oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin mengucapkan Selamat Hari Natal kepada semua yang menyambutnya, dan Selamat Tahun Baru untuk semua rakyat Malaysia.

Dalam suasanan perayaan ini, kita semua harus merenung seketika dan mengambil maklum bahawa jika kita benar-benar ingin membina masa depan bahagian untuk negara kita dan anak cucu kita, kita perlu mencari formula untuk menangkis permainan politik perkauman yang telah meracuni negara kita dan pemikiran rakyat Malaysia selama 60 tahun yang lalu. Keadaan hubungan antara etnik telah merosot ke tahap di mana walaupun isu yang nampaknya tidak berbahaya seperti pengenalan tulisan Jawi dalam 3 mukasurat boleh mewujudkan kontroversi yang memburukkan hubungan antara etnik. Sesetengah orang bukan Melayu menganggap cadangan pengenalan Khat adalah satu lagi langkah untuk “mengislamkan” masyarakat Malaysia lebih lanjut, maka bertindakbalas terhadapnya. Ramai orang Melayu berasa bahawa kumpulan-kumpulan masyarakat bukan Melayu terlalu sensitif dan mempersoalkan komitmen orang bukan Malyu dalam membina satu budaya Malaysia bersama di mana bahasa dan budaya Melayu memainkan satu peranan yang penting. Perbezaan pandangan ini hanya akan menjadi lebih runcing lagi dalam masa seminggu akan datang apabila Dong Zong (Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia) mengadakan perhimpunannya. Komentar dan jurucakap di kedua-dua pihak akan memperkukuhkan pendirian mereka untuk menunjukkan kepada penyokong snediri bahawa mereka adalah pelindung yang terbaik dan paling boleh dipercayai untuk hak kumpulan etnik mereka sendiri. Dalam proses ini, mereka akan berkemungkinan besar yang mengatakan perkara yang menyakitkan hati lagi pihak yang satu lagi.

PSM ingin mencadangkan satu ubat penawar kepada semua permainan politik yang toksik ini, iaitu untuk rakyat biasa “berjalan sebatu dengan kasut orang yang lain” (walk a mile in the shoes of the other). Ini bermakna orang bukan Melayu patut mengambil usaha untuk memahami masalah ekonomi yang dihadapi oleh masyarakat Melayu – kenapa kemiskinan luar bandar masih kekal walaupun sudah menerima subsidi untuk 5 dekad? Kenapa penyertaan Bumiputra dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (SME) masih begitu lemah? Bagaimana kita boleh mengatasi keadaan yang menjelikkan untuk rumah pangsa kos rendah yang menjadi tempat tinggal untuk begitu ramai golongan miskin bandar? Dan melobi untuk penyelesaian masalah-masalah ini bersama dengan kumpulan masyarakat sivil Melayu.

Begitu juga dengan orang Melayu yang ingin membina jambatan antara etnik patut cuba untuk memahami isu yang mengecewakan orang bukan Melayu – golongan miskin bukan Melayu mempunyai akses yang terhad untuk program kerajaan yang sepatutnya untuk golongan miskin, penukaran agama kanak-kanak secara satu pihak, kesukaran untuk mendapatkan kerja kerajaan, ketiadaan kewarganegaraan di kalangan mereka walaupun lahir di Malaysia tetapi hanya kerana ibu bapa mereka tidak mempunyai dokumen atau cuai. Dan bekerjasama dengan kumpulan masyarakat sivil bukan Melayu untuk menangani masalah-masalah ini.

Kita perlu mendekati orang yang lain merentasi jurang etnik supaya kita dapat menegakkan semula kemanusiaan kita bersama. Ini adalah satu-satunya harapan kita dan ia mempunyai potensi untuk membangunkan agenda bersama rakyat Malaysia. Kita perlu menyedari bahawa ramai orang di kedua-dua belah perpecahan etnik telah “dilukakan” oleh politik dan dasar yang mempermainkan perkauman serta struktur ekonomi yang tidak adil. Satu-satu cara untuk mengubati luka yang menyakitkan ini adalah mendekati orang lain dengan penuh rendah hati untuk memahami mereka dan memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Malangnya sekali, kebanyakan parti politik yang wujud sekarang tidak dapat menerajui inisiatif ini kerana mereka masih terperangkap dalam kepompong etnik masing-masing, dan pemimpin mereka bersaing sesama sendiri untuk menunjukkan bahawa mereka ialah “pelindung” komuniti mereka yang terbaik. Kita perlukan gerakan masyarakat sivil multi-etnik yang mempunyai asas meluar untuk menyampaikan “ubat penawar” (yang merentasi jurang etnik) ini. Ini satu-satunya jalan ke depan untuk negara kita. Kita memang perlu berganding bahu secara bersama-sama untuk menangani masalah serius yang sedang kita hadapi – antaranya perubahan iklim, guna tenaga tidak penuh yang meluas di kalangan anak muda kerana perluasan Kecerdasan Buatan (A.I.) dan ekonomi gig.

Oleh itu, jadikanlah salah satu azam tahun baru anda untuk tahun 2020 mendekati satu sama yang lain merentasi jurang etnik – untuk berkenalan lebih rapat lagi dengan kumpulan etnik yang lain, dan mendekati golongan yang kurang bernasib baik di kalangan mereka – supaya proses penyembuhan dapat bermula. Berita baiknya adalah kebanyakan rakyat biasa Malaysia agak bertoleransi dan ingin melihat sebuah masyarakat Malaysia yang lebih harmoni.

Selamat menyambut Tahun Baru 2020! Marilah bersama-sama membina sebuah negara yang lebih bertoleransi dan harmoni!

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *