20191202 - pakistan1 (2).jpg

Pelajar-pelajar Pakistan telah mengadakan aksi protes di 50 buah bandar di seluruh negara itu pada 29 November 2019, untuk menuntut pemulihan kesatuan pelajar di kampus-kampus institusi pengajian tinggi.

Aksi massa hebat yang dipanggil sebagai “Perarakan Solidariti Pelajar” ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Tindakan Pelajar (SAC) yang mewakili kumpulan-kumpulan pelajar berhaluan kiri di Pakistan. Golongan kiri di Pakistan juga bergabung tenaga dalam memberikan sokongan padu kepada aksi massa pelajar yang bersejarah ini.

Pelajar-pelajar Pakistan yang turun ke jalanan untuk mendesak kerajaan Pakistan untuk menghentikan larangan terhadap penubuhan kesatuan pelajar di negara itu. Kesatuan pelajar diharamkan sejak tahun 1984 semasa pemerintahan kediktatoran di bawah Muhammad Zia-ul-Haq. Walaupun Benazir Bhutto daripada Parti Rakyat Pakistan pernah cuba untuk menghidupkan semula kesatuan pelajar di universiti semasa beliau menjadi pemimpin kerajaan, tetapi usaha tersebut tidak berjaya kerana halangan daripada kuasa reaksioner dalam negara Pakistan, termasuk pihak tentera.

20191202 - pakistan001.jpg

Perhimpunan yang besar-besaran telah diadakan di bandar Karachi dan Lahore, yang mempunyai tradisi lama untuk aktivisme pelajar di Pakistan. Aksi protes ini juga disertai oleh kumpulan-kumpulan pekerja, menunjukkan solidariti antara perjuangan buruh dengan gerakan pelajar. Selain menghentikan pengharaman terhadap kesatuan sekerja, Perarakan Solidariti Pelajar juga mengemukakan tuntutan seperti:

  • Hentikan penswastaan institusi pendidikan, tarik balik rancangan untuk menaikkan yuran pengajian, laksanakan pendidikan percuma di semua peringkat;
  • Peruntukkan sekurang-kurangnya 5% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pendidikan;
  • Batalkan sistem semester dan kembalikan sistem tahun pengajian;
  • Batalkan pengharaman terhadap aktiviti politik di dalam institusi pendidikan;
  • Hentikan campurtangan pasukan keselamatan (atas nama keselamatan negara) di dalam institusi pendidikan;
  • Bebaskan semua tahanan politik-pelajar;
  • Hapuskan masa perintah kurung di asrama lelaki dan wanita sepenuhnya;
  • Tubuhkan jawatankuasa gangguan seksual di setiap kampus dan perlu adanya perwakilan pelajar wanita dalam jawatankuasa ini;
  • Berikan akses kepada pelajar untuk maklumat belanjawan universiti dan laporan auditnya;
  • Pastikan kemudahan asas yang percuma seperti perpustakaan, internet, asrama dan pengangkutan;
  • Modenkan sistem pendidikan mengikut keperluan saintifik moden dan hapuskan sistem pendidikan yang berasaskan kelas;
  • Pastikan penubuhan institusi pendidikan di kawasan yang kurang membangun dan tambahkan kuota untuk pelajar yang datang dari kawasan yang kurang membangun;
  • Berikan kerja kepada semua graduan ataupun berikan elaun pengangguran kepada mereka yang tidak mendapat bekerja.

Penyertaan yang memberangsangkan dalam aksi protes pelajar ini merupakan hasil usaha gigih penganjur selama sebulan yang lalu. Mobilisasi menuju aksi pada 29 November 2019 ini juga mendapat perhatian media arus perdana di Pakistan selepas satu video pelajar menyanyikan lagi revolusioner menular secara viral. Penglibatan pelajar dalam aksi protes ini juga didorong oleh ketidakpuasan hati yang tertimbun kerana pengurangan belanjawan dalam pendidikan tinggi, gangguan yang berterusan di universiti dan dasar-dasar kerajaan Pakistan yang anti-rakyat. Ini ialah satu kebangkitan pelajar Pakistan untuk menuntut kebebasan dan keadilan sosial.

20191202 - pakistan.jpg

Kebangkitan anak muda yang berhaluan kiri ini sedang mencabar kekuasaan kerajaan pimpinan Imran Khan dan juga pihak tentera yang reaksioner di Pakistan. Sehari selepas protes pelajar, aktivis pelajar Alamgir Wazir telah ditahan di kampus Universiti Punjab di Lahore pada 30 November 2019 dan “dihilangkan” oleh pihak berkuasa dengan kedudukannya masih belum diketahui sehingga kini, Alamgir Wazir ialah anak saudara kepada Ali Wazir, seorang ahli parlimen berhaluan kiri dan juga pemimpin Gerakan Perlindungan Pashtun (PTM), sebuah gerakan sosial yang memperjuangkan hak asasi golongan minoriti Pashtun. Alamgir Wazir selain Alamgir Wazir, terdapat beberapa orang lagi aktivis telah dinamakan oleh polis dan berisiko untuk ditahan, termasuk Farooq Tariq, seorang aktivis veteran berhaluan kiri yang telah memberi sokongan kuat kepada gerakan pelajar ini. Walau bagaimanapun, intimidasi daripada pihak berkuasa ini tidak akan mematahkan semangat perjuangan yang ditunjukkan dalam Perarakan Solidariti Pelajar ini.

20191202 - pakistan0002

20191202 - pakistan4

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *