oleh S. Arutchelvan

Negara Malaysia telah melangkah jauh dalam isu tentang Perhimpunan Awam dan undang-undang berkaitan dengannya. Namun, yang mengecewakan adalah nampaknya pihak polis masih belum lagi menyesuaikan diri dengan perubahan ini dan membebankan diri mereka dengan kerja-kerja yang tidak diperlukan untuk mengambil keterangan saksi tentang perhimpunan yang diadakan secara aman.

Pada hari semalam sahaja (4 Mac 2020), polis telah mengambil keterangan daripada 20 orang aktivis, termasuk dua orang pemimpin PSM. Mereka telah disiasat berkenaan dengan dua perhimpunan di Dataran Merdeka pada 25 Februari 2020 dan satu lagi yang diadakan di Pasaraya Sogo pada 1 Mac 2020, di mana kedua-duanya berlangsung tanpa berlaku apa-apa peristiwa yang tidak diinginkan.

20200305 - 88077084_10158059198213895_8554591993315983360_o (2)
20 orang aktivis dipanggil untuk diambil keterangan oleh polis di Ibupejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, pada 4 Mac 2020.

Undang-undang Malaysia telah mengalami banyak perubahan dalam mengiktiraf hak untuk berhimpun secara aman. Akta Perhimpunan Aman 2012 yang wujud sekarang sudah pastinya jauh kurang menyekat berbanding Seksyen 27 Akta Polis yang mengenakan syarat bahawa permit untuk perhimpunan adalah wajib dan mengawalselia perhimpunan, mesyuarat dan perarakan secara ketat.

Apabila peruntukan dalam Akta Polis digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman 2012, Kerajaan mengatakan bahawa ia adalah untuk melindungi Kebebesan Berhimpun seperti yang termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan juga mematuhi piawaian antarabangsa. Hak untuk berhimpun telah jelas ditakrif dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 dan Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) 1976, di mana dinyatakan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk kebebasan perhimpunan aman dan berpersatuan. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) juga pernah menerbitkan dua laporan penting mengenai hak untuk perhimpunan aman, di mana salah satu pada 8 Oktober 2001 dan satu lagi tentang peristiwa perhimpunan Lebuhraya KESAS pada 5 November 2002.

Pada bulan Ogos 2019, Akta Perhimpunan Aman telah dipinda selanjutnya, di mana tempoh untuk memaklumkan kepada polis telah dikurangkan dari 10 hari kepada 5 hari. Walaupun terdapat kemajuan dalam isu ini, tetapi pendekatan yang diambil oleh polis, terutamanya Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) berkenaan dengan perhimpunan aman, memang sangat bermasalah.

Mari kita lihat pada jumlah kerja yang perlu dilakukan oleh polis dalam menyiasat perhimpunan awam. Apabila adanya satu perhimpunan, Cawangan Khas daripada polis akan memantau keadaan, dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) akan menyelaraskan seluruh proses. Sekiranya perhimpunan berakhir secara aman mengikut jaminan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, pihak polis sepatutnya sudah menutup kes ini. Namun, ini tidak berlaku. Apa yang berlaku sekarang ini adalah polis akan pergi membuat aduan polis mereka sendiri terhadap perhimpunan, mencatatkan nama semua orang yang telah berucap dalam perhimpunan dan orang kenamaan yang hadir dalam perhimpunan. Kemudiannya orang-orang ini akan diberi notis di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) yang perlu diserahkan dengan tangan kepada setiap orang yang berkenaan. Selepas itu, mereka perlu mengatur pegawai yang berpangkat dari Inspektor atau ke atas untuk mengambil keterangan. Kemudiannya laporan akan dihantar kepada Timbalan Pendakwaraya untuk menilai sama ada mereka telah melanggar undang-undang dan perlu didakwa atau tidak.

Sejak Akta Perhimpunan Aman diperkenalkan, dan khususnya sejak perubahan kerajaan pada bulan Mei 2018, jarang sekali ada orang didakwa di bawah akta ini. Oleh itu, semua kerja mengambil keterangan saksi di bawah Seksyen 112 CPC adalah sekadar membazir masa polis, khususnya dalam keadaan tidak berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini.

Ramai pegawai polis yang mengambil keterangan telah merungut bahawa ini sesuatu yang membebankan mereka dan membazirkan masa mereka, kerana mereka mempunyai begitu banyak lagi kerja dalam menangani jenayah. Ramai anggota polis telah memberitahu saya bahawa Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) ialah sebab kenapa mereka perlu mengambil keterangan.

Dalam insiden baru-baru ini, adalah dimaklumkan oleh polis bahawa para aktivis disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal memaklumkan polis untuk mengadakan perhimpunan. Di sini, pihak polis boleh menggunakan budi bicara untuk menentukan sama ada pelanggaran undang-undang atau tidak. Pada tahun lepas, pihak Kerajaan juga menganjurkan satu perhimpunan berkenaan dengan peristiwa penembakan di New Zealand dan ia diadakan 3 hari selepas peristiwa itu berlaku. Maka untuk perkara yang memerlukan respon segera, notis pemakluman 5 hari itu adalah tidak masuk akal.

Satu lagi klausa dalam Akta yang tidak masuk akal ialah mendapatkan kebenaran daripada pemilik premis. Misalnya, jika pelajar-pelajar hendak mengadakan protes terhadap universiti mereka, maka mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Universiti, dan jika satu lagi kumpulan hendak memprotes terhadap KWSP, mereka perlu mendapatkan kebenaran KWSP. Dalam kedua-dua contoh ini, mereka yang memprotes tidak akan mendapat kebenaran sebegini. Juga untuk tempat awam seperti Dataran Merdeka dan Padang Merbok, tidak patut adanya syarat untuk mendapat kebenaran daripada DBKL.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) berharap dengan kemajuan dalam undang-undang negara kita, pihak polis akan membuat pindaan yang sewajar terhadap SOP mereka supaya menyelamatkan mereka daripada melakukan kerja birokratik yang berlebihan dan tidak perlu apabila perhimpunan berlangsung dengan lancar.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *