuk beberapa bulan ini, kita hanya membincangkan isu peralihan kuasa atau isu perkauman. Ia dipropogandakan, dilipatgandakan dan mewujudkan satu kesedaran palsu sehingga memesong otak kita daripada berfikir secara rasional.

Contohnya, isu cincin Rosmah atau isu kes liwat melibatkan Azmin, atau isu kapal mewah Equanimity, 4 mukasurat pelajaran elektif tulisan Jawi mahupun isu menandatangani konvensyen antarabangsa seperti Statut Rom. Isu-isu ini mungkin begitu banyak dibicarakan dalam media sosial, pelbagai troll dan jenaka dikongsikan, polis pula sibuk membuat siasatan dan memanggil saksi, pelbagai kenyataan dibuat dan lain-lain; untuk majoriti masyarakat, walaupun isu-isu ini menawan hati mereka, tetapi isu yang benar-benar merungsing fikiran mereka dan memberikan impak utama dalam kehidupan mereka adalah isu jaminan pekerjaan mereka, gaji mereka, tahap kesihatan mereka, hutang mereka dengan bank atau along, kos pendidikan dan lain-lain.

Teori hierarki keperluan Maslow

Isu periuk nasi adalah isu real, tetapi parti politik arus utama dan media arus perdana kurang memberi masa untuk itu. Abraham Maslow, seorang ahli psikologi kemanusiaan telah memperkenalkan 5 keperluan utama manusia pada tahun 1943 melalui bukunya “A Theory of Human Motivation“. Ia lebih dikenali sebagai Teori Hierarki Keperluan Maslow.

Mengikut Maslow, setiap individu akan mempunyai lima tahap dalam hierarki keperluan yang cuba dipenuhi, iaitu tahap pertama adalah keperluan fisiologi (keperluan untuk minuman, makanan, udara dan sebagainya); tahap kedua adalah jaminan keselamatan seperti isu keselamatan, kedamaian dan kebebasan; tahap ketiga adalah keperluan sosial seperti kasih sayang dan cinta; tahap keempat  penghargaan atau kebanggaan diri seperti harga diri; dan tahap kelima adalah kesedaran diri iaitu  keinginan untuk perkembangan dan kemajuan diri, pencapaian diri serta potensi.

Jika membandingkan keinginan untuk keperluan ini dengan isu yang tersebar luas dalam alam siber, maka ada vakum ruang yang besar. Media massa kapitalis hanya mahu membicarakan isu-isu sensasi dan inilah proses pembodohan dan pembohsiaan pemikiran kita. Mereka akan selalu menyajikan kita benda-benda yang menyebabkan kita tidak berfikiran kritis. Marx pernah berkata kelas pemerintah, iaitu kelas kapitalis, cuba mewujudkan sebuah dunia bayangan di mana idea-idea dominan dalam pemikiran masyarakat adalah pemikiran kelas kapitalis itu. Maka setiap orang daripada kita menjadi ejen kelas pemerintah dari segi cara kita berfikir dan beraksi. Malah, kadangkala kita juga berlumba-lumba untuk membeli barangan baru, berfesyen, cara bergaul macam orang kaya atau menghalalkan politik-politik popular dan sensasi – mengagung-agungkan YB (Yang Berhormat) dan kereta mewah.

Media kelas pemerintah juga cuba menonjolkan isu-isu sensasi untuk memastikan kita tidak fokus kepada isu-isu rasional. Hanya dengan cara ini, kelas ini boleh terus memerintah!

PSM melawan arus (anti-tesis) dan bawa isu “real

Kami dalam PSM mengajukan bahawa kami mengetengahkan isu”real”, iaitu isu yang benar-benar memberi impak kepada kehidupan masyarakat dan keperluan utama.

Satu daripada kritikan terhadap PSM adalah PSM tidak menonjol, tidak melibatkan diri dalam isu nasional dan hanya layak memjadi parti kampung atau parti kawasan ladang. Pemimpim-pemimpim PSM juga tidak membincangkan isu-isu nasional dan kadangkala ada persepsi orang bahawa PSM parti baru. Ada yang ingat PSM hanya mengadakan beberapa demonstrasi di sana sini dan langsung tidak ada sumbangan dalam politik nasional atau arus perdana. Ada yang suka melabel kami sebagai NGO atau mengatakan kerja kami kerja NGO. Ada yang merasakan kewujudan PSM tidak relevan langsung dan mendesak PSM untuk menjadi NGO kerana itulah kerja yang dilakukan PSM.

Ini adalah satu pemesongan fakta. Biar saya menonjolkan beberapa kerja dan kempen utama PSM untuk membolehkan anda membuat perbandingan sama ada kerja yang kami buat ini relevan atau tidak? Bukankah tugas parti politik adalah menaikkan taraf hidup rakyat? Atau ia hanya sekadar untuk menaikan taraf hidup pemimpin politik sahaja?

Akta Gaji Minimum dan Skim Insurans Pekerjaan (SIP)

Terdapat dua undang-undang utama di Malaysia yang memberi perlindungan kepada ribuan malah jutaan pekerja Malaysia sehingga ia merupakan antara dua tunjang utama jaminan yang ada untuk pekerja hari ini. Dua undang-undang ini ialah Akta Gaji Minimum dan Skim Insurans Pekerjaan (SIP). Tolong buat carian dalam Google dan anda akan dapati parti yang telah memperjuangkan isu ini secara meluas dan konsisten dengan kempen besar-besaran adalah PSM.

Sejak tahun 2012, pekerja di Malaysia diwajibkan dibayar gaji minimum RM900 dan bermula pada bulan Februari 2020, paras gaji minimum telah dinaikkan ke RM1100/1200. Ramai yang tidak tahu bahawa parti politik ulung yang paling tegas memperjuangkan Akta Gaji Minimum selain daripada MTUC adalah PSM. PSM telah melancarkan kempen gaji minimum RM 900 ini sejak tahun 2003 melalui Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) di mana kami telah menyerahkan lebih 50,000 poskad menuntut Akta Gaji Minimum kepada Perdana Menteri masa itu, Abdullah Ahmad Badawi, di Parlimen pada 21 September 2006.

PSM juga melancarkan dan menggerakkan kempen tanpa mengenal penat. Banyak forum, demonstrasi besar-besaran, piket umum seluruh negara dan “roadshow” telah diadakan sehingga berjaya diwujudkan Akta Gaji Minimum. Hari ini, jutaan rakyat menikmatinya.

Selain itu, apabila Skim Insuran pekerjaan (SIP) diperkenalkan pada tahun 2017, Menteri Sumber Manusia ketika itu Richard Riot secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada PSM kerana beliau tahu bahawa PSM begitu gigih dan tabah memperjuangkan isu ini. Ini semua dilakukan pada masa PSM hanya ada seorang Ahli Parlimen sahaja, tetapi ia dapat direalisasikan kerana semangat perjuangan dan tahap komitmen PSM dalam mengetengahkan isu “real” dan menyelesaikannya. Hari ini, ribuan pekerja yang dibuang kerja, rasa syukur kerana ada SIP.

Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam

Kesihatan awam begitu penting, tetapi berapa banyak parti politik berkempen untuk menyelamatkan sistemkesihatan awam negara kita, di mana pada tahun 1970-an, ia diiktiraf antara terbaik di dunia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)? Tahukah anda bahawa PSM memegang rekod sebagai parti yang memainkan peranan secara berterusan dalam memperjuangkan isu kesihatan awam?

Pada 23 Disember 2004, PSM telah menggerakkan 81 organisasi dan ratusan orang untuk mengadakan protes terhadap penswastaan dispensari hospital kerajaan. Pada 4 Disember 2004, Menteri Kesihatan pada masa itu Dr Chua Soi Lek telah mengumumkan bahawa kerajaan akan menswastakan perkhidmatan dispensari di hospital kerajaan bermula tahun 2005, tetapi disebabkan protes besar-besaran oleh PSM, cadangan itu telah dihentikan.

Selain itu, PSM juga mewujudkan satu Gabungan, iaitu Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan (GMPPK), dan antara kempen yang diadakan adalah protes terhadap kewujudan “sayap swasta”(private-wings) dan Skim Pesakit Bayar Penuh di hospital kerajaan. Sebenarnya Menteri Kesihatan yang lalu, Dr. Dzulkefly Ahmad, merupakan salah seorang peserta dalam kempen kami.

PSM kekal sehingga hari ini sebagai parti yang paling konsisten dalam perjuangan membela kesihatan awam dan menentang konsep pelancongan kesihatan yang menjadikan kesihatan sebagai satu bentuk perniagaan. Parti BN dan kemudiannya PH menghalalkan “Pelancongan Kesihatan” (Health Tourism), di mana mereka menganggap kesihatan sebagai satu sumber untuk buat keuntungan. Hanya PSM berjuang untuk meningkatkan belanjawan kesihatan dan mengetengahkan satu pelan untuk meningkatkan sistem kesihatan kita untuk kebaikan majoriti rakyat. Kami melawan syarikat insurans yang cuba merawat dalam air yang keruh.

Maka sekali lagi, dalam isu-isu real dan utama, PSM adalah parti yang berdiri di barisan hadapan manakala untuk isu-isu sensasi yang mendapat publisiti besar, PSM tidak begitu menonjol.

Isu Perumahan – Bina rumah harga kurang RM100,000

PSM mempunyai sejarah yang tiada tandingan dengan parti lain dalam isu perjuangan perumahan pekerja ladang dan peneroka bandar. Ini diketahui ramai. Dr. Nasir Hashim, Pengerusi PSM yang pertama telah memperkenalkan konsep “Peneroka Bandar” untuk melawan istilah “setinggan haram”. Malah, PSM mempunyai rekod terbaik dalam melawan dan mendapatkan rumah percuma untuk tiga generasi pekerja ladang. Ribuan pekerja ladang menikmati jaminan perumahan kerana kempen besar-besaran PSM.

Hari ini, PSM secara gigih berjuang untuk rumah dibina dengan harga siling RM100,000. PSM mengerakkan rakyat untuk melawan “rumah mampus beli” yang diperkenalkan. Maka terbukti isu-isu keperluan seperti yang dihuraikan Maslow diperjuangkan oleh PSM.

Di bawah ini biar saya mendedahkan beberapa inisiatif real yang telah dan sedang diperjuangkan oleh PSM:

  1. PSM juga menjadi parti pembangkang yang pertama untuk menganjurkanForum Kebangsaan untuk Pengangkutan Awam di Malaysia, yang telah diuruskan melalui satu kumpulan dipanggil Kumpulan Kerja untuk Pengangkutan Awam di Malaysia yang dianggotai juga oleh CETDEM, Transit, Damai Association, KL Selangor Chinese Assembly Hall, PPBM dan SABM. Pada tahun 2015, satu memorandum diserahkan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk memberi cadangan berkenaan dengan penambahbaikan pengangkutan awam di Malaysia.
  1. Dalam isu pekerja migran yang juga merupakan satu isu penting– PSM melalui wadah Gabungan Hak untuk Pembelaan bagi Pekerja Migran (Migrant Workers’ Right to Redress Coalition), satu usahasama yang dibentuk dan dimulakan oleh PSM pada 4 Ogos 2016, berjaya menghasilkan satu laporan yang paling komprehensif tentang “blueprint” bagaimana menangani isu pekerja m Ia dibuat melalui penglibatan pelbagai pihak seperti Jabatan Pengajian Pembangunan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, wakil daripada pihak kerajaan, majikan dan pekerja, di samping pihak kedutaan negara yang berkaitan dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
  1. PSM juga menjadi parti politik yang terlibat secara langsung dalam isu perdagangan antarabangsa, melalui satu lagi gabungan untuk mengemukakanPiagam Rakyat mengenai Perjanjian Perdagangan Antarabangsa (People’s Charter on International Trade Agreements), dengan menegaskan bahawa akan berjuang melawan segala perjanjian perdagangan yang tidak adil dan hanya menguntungkan syarikat-syarikat besar, termasuk perkongsian ekonomi serantau yang akan menggantikan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tajaan Amerika Syarikat.

Tiga isu di atas boleh memberikan sedikit gambaran bahawa walaupun PSM sebuah parti yang kecil, tetapi skop, penglibatan dan pemikiran parti jauh lebih luas dan lebih menyeluruh berbanding dengan parti-parti populis.

Banyak isu lain seperti program alam sekitar PSM, Jaringan untuk meningkatkan kebajikan dan taraf hidup penduduk rumah pangsa kos rendah, isu menangani masalah yang dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (SME) di Malaysia, masalah menangani isu rumah orang miskin dilelong dan lain-lain lagi juga diperjuangkan, kerana semua ini merupakan isu-isu “real” untuk rakyat biasa. 

Rakyat kena bezakan Parti Politik Real dan Fake

Hari ini wujudnya kemarahan di kalangan anak-anak muda, yang begitu marah dan muak pada parti politik. Mereka memasukkan semua parti politik dalam bakul yang sama. Bagi mereka semua parti politik tamak dan mahu kuasa sahaja.

Itulah sebabnya dari dulu lagi PSM cuba mengetengahkan konsep membina kuasa rakyat di mana segala program politik kami ada melibatkan rakyat marhaen dan proses membina kekuatan rakyat biasa. Kami juga tidak bermain dengan politik sensasi dan popular. Kami juga elakkan diri dari bermain dengan politik ikon mahupun politik jalan singkat, iaitu mempermainkan sentimen agama dan kaum.

Tolak politik elit, bina kuasa rakyat. Bina dari bawah, secara mendatar dan adil.

Oleh itu, kita harus memulakan gabungan yang berada di landasan yang benar. Kita boleh kritik mengkritik. Sertailah pembinaan gerakan baru ini. Sila mengikuti kami di laman web rasmi PSM atau Sosialis.net, dan anda boleh menjadi ahli PSM dengan mengisi borang keahlian di sini.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s