20191125 - kws2.jpg

SENTUL, KUALA LUMPUR – 24 November 2019: Lebih 30 orang penduduk Kampung Segambut Permai membuat aduan polis secara beramai-ramai pada hari ini di Ibupejabat Polis Daerah Sentul, berkenaan dengan isu perumahan yang dihadapi oleh mereka.

Sebanyak 33 buah keluarga di Kampung Segambut Permai telah mendapat satu notis pengosongan rumah baru-baru ini. Notis yang dikeluarkan berasaskan satu Penghakiman Persetujuan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang bertarikh 26 September 2019 itu, mengarahkan penduduk kampung tersebut untuk berpindah keluar dan mengosongkan rumah masing-masing dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan notis itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Permai Mohd, Nazeem bin Sultan Mohamed, menyatakan dalam aduan polis bahawa penduduk-penduduk kampung bukannya setinggan tetapi mereka merupakan peneroka asal di kawasan ini berdasarkan fakta. Pelaksanaan Penghakiman Persetujuan daripada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur adalah tidak munasabah kerana terma “persetujuan” tersebut tidak pernah dimaklumkan dan dipersetujui oleh penduduk kampung.

Penduduk kampung tidak berpuas hati dengan penghakiman tersebut dan mendakwa penghakiman tersebut adalah akibat penyalahgunaan kuasa pihak tertentu untuk kepentingan sendiri.

Turut hadir bersama dengan penduduk kampung semasa membuat aduan polis ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) A. Sivarajan dan Bendahari PSM Soh Sook Hwa.

A. Sivarajan menegaskan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan perlu mencampurtangan untuk memastikan pengusiran paksa tidak berlaku.

“Orang Kampung perlu diberikan satu penyelesaian yang munasabah supaya hak perumahan mereka tidak tergadai. Penduduk kampung ini ialah peneroka asal dan telah menyumbang kepada pembangunan sekitar. Pengusiran paksa tanpa menyelesaikan masalah mereka tidak boleh diterima,” begitu katanya A. Sivarajan.

“Pengusiran secara paksa adalah satu pencabulan hak yang termaktub dalam Perkara 5 dan 13 Perlembagaan Persekutuan Malaysia . Ia juga bertentangan dengan Konvensyen Antarabangsa yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Malaysia.”

Penduduk kampung menyeru pada pihak polis supaya membuat siasatan secara telus dan berkecuali serta tidak menyokong apa-apa bentuk pengusiran paksa.

Latar belakang isu

  1. Penerokaan Kampung Segambut Permai, yang dahulunya dikenali sebagai Kampung Ayam, adalah berdasarkan saranan Allahyarham Dato’Harun, bekas Menteri Besar Selangor. Orang kampung telah menetap di rumah kediaman mereka di situ sejak tahun 1960-an.
  1. Pada tahun 1960-an hingga tahun 1981, Kampung Ayam berkembang menjadi petempatan bercampur orang Melayu, Cina dan India. Masjid, surau, dewan dan tadika telah dibina oleh kerajaan untuk menampung keperluan orang kampung. Dengan restu kerajaan, elektrik dan air paip juga disediakan untuk penggunaan orang kampung pada awal tahun 1980-an.
  1. Pada tahun 1981, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah mendapat hak pemilikan pajakan tanah Kampung Segambut Permai tanpa pengetahuan peneroka asal. Hal ini hanya terbongkar apabila seorang penduduk kampung cuba memohon lot tanah Segambut Permai di Pejabat Tanah Wilayah pada tahun 2000.
  1. Pada tahun 2002, pemilikan pajakan tanah dipindahmilik daripada PKNS kepada Kemasekutu Sdn Bhd tanpa pengetahuan penduduk asal sekali lagi.
  1. Pada tahun 2012, orang kampung telah menerima notis pemindahan pertama yang dikeluarkan oleh Kemasekutu Sdn Bhd. Satu mesyuarat berkenaan pemindahan telah dianjurkan oleh Ketua Cawangan UMNO Segambut Permai dan sebahagian penduduk tidak dijemput hadir.
  1. Seorang peguam yang bernama Rewentharen Suppiah mendakwa bahawa dia bertindak sebagai peguam cara bagi pihak penduduk kampung. Tanpa penglibatan dan pengetahuan penduduk, satu Penghakiman Persetujuan yang bertarikh 17 Oktober 2013 menyatakan persetujuan penduduk untuk mengosongkan premis masing-masing. Sejak itu, penduduk asal kampung ini telah diancam pengusiran paksa.

One thought on “33 keluarga bakal kehilangan rumah: Kampung tradisi diancam pengusiran paksa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *