20191224 - kg segambut permai02 (2).jpg

KUALA LUMPUR – 24 DISEMBER 2019: Setelah 8 jam bertahan, dengan 3 buah rumah kosong dirobohkan, penduduk Kampung Segambut Permai mendapat penangguhan perobohan rumah untuk 2 minggu lagi daripada pihak pemilik tanah Kemasekutu Sdn Bhd.

Selepas perobohan rumah yang dijadualkan pada 9 Disember 2019 ditangguhkan untuk 2 minggu berikutan Kementerian Wilayah Persekutuan berjanji untuk mengaturkan perumahan alternatif untuk penduduk yang terlibat, penduduk Kampung Segambut Permai terpaksa menghadapi satu lagi ancaman perobohan rumah kerana tidak ditawarkan rumah alternatif kekal seperti yang dijanjikan oleh pihak kerajaan.

Pihak pemilik tanah datang semula ke Kampung Segambut Permai pada hari ini bersama dengan bailif mahkamah, polis dan jentolak, dengan niat untuk merobohkan semua rumah. Penduduk-penduduk kampung telah berhimpun bersama dengan aktivis-aktivis yang turun bersolidariti untuk mempertahankan rumah mereka daripada dirobohkan secara paksa.

Pada awal perundingan, pihak polis dan bailiff berjanji bahawa hanya rumah kosong akan dirobohkan. Namun, setelah 3 buah rumah yang tiada penghuni dirobohkan, keadaan menjadi tegang semula apabila bailif dan pemilik tanah memungkir yang janji. 4 buah rumah yang masih berpenghuni telah dipotong bekalan elektrik. Penduduk-penduduk telah bertindak untuk menghalang sebarang kerja perobohan yang lanjut dijalankan. Akhirnya, mereka mendapat lagi tempoh masa 2 minggu untuk mengosongkan rumah.

20191224 - kg segambut permai04

Sepatutnya penduduk Kampung Segambut Permai sudah dapat berpindah keluar dan mengosongkan rumah selepas Kementerian Wilayah Persekutuan menjanjikan perumahan alternatif bagi penduduk-penduduk yang terjejas dalam tempoh masa dua minggu pada 9 Disember 2019. Namun, penduduk-penduduk Kampung Segambut Permai kemudiannya mendapati bahawa rumah PPR yang ditawarkan kepada mereka hanya 6 bulan sahaja dan mereka perlu berpindah keluar selepas itu. Penduduk-penduduk sangat kecewa kerana isu untuk mendapatkan rumah alternatif yang kekal masih belum selesai. “Penyelesaian” yang ditawarkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dalam bentuk rumah transit dengan tiada apa-apa jaminan untuk rumah alternatif kekal, hanya satu penyelesaian yang separuh masak dan terus memangsakan golongan peneroka bandar.

Dengan ada masa 2 minggu untuk ancaman perobohan rumah seterusnya, penduduk-penduduk Kampung Segambut Permai akan membawa isu ini kepada perhatian Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad untuk menuntut pelaksanaan janji rumah alternatif yang berkekalan untuk kesemua 33 buah keluarga di kampung tersebut.

20191224 - kg segambut permai

Kampung Segambut Permai, dahulunya dikenali sebagai Kampung Ayam, telah diteroka dan didiami penduduk sejak tahun 1960-an. Pada tahun 1981, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah mendapat hak pemilikan pajakan tanah Kampung Segambut Permai tanpa pengetahuan peneroka asal. Perkara ini hanya terbongkar apabila seorang penduduk kampung cuba memohon lot tanah Segambut Permai di Pejabat Tanah Wilayah pada tahun 2000. Pada tahun 2002, pemilikan pajakan tanah dipindahmilik daripada PKNS kepada Kemasekutu Sdn Bhd tanpa pengetahuan penduduk asal sekali lagi. Penduduk kampung mula menerima notis pengusiran yang dikeluarkan oleh Kemasekutu Sdn Bhd pada tahun 2012. Satu Penghakiman Persetujuan yang bertarikh 17 Oktober 2013 menyatakan persetujuan penduduk untuk mengosongkan premis masing-masing, tetapi perkara itu berlaku tanpa pengetahuan penduduk. Sejak itu, penduduk asal kampung ini telah diancam pengusiran paksa.

3 thoughts on “Penduduk Kampung Segambut Permai masih diancam pengusiran tanpa rumah alternatif kekal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *