oleh Dr. Jeyakumar Devaraj
Peristiwa yang berlaku sejak sepuluh hari lalu pastinya membingungkan ramai rakyat Malaysia. Persepakatan politik terbentuk dan terlerai hanya dalam beberapa jam diiringi kenyataan yang saling bercanggahan dikeluarkan oleh pelbagai pihak. Namun, ianya semakin jelas jika kita menelusuri niat dan kepentingan beberapa pihak utama – Mahathir, Azmin, Anwar dan Muhyiddin. Berikut ini adalah pandangan saya tentangnya.
Mahathir
Mahathir berada di tengah-tengah perkembangan terkini walaupun saya percaya beliau tidak mahu apa yang terjadi ketika ini berlaku di dalam tempoh sekarang ini. Sejak tahun 1960-an, Mahathir tidak lagi menyembunyikan rahsia akan kepercayaannya di mana untuk sesebuah kelompok etnik untuk berjaya dalam era moden, ianya memerlukan saintis, pemilik bank, profesional, usahawan dan jutawan – sebuah kelas borjuis moden! Pada tafsiran Mahathir, tidak cukup hanya dengan mengekalkan elit Melayu Lama yang terdiri daripada bangsawan feudal, tuan tanah serta kerabat diraja, jika hendak berjaya dalam dunia moden. Itulah peri-pentingnya kelas Borjuis Melayu! Dan Mahathir sudahpun menghabiskan kebanyakan usia hidupnya untuk membangunkan borjuis Melayu dengan apa cara sekalipun! Untuk berlaku adil kepadanya, Mahathir berjaya melakukannya pada tahap tertentu. Sekarang begitu ramai orang Melayu yang menjadi profesional, akademik, saintis, usahawan dan jutawan.
Walau bagaimanapun, Mahathir merasakan masih ada keperluan untuk Kerajaan Malaysia untuk terus memainkan peranan aktif dalam membina dan mengetengahkan Borjuis Melayu, demi menghadapi golongan peniaga berketurunan Cina Malaysia masih berpengaruh, kebangkitan negara China sebagai kuasa ekonomi besar serta syarikat multinasional yang rakus dari Amerika Syarikat, Eropah serta Jepun. Dan Mahathir khuatir bahawa pemimpin Pakatan Harapan – Lim Guan Eng dan Anwar Ibrahim – tidak akan melakukan yang secukupnya untuk melindungi serta mengetengahkan kelas borjuis Melayu yang mulai tumbuh. Guan Eng terlalu percaya kepada pasaran bebas dan terlalu selesa dengan pemodal dari negara China, manakala Anwar terlalu dekat dengan kepentingan asing dan mungkin bersetuju untuk menjejaskan kemampuan Kerajaan Malaysia untuk membangunkan borjuis Melayu – misalnya dengan mempersetujui klausa melibatkan mekanisme “Penyelesaian Pertikaian Kerajaan – Pelabur” dan “Pemerolehan Kerajaan” yang terkandung dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) serta perjanjian perdagangan bebas yang lain.
Jadi, saya berpendapat bahawa Mahahir sejak awal lagi sudah berasa serba salah untuk Pakatan Harapan kekal berkuasa melebihi satu penggal. Baginya, Pakatan Harapan merupakan satu-satu jalan untuk menjatuhkan perompak (kleptokrat) yang terdapat dalam UMNO. Mahathir merasakan bahawa UMNO tidak boleh dirombak dari dalam kerana mereka yang berkuasa terlalu mencengkam, maka Mahathir perlu berganding bahu bersama DAP dan PKR untuk menyucikan UMNO daripada “penyamun”. Namun, sejak awal lagi Mahathir merasakan bahawa dirinya tidak dapat bergantung kepada Pakatan Harapan untuk menjaga dan meneruskan projek seumur hidupnya, iaitu membina dan membangunkan borjuis Melayu. Beliau perlu menyerahkan pentadbiran kepada kerajaan dengan majoriti Melayu yang tegar untuk menyambung “Agenda Melayu”-nya. Kerana itulah beliau membawa Ahli Parlimen daripada UMNO untuk menguatkan Parti BERSATU, dan juga bersekongkol dengan UMNO dan PAS.
Boleh jadi, kerana itulah Azmin dilantik menjadi Menteri Persekutuan – untuk melemahkan PKR dengan menguatkan persengketaan antara Anwar dan Azmin, dengan harapan jika BERSATU tidak dapat diharap untuk memainkan peranan penting di dalam PKR, PH yang lemah akhirnya akan kalah kepada UMNO (yang sudah dibersihkan daripada kleptokrat) dalam PRU-15 nanti.
Mungkin kerana ini juga, Mahathir tidak menyangkal keputusan Lim Guan Eng pada bulan Mei-Jun 2018 untuk menghentikan bayaran subsidi sebanyak RM300 sebulan kepada lebih 70,000 orang nelayan tradisional, serta sistem sokongan harga getah yang diperkenalkan untuk membantu 200,000 orang penoreh getah kecil setiap kali harga getah sekerap jatuh di bawah RM 2.20 per kilogram. Mesyuarat Jemaah Menteri berjalan setiap minggu. Ianya sesuatu yang mudah untuk Mahathir menjelaskan kepada Guan Eng betapa bodohnya untuk memotong subsidi ini di saat PH hanya memperolehi kurang daripada 20% undi orang Melayu di kawasan pedalaman sewaktu UMNO dan PAS mencanang merata-rata bagaimana Kerajaan sudah jatuh ke dalam tangan orang bukan Melayu serta kebajikan orang Melayu tidak lagi terjaga. Namun, Mahathir hanya mendiamkan diri tentang isu ini, mungkin berfikir “teruskanlah melakukannya kalau mahu membawa masalah pada diri sendiri!”
Saya melihat Mahathir sebagai politikus agung dengan tujuan yang jelas – untuk membersihkan UMNO, dan kemudiannya memastikan pentadbiran negara kembali ke dalam tangan mereka yang mahu menyokong agenda dalam mempertahankan dan membangunkan Borjuis Melayu. Dan beliau jelas tentang niat ini sejak dari tahun 1960-an.
(PENAFIAN: Walaupun saya faham dari mana Mahathir datang, namun tidaklah bermakna saya bersetuju dengan pendekatannya untuk membina bangsa Malaysia. Dan saya belum menyentuh tentang bagaimana Mahathir membawa mudarat kepada warga miskin berbilang kaum di Malaysia menerusi program penswastaannya. Bahkan, saya belum lagi menulis bagaimana Mahathir dengan bersungguh-sungguh melemahkan pelbagai institusi seperti kehakiman serta menumpukan kuasa yang luas kepada Jabatan Perdana Menteri. Walaupun ini merupakan isu penting untuk dibincangkan, namun ianya bukanlah isu pokok dalam pertembungan politik untuk persaingan kuasa yang terjadi kini.)
Azmin
Rancangan Mahathir menjadi kacau-bilau pada saatnya Azmin memulakan kudeta pada hari Sabtu 22 Februari 2020. Azmin sekarang dilihat sebagai penyangak oleh rakyat Malaysia; dialah menjadi punca permulaan runtuhnya kerajaan PH. Namun, ayuh lihat segala apa yang berlaku dari sudut pandangan Azmin.
Azmin merupakan orang kanan yang paling dipercayai Anwar sejak Reformasi (1998). Beliau bahkan pernah ditahan kerana rapat dengan Anwar. Azmin setia dengan perjuangan walaupun PKR kalah teruk pada PRU tahun 2004 dengan hanya memenangi satu kerusi dalam Parlimen. Azmin tetap berada di sisi Anwar pada zaman kegelapan. Namun, segalanya berubah apabila Pakatan Rakyat menawan lima buah negeri pada tahun 2008. Anwar meletakkan Khalid Ibrahim, bekas pemimpin UMNO yang baru saja melompat ke PKR beberapa bulan sebelumnya untuk menjadi Menteri Besar Selangor, satu jawatan yang memang dimahukan Azmin.
Mengapa Anwar berbuat begitu? Azmin orangnya bijak, pandai dan berkemampuan. Beliau cekap mengurus negeri seperti ditunjukkan sewaktunya menjadi Menteri Besar Selangor selepas “Langkah Kajang”. Mengapa beliau tidak dilantik terus menjadi Menteri Besar Selangor selepas PRU tahun 2008? Saya fikir Anwar gusar dengan populariti Azmin yang semakin meningkat dalam PKR. Anwar bimbang bahawa Azmin akan muncul sebagai pencabarnya jika beliau menjadi Menteri Besar yang cukup berkuasa di sebuah negeri yang kaya. Jadi, Anwar meletakkan Khalid – sosok baru yang tidak mempunyai jaringan luas yang dipunyai Azmin di dalam parti – sebagai Menteri Besar Selangor.
Percubaan Anwar untuk “membendung” Azmin tidak berakhir di situ. Setiap kali pemilihan PKR – pada tahun 2010, 2014 dan 2018, Azmin bertanding jawatan Timbalan Presiden. Tidak pernah sekalipun beliau mencabar Anwar atau Wan Azizah untuk jawatan Presiden. Namun, Anwar berterusan mempertahankan pencabar Azmin – Zaid Ibrahim pada tahun 2010, Saifuddin Nasution pada tahun 2014 serta Rafizi pada tahun 2018 – tetapi dengan jelasnya, mereka semua kalah. Ketika Langkah Kajang gagal pada tahun 2014 dan Anwar tidak mendapat jawatan sebagai Menteri Besar, sekali lagi Anwar cuba untuk menyekat kemaraan Azmin untuk menjadi Menteri Besar, namun untuk kesekian kalinya Azmin berjaya mengatasi Anwar, dan berkhidmat sebagai Menteri Jawatan yang boleh tahan untuk diharap.
Diangkatnya Azmin (oleh Mahathir) menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, sebuah tugas yang cukup berkuasa, selepas PRU-14, menguatkan lagi perseteruan antara dirinya dengan Anwar. Adakah ianya sekadar perlantikan biasa atau apakah ianya satu langkah politikus agung untuk menyediakan latar untuk melemahkan PKR?
Bagi Azmin, keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari 2020 adalah satu bencana. Ia membawa makna bahawa Anwar besar kemungkinan menjadi Perdana Menteri dalam masa setahun. Sikap permusuhan Anwar terhadap Azmin, Zuraida serta sekutu mereka yang jelas mengakibatkan Azmin merasakan bahawa ianya terlalu berisiko jika ianya berlaku. Azmin melancarkan serangan terlebih dahulu.
Namun, Azmin membuat kesilapan besar dalam membaca perancangan Mahathir. Azmin sedar bahawa Mahathir sedang bekerja untuk meningkatkan dominasi orang Melayu dalam kerajaan. Apa yang tidak disedarinya adalah bagi Mahathir, untuk membersihkan UMNO dengan membuang kleptokrat adalah sesuatu yang tidak boleh dirunding. Ianya sesuatu yang perlu dilakukan sebelum memulangkan kuasa kembali kepada UMNO. Pastilah, Mahathir kecewa dengan kedua-duanya – Azmin dan BERSATU. Kudeta berlaku terlalu awal. Kembalinya UMNO ke tampuk kekuasaan merencatkan proses pendakwaan terhadap mereka yang mahu dikeluarkan oleh Mahathir, yang terpaksa keluar dari persaraan serta bekerja keras pada mulanya untuk itu! Tidak tetapnya pertimbangan Mahathir seminggu selepas kudeta bolehlah difahami jika dilihat dari sudut yang ini.
Anwar
Seorang watak utama sekaligus penuh tragik dalam kisah yang panjang ini! Anwar jasanya cukup besar di dalam politik Malaysia. Pada tahun 1998, selepas pemecatannya dari kerajaan, beliau menyerang Mahathir bukan dengan isu perkauman atau keagamaan (boleh saja beliau memilih jalan itu, kerana beliau ialah pemimpin gerakan ABIM), namun fokusnya ke arah pentadbiran, melawan rasuah, mendesak keadilan untuk semua serta kebajikan buat orang miskin. Seorang yang kuat membaca serta pandangannya tentang Islam turut melibatkan orang bukan Islam. Selepas 50 tahun kita merdeka, Anwar membawa wacana segar dalam wadah politik, dan ianya dirasai oleh orang Melayu dan bukan Melayu. Wacananya tetap menjadi tunjang Malaysia Baru yang diidamkan ramai rakyat Malaysia.
Anwar juga menanggung kesan yang besar pada dirinya secara langsung dalam mencabar tatanan politik UMNO. Beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, didakwa meliwat serta dimalukan, malahan dipenjara dua kali hasil daripada perbicaraan yang nampaknya tidak adil. Anwar berkorban apa adanya.
Namun, Anwar mempunyai kekurangannya yang serius. Beliau sukar untuk menyimpan kawan dan sekutu dengannya. Selain Azmin, terdapat beberapa pemimpin politik yang lain, selepas bekerja cukup rapat dengan Anwar, memilih untuk memutuskan hubungan dengan perbalahan cukup runcing – Khalid Ibrahim, Chandra Muzaffar, Nallakaruppan, Zuraida dan lain-lain lagi. Azmin bukanlah satu-satunya – cuma beliau lebih lama daripada yang lain! Ianya bukanlah lagi rahsia di kalangan pemimpin dalam PKR, yang dulu setia dengan Anwar namun memilih untuk berada di pihak Azmin di dalam perseteruan antara keduanya itu. Saya tidak rasa ianya melibatkan wang ringgit. Saya fikir ianya melibatkan corak pimpinan Anwar – membuat keputusan sendiri secara unilateral, merosakkan institusi demokratik dalam parti, menggunakan konco-konco untuk melanggar peraturan – semuanya oleh kerana igauan takut hilang kuasa (yang akhirnya benar-benar terjadi).
Mahathir tidak pernah menarik balik kenyataannya pada tahun 1998 bahawa Anwar bukanlah orang yang layak untuk memegang jawatan Perdana Menteri, walaupun beliau sering menyatakan bahawa dirinya akan memegang pada janji yang dibuatnya pada tahun 2018 untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar – janji adalah untuk ditepati. Anwar mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan pertengahan minggu lalu, namun hanya mendapat dukungan 92 orang Ahli Parlimen daripada DAP, PKR dan Amanah. Politikus daripada BERSATU, Warisan dan GPS enggan memberi sokongan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.
Muhyiddin
Peranan Muhyiddin dalam percubaan kudeta ini cukup menarik. Sosok inilah yang dipecat daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri serta UMNO kerana penentangannya terhadap salah guna dana awam oleh Perdana Menteri ketika itu. Beliau bersepakat dengan Mahathir dan bertanding dalam pilihanraya sebagai sebahagian daripada PH dengan partinya yang kemudian mendapat begitu banyak jawatan dalam Kabinet. Namun, Muhyiddin keluar dari PH dan bersekongkol semula dengan pemimpin UMNO yang memainkan peranan dalam memecatnya awal dahulu.
Apa yang memacu Muhyiddin dan BERSATU untuk memasuki semula persepakatan politik yang terdiri daripada mereka yang dibangkang oleh mereka tidak lama dahulu? Anggaplah jika Muhyiddin dan BERSATU bertindak rasional dalam membaca keadaan politik, apakah yang membuatkan mereka menanggapinya sebegitu rupa? Saya fikir ada dua perkara – pertamanya PH ialah sebuah pakatan politik yang gagal dalam membina sokongan daripada orang Melayu. Untuk terus bersama dengan PH adalah sia-sia untuk sebuah parti yang akan bertanding di kawasan majoriti Melayu. Keduanya, yang berkait rapat dengan yang pertama, ialah tanggapan bahawa PH mengganggu “Agenda Melayu” kerana PH percaya kepada “meritokrasi”, memotong subsidi kepada golongan miskin, mengetengahkan penyelesaian yang berasaskan pasaran bebas serta mengecilkan perkhidmatan awam. Tidak selesa dengan corak kepimpinan Anwar boleh jadi sebab yang lain.
Tinjauan kembali
Melihat kembali, ianya jelas bahawa PH tewas dalam pertarungan propaganda untuk memenangi hati dan minda orang Melayu. Tiada satu pun parti dalam PH yang mempunyai jaringan akar umbi yang dapat menyaingi PAS dan UMNO, maka tidak dapat menyangkal secara efektifnya propaganda bahawa PH adalah “anti-Melayu”.
Apa yang boleh dilakukan oleh PH adalah untuk memenangi sokongan golongan B40 orang Melayu. Misalnya, PH sepatutnya meneruskan peruntukan kepada golongan B40 di kawasan pedalaman secara berterusan tetapi dengan memastikan ketelusan sepenuhnya – peruntukan yang diberi bagi setiap bantuan untuk penduduk di kawasan pedalaman diletakkan di dalam internet supaya komuniti luar bandar dapat mengenalpasti projek yang dijalankan – membaiki rumah, membina rumah kos rendah, membaiki surau serta dewan orang ramai, dan sebagainya. Proses ini tidak berlaku jelas sehingga sekarang dan masyarakat tempatan tidak dapat memeriksa berapakah peratusan peruntukan yang dihisap oleh elit politik tempatan.
Memastikan ketelusan serta menggerakkan warga setempat untuk mengawasi projek yang dijalankan pastinya memberi kesan yang bermakna. Lebih-lebih lagi jika pekerja parti dapat melihat bagaimana projek yang dijalankan lebih banyak berbanding tahun sebelumnya, walaupun dengan peruntukan yang masih sama. Dalam cara ini, ianya membuatkan kita terfikir bagaimana pentadbiran yang sebelumnya mengakibatkan banyak ketirisan.
Serupalah di kawasan bandar, pekerja parti komponen PH sepatutnya bermesyuarat dengan penghuni rumah pangsa kos rendah dalam mendokumentasi kerja penyelenggaraan serta pembaikan yang diperlukan serta memohon kepada kerajaan tempatan untuk mendanai kerja-kerja sebegini. Peratusan B40 yang tinggi masih tinggal di kawasan rumah flat yang sebegini. Usaha untuk membersihkan serta membuatkan kawasan flat lebih selesa untuk didiami pastinya dapat menaikkan sokongan kepada PH. Jumlah yang diperlukan pastinya dapat ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan.
Warga emas kita bergelut dengan simpanan yang semakin menyusut. Skim Pencen Universal pada kadar RM 300 per bulan bagi mereka yang berumur lebih 70 tahun yang tidak mempunyai apa-apa bentuk pencen serta aset yang tidak lebih RM 100,000 pastinya menyentuh banyak pihak keluarga dan sekaligus memberikan sokongan kepada PH. Ianya hanya melibatkan kos sebanyak RM 3 bilion setahun, namun sudah dapat melegakan warga emas.
Jikalah strategi ini dapat dijalankan, PH mungkin berada dalam keadaan untuk mencabar para perampas kuasa yang mahu membubarkan Parlimen serta mengadakan pilihanraya semula. PH tidak berani melakukan pilihan yang ini kerana besar kemungkinan mereka akan kalah teruk kepada UMNO-PAS di kawasan majoriti Melayu.
Sepertinya PH tidak sedar bahawa mereka hanya mendapat undi sebanyak 25-30% jumlah undi Melayu yang dibuang dalam PRU-14 lalu – apakah mereka berpura-pura tidak tahu dengan realiti ini? Bahawa mereka wajib bekerja keras untuk mematahkan hujah yang dilemparkan UMNO pada mereka. Tiada percubaan yang mencukupi oleh mereka yang dalam PH untuk sepakat meredakan kegelisahan orang Melayu serta mendapatkan sokongan mereka. Terdapat antara mereka yang dalam PH yang bertindak seakan-akan percaya bahawa Melayu menjadi malas oleh kerana “dedak” subsidi yang dilempar kepada mereka oleh BN – yang mengakibatkan mereka untuk bergantung harap dengan “mentaliti subsidi” serta “sindrom berhak” yang sepatutnya sudah pun orang Melayu perlu berhenti dari terus mengharap! Ianya sebuah pentafsiran chauvinistik yang dangkal dan cetek dan lihatlah kesannya sekarang!
Rentetan dari episod ini menggariskan bahawa ramai rakyat Malaysia masih terperangkap dalam kepompong etnik mereka sendiri. Proses politik yang dipacu oleh parti berasaskan etnik membentuk naratif “kita lawan mereka” yang dipegang oleh kebanyakan masyarakat kita. Apakah reformasi dapat dicapai jika kita tidak melibatkan “yang lain” di dalam prosesnya? Sebuah cara yang baik untuk politik yang inklusif adalah untuk mengenalpasti kelompok miskin daripada “yang lain” dan saling bekerjasama dengan mereka untuk menyelesaikan masalah mereka.
Bahawasanya, PH boleh saja mengambil “Agenda Melayu” dengan meneruskan objektif bermata dua; untuk menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum serta menanggapi ketidakseimbangan etnik dalam sektor-sektor ekonomi modern – bukankah ianya objektif dasar yang akan dipersetujui oleh semua orang yang berfikiran waras? Dan PH dapat melaksanakannya dengan lebih cekap dengan menutup ruang yang membenarkan sesetengah elit daripada menjarah peruntukan demi kepentingan mereka sendiri. Objektif bermata dua ini penting dalam membina masyarakat mapan dan saksama, dengan PH sepatutnya mengambil peluang ini dengan mengubahnya sedikit supaya lebih inklusif di mana ia turut melibatkan kelompok miskin kaum bukan Melayu. Pastinya, PH akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mengharungi ribut politik yang melanda sekarang jika langkah ini diambil.
Tuntasnya, dalam analisis akhir, kita, warganegara biasa secara umum, juga perlu dipersalahkan kerana terlalu acuh tak acuh dan gagal untuk mengetengahkan rasa gelisah dan terancam yang diapi-apikan oleh corak politik yang berasakan etnik berdekad lamanya. Kita tidak membebaskan diri daripada tanggapan yang kita pegang terhadap bangsa lain. Kerana kita tidak menjadi waspada kepada permasalahan yang dilalui oleh mereka yang lain. Bahkan tidak melakukan yang cukup untuk melangkaui sempadan etnik. Kita perlu mengambil iktibar serta meneruskan tugas untuk membina masyarakat Malaysia yang lebih adil dan saksama. Jangan pernah putus asa! Jelas terdapat ramai warga yang berjiwa besar di dalam mereka yang berbilang kaum – mereka yang mahukan keadilan dan keamanan untuk wujud di dalam negara ini. Ayuh kita saling mengenali dan bekerjasama untuk sebuah masa yang panjang membina Malaysia yang sempurna adanya.
==========
Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Tulisan ini pada asalnya dalam Bahasa Inggeris dan diterjemahkan ke dalam BM oleh Zikri Rahman.
3 thoughts on “Bagaimana tumbangnya Pakatan Harapan? – Satu analisis tentang pergolakan politik di Malaysia 2020”